Bayi Pramatang

Bilakah bayi dikatakan pramatang?

Kebanyakan bayi yang dilahirkan dalam lingkungan 40 minggu usia kandungan. Bayi dikatakan matang jika lahir di antara 37 ke 42 minggu usia kandungan. Jika bayi dilahirkan sebelum 37 minggu usia kandungan ia dikatakan pramatang.

Adakah ramai bayi dilahirkan pramatang?

Insiden bayi pramatang berbeza-beza di antara negara. Di Malaysia lebih kurang 8% bayi yang dilahirkan adalah pramatang.

Mengapakah bayi dilahirkan pramatang?

Sebab-sebab kejadian selalunya tidak diketahui,tetapi kadang-kadang diikuti dengan:

  • Pecah ketuban awal yang mana disebabkan infeksi air ketuban dan selaput ketuban.
  • Kelahiran bersalin tidak cukup bulan.
  • Pernah mengalami kelahiran pramatang.
  • Kandungan lebih daripada satu contoh kembar 2 atau 3 dan seterusnya.
  • Uterus dan serviks yang luar biasa.
  • Kandungan yang mempunyai komplikasi, contoh: tekanan darah tinggi semasa mengandung dan uri di bawah.
  • Kurang sokongan sosial.
  • Pengambilan alkohol, dadah berbahaya dan merokok semasa mengandung.
  • Jangkitan pada salur kencing.
  • Jangkitan sejak lahir di dalam uterus.
  • Kecacatan semula jadi sejak lahir.

Bagaimana rupa dan tingkah laku bayi pramatang?

  • Bayi pramatang dilahirkan kecil dan mempunyai sifat-sifat pramatang dan bergantung pada usia kandungan.
  • Berat badan bayi pramatang selalunya antara 500 gm untuk usia kandungan 22 minggu hingga 1000 gm untuk 28 minggu dan 1500 gm untuk 32 minggu dan 2.5 kg untuk 37 minggu.
  • Tanda-tanda dan gejala bergantung pada komplikasi.
  • Kemungkinan mengalami tanda-tanda masalah pernafasan contoh nafas berbunyi, hidung kembang-kempis, nafas kencang, kulit berwarna biru dan suhu badan tidak stabil.

Patutkah kita risau jika bayi dilahirkan pramatang?

Pra matang adalah berkaitan dengan komplikasi yang mungkin berlaku. Lebih pramatang maka lebih tinggi risiko untuk setiap komplikasi. Komplikasi awal dan pertengahan adalah termasuk:

  • Sindrom kesesakan nafas disebabkan kekurangan cecair yang dipanggil serakan di dalam paru-paru.
  • Pendarahan di dalam otak yang melibatkan kapilari darah di sekitar ventrikel di dalam otak.
  • Jaundis (Perubahan warna kekuningan di kulit dan di putih mata disebabkan sistem metabolisme bilirubin yang tidak matang).
  • Masalah dan kesukaran penyusuan disebabkan usus yang pramatang.
  • Jangkitan di dalam darah (septisemia), paru-paru (radang paru-paru), selaput di sekeliling otak dan saraf tunjang dan pereputan usus (Necrotising Enterocolitis).
  • Penyakit retina yang tidak matang (Retinopathy of Prematurity) – satu keadaan pertumbuhan salur darah di dalam mata yang tidak matang.
  • Penyakit paru-paru yang kronik hasil daripada kerosakan paru-paru disebabkan pramatang, penggunaan oksigen dan terapi ventilasi.
  • Salur darah yang menyambung antara jantung dan paru-paru tidak tertutup (Patent Ductus arteriosus) yang mana boleh menyebabkan kesesakan dalam pernafasan atau kegagalan jantung berfungsi.
  • Inguinal hernia di mana disebabkan kelemahan otot-otot di pelipat paha.

Komplikasi Lewat:

  • Serebral palsi
  • Kecacatan otak
  • Sawan (Epilepsy)
  • Buta
  • Pekak
  • Ketidak upayaan untuk belajar
  • Perkembangan lambat
  • Pembesaran perlahan

Kadar kematian adalah tinggi walaupun mendapat rawatan rapi, bayi yang dilahirkan antara 26 hingga ke 28 minggu usia kandungan mengalami kadar kematian antara 30%- 50% manakala bayi yang dilahirkan sebelum 26 minggu usia kandungan mempunyai kadar kematian antara 80-100%. Lebih matang seseorang bayi maka peluang untuk hidup adalah tinggi. Bayi yang lahir melebihi 34 minggu usia kandungan mempunyai 90% peluang untuk hidup.

Adakah bayi pramatang memerlukan penjagaan khas?

Keperluan penjagaan bergantung kepada keadaan dan tahap keseriusan pramatang seseorang bayi. Penjagaan am adalah diperlukan untuk semua bayi pramatang:

bayi pramatang

 

  • Mengawal suhu badan
    • Perlu dirawat di dalam inkubator atau di bawah pemanas radian (seperti dalam gambar)
  • Memeriksa tahap gula dalam badan
    • Untuk mengesan dan merawat tahap gula sama ada tinggi atau rendah.
  • Pembekalan nutrisi
    • Bayi yang hampir matang iaitu melebihi 35 minggu yang mana dalam keadaan sihat selalunya boleh diberi penyusuan ibu secara eksklusif. Untuk bayi yang lebih pramatang selalunya memerlukan susu formula sebagai tambahan pada peringkat awal umurnya.
  • Mengelakkan daripada jangkitan
    • Mencuci tangan adalah perkara asas yang penting sebelum dan selepas merawat bayi.

Rawatan khas bergantung kepada keadaan bayi dan komplikasi yang dialami. Contohnya:

  • Ventilasi dan rawatan serakan terapi untuk masalah pernafasan.
  • Pemantauan yang rapi untuk bayi yang menerima oksigen terapi.
  • Pemberian cairan dan elektrolit untuk bayi yang tidak sihat.
  • Parenteral nutrisi (Nutrisi yang diberi terus ke dalam saluran darah) diberi kepada bayi yang tidak boleh menerima susu melalui usus. Perahan susu badan atau susu formula selalunya diberi melalui tiub orogastrik kepada bayi pramatang yang mana boleh menerima susu secara enteral.
  • Antibiotik diberi sekiranya disyaki atau pasti ada jangkitan.
  • Ultra bunyi dilakukan pada otak untuk mengesan dan merawat perdarahan dalam otak atau lain-lain yang tidak normal.
  • Saringan untuk penyakit retina  mata (ROP), rawatan laser atau terapi crayo akan diberi pada bayi yang mempunyai masalah mata yang serius.
  • Bayi yang mempunyai penyakit paru-paru yang kronik dan boleh dirawat di rumah, bekalan oksigen perlu disediakan di rumah.

Isu Etika

  • Kaunseling dan sokongan pada ibu bapa adalah penting bagi membantu ibu bapa dalam menangani dan memahami bayi mereka dan menjelaskan kedudukan yang sebenar.
  • Menangguhkan dan memberhentikan rawatan rapi hendaklah diambil kira untuk bayi (usia kandungan).
  • Peluang bayi dalam kumpulan ini untuk hidup sempurna amat tipis. Bayi yang dijangkakan selamat juga akan mengalami risiko kecacatan neurologi. Adalah dianggarkan 20% daripada bayi yang usia kandungan 25 minggu yang mana selamat 80% daripadanya akan mengalami kelemahan pada sistem neurologi.

Bolehkah sesuatu kelahiran bayi pramatang dielakkan?

Langkah-langkah pencegahan mengelakkan kelahiran pramatang:

  • Wanita yang mengandung tidak digalakkan mengambil rokok, dadah dan alkohol.
  • Jagaan pra kehamilan wanita mengandung yang mempunyai masalah perubatan yang kronik contoh kencing manis.
  • Kurangkan pemindahan janin untuk mengurangkan kandungan kembar dalam teknik kesuburan
  • Penjagaan awal antenatal dan berkala dapat mengesan dan merawat awal untuk mencegah komplikasi.

Mengurangkan risiko komplikasi untuk bayi pramatang:

  • Menggunakan corticosteroid semasa mengandung apabila menjangkakan kelahiran pramatang akan berlaku, kelajuan kematangan paru-paru dan mengurangkan risiko, RDS, IVH, NEC dan kematian bayi.
  • Penggunaan tocolytic digunakan untuk melambatkan proses kelahiran untuk beberapa hari bagi memberi peluang steroid untuk bertindak balas sebelum kelahiran berlaku
  • Pengurusan dan penjagaan yang optimum di bilik bersalin dan di unit neonatal adalah amat baik untuk mendapatkan hasil yang baik.

Pemulihan adalah aspek yang penting dalam rawatan?

Semasa discas nasihat berkaitan perlu diberikan:

  • Perlu meneruskan apa sahaja ubat-ubatan yang diberi termasuklah vitamin dan zat besi.
  • Pemakanan yang diperlukan oleh bayi. Kesabaran adalah diperlukan dalam memberi penyusuan kepada bayi pramatang. Mereka selalunya lambat dalam menghisap susu. Susu badan adalah yang paling baik tetapi jika menggunakan susu formula hendaklah menggunakan susu formula pramatang untuk memastikan nutrisi yang diberi menepati tahap maksimum pada bayi pramatang.
  • Mengikut jadual pelalian yang rutin untuk kanak-kanak.
  • Menjauhkan tempat yang sesak untuk mengelakkan kanak-kanak mendapat jangkitan seperti batuk atau selesema.

Temu janji untuk bayi pramatang

  • Untuk menilai tahap pertumbuhan dan perkembangan.
  • Merawat komplikasi.

Sesetengah kanak-kanak akan memerlukan:

  • Fisioterapi, terapi cara kerja dan lain-lain terapi.
  • Pendidikan khas
Semakan akhir : 26 April 2012
Nama Penulis : Dato’ Dr. Lim Nyok Ling
  : Dr. Lim Sern Chin
Penyemak : Dr. Irene Cheah Guat Sim