A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Bantuan Kepada Pesakit Di...

Bantuan Kepada Pesakit Di Klinik Kesihatan

Pengenalan

Secara amnya, perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan merangkumi pelbagai isu psikososial dan sosioekonomi yang melibatkan pendekatan multi-disiplin dalam mencapai obejktif ‘total patient care’. Klinik Kesihatan kini bukan sahaja berperanan memberi rawatan kepada pesakit tetapi juga menjadi pengurus kepada pesakit dalam usaha meningkatkan lagi tahap kefungsian pesakit. Unit Kerja Sosial Perubatan merupakan salah satu daripada perkhidmatan ‘Allied Health Professional’ yang terlibat secara langsung dalam proses membantu pesakit. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan merangkumi pengurusan kes psikososial dan sosioekonomi seperti pengurusan kes pesakit kronik, kes-kes penderaan kanak-kanak, kes bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), kes keganasan rumahtangga dan pengurusan pesakit terlantar di rumah. Perkhidmatan ini telah dikembangkan di kesihatan primer pada Disember 2010 di klinik-klinik kesihatan seluruh Malaysia yang terpilih dengan bilangan pegawai seramai sembilan (9) orang Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

Jenis-Jenis Perkhidmatan Yang Disediakan

1) Bantuan Praktik

  • Penilaian Sosio-ekonomi – Penentuan kelayakan permohonan bantuan
  • Penempatan Institusi
  • Bantuan peralatan perubatan / bukan peralatan perubatan/ubat-ubatan
  • Lawatan ke Rumah
  • Mengesan keluarga pesakit
  • Pendaftaran kes kurang upaya
  • Pendidikan Khas

2) Terapi Sokongan

  • Konsultasi kes-kes melibatkan undang-undang. (contoh; penderaan kanak-kanak, keganasan rumahtangga, pencabulan, rogol)
  • Sokongan emosi kebimbangan tentang rawatan / penyakit / trauma.
  • Khidmat Nasihat golongan kurang bernasib baik. (contoh; kutu rayau, warga tua tanpa waris)
  • Rundingcara individu / Keluarga / kelompok.

Prosedur Perkhidmatan

  1. Pesakit mendapatkan rujukan dari Pegawai Perubatan atau Pakar Perubatan Keluarga dari klinik-klinik kesihatan kerajaan.
  2. Berjumpa dengan Pegawai Kerja Sosial Perubatan untuk temubual atau temujanji bagi membuat penilaian biopsikososial mengenalpasti permasalahan yang dihadapi.
  3. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan melakukan intervensi bagi mengenalpasti jenis keperluan yang diperlukan oleh pesakit, samada perkhidmatan bantuan praktik atau perkhidmatan bantuan terapi sokongan.

Prinsip Bantuan

Bagaimanakah pendekatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan dalam membantu…

Secara amnya Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan bekerjasama dengan pesakit dan ahli keluarga untuk mengenalpasti dan memahami masalah klien

Tiga Pendekatan Utama:

Membantu pesakit mengenalpasti permasalahan dan kekuatan diri sendiri:

  1. Persepsi pesakit terhadap diri sendiri, permasalahan, penyakit.
  2. Cara penyelesaian masalah / coping skill
  3. Motivasi – untuk meneruskan kehidupan, mendapat maklumat dan mencari bantuan.
  4. Nilai – agama, budaya, politik dan sebagainya.
  5. Kestabilan emosi
  6. Tahap intelektual

Membantu pesakit mengenalpasti sumber di sekitar pesakit:

  1. Corak komunikasi.
  2. Sokongan keluarga – suami, isteri, anak-anak, ibubapa, saudara mara dan sebagainya.
  3. Persepsi ahli keluarga / orang terdekat terhadap pesakit.
  4. Sokongan majikan, rakan-rakan dan lain-lain.
  5. Sumber kewangan – Tabungan, KWSP, PERKESO, Insurans dan lain-lain.

Membantu pesakit dengan mengenalpasti sumber komuniti:

  1. Peruntukan undang-undang Akta Kanak-kanak 2001, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Akta Fi (Caj Rawatan), Pekeliling-pekeliling perubatan.
  2. Badan-badan Kerajaan- PKMD Kinta, MAIP, YKN, TBPKKM.
  3. Badan-badan bukan kerajaan- MAKNA MACAS, Rumah Ehsan Haluan, dan lain-lain.

Kumpulan Sasaran

Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) merupakan kakitangan ‘Allied Health’ Kementerian Kesihatan Malaysia yang tergolong dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Kepentingan dan peranan mereka dalam proses rawatan dan pemulihan pesakit-pesakit memang terbukti sejak sekian lama profession ini wujud di negara kita. Penyertaan PKSP dalam Perkhidmatan Kesihatan Awam meliputi aspek promotif, preventif, kuratif dan rehabilitatif. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan merangkumi pelbagai kumpulan sasar. Antara kumpulan sasaran kumpulan sasaran tersebut adalah seperti berikut:

  1. Pesakit-Pesakit di Klinik-klinik Kesihatan (Poliklinik Komuniti) yang memerlukan perkhidmatan kerja sosial.
  2. Pesakit-pesakit ke program kesihatan keluarga, warga emas, remaja, wanita, kanak-kanak dan sebagainya. Contoh-contoh kes di bawah pengendalian perkhidmatan kerja sosial perubatan.
  3. Kes Penderaan dan Penganiayaan seksual / fizikal – Kes Ketagihan (alkohol, dadah).
  4. Kes Tekanan Emosi dan Mental contohnya cubaan bunuh diri.
  5. Kes Penyakit Berjangkit dan Kronik contoh TB, HIV.
  6. Kes kesihatan yang berkaitan dengan status sosio ekonomi contotnya malnutrisi.
  7. Kes cacat fizikal atau mental.
  8. Kes remaja bermasalah contohnya remaja yang hamil, penagih dadah.
  9. Kes warga tua – Pengabaian dan masalah penjagaan warga emas
  10. Komuniti berisiko contohnya komuniti yang tinggal di tempat pembuangan sampah, setinggan, penghuni rumah flat dan sebagainya.

Sumber-Sumber Bantuan

Pegawai Kerja Sosial Perubatan menjalankan usaha untuk mendapatkan sumber-sumber bantuan kepada pesakit melalui rujukan kepada pelbagai agensi yang boleh membantu pesakit. Rujukan kepada agensi dibuat setelah siasatan sosial dijalankan dan mengesahkan pesakit dikategori golongan yang layak menepati kriteria yang ditetapkan berserta surat permohonan secara rasmi dan dokumen pengesahan. Antara sumber-sumber bantuan kepada pesakit samada agensi kerajaan atau agensi bukan kerajaan adalah seperti berikut:

  1. Tabung Bantuan Perubatan (TBP) di bawah Kementerian Kesihatan.
  2. Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM).
  3. Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah.
  4. Majlis Agama Islam Negeri atau Pusat Pungutan Zakat.
  5. Yayasan Kebajikan Negara.
  6. Jabatan Perkhidmatan Awam.
  7. Jabatan Veteran Angkatan Tentera.
  8. Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
  9. Persatuan Penyaraan dan Pemeliharaan Kanak-kanak Malaysia (MACAS).
  10. Majlis AIDS Malaysia.
  11. Persatuan Masyarakat Penyayang.
  12. Lion’s Club.
  13. Rotary Club.
  14. Rumah Ehsan Haluan Perlindungan Wanita dan Gadis.
  15. Rumah Kebajikan Mutiara Kasih.

Kesimpulan

Kesimpulannya peranan perkhidmatan kerja sosial perubatan menekankan dua prinsip di bawah:

    1. Membantu meningkatkan kefungsian sosial pesakit termasuk keluarganya supaya mampu menjadi anggota masyarakat yang produktif dan berdikari bersesuaian dengan batas keupayaan pesakit akibat daripada penyakit yang dialami.
    2. Memberikan perkhidmatan kerja sosial perubatan secara profesional dalam membantu mengatasi masalah psikososial pesakit-pesakit mengikut keperluan dan jenis penyakit berasaskan kepada konsep penjagaan pesakit secara menyeluruh (Total Patient Care).

Semakan Akhir : 08 Ogos 2017
Penulis : Encik Mohammad Johari Bin Omar Din
Akreditor : Encik Harolhanam Bin Mohamed Wahid

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,239,398

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia