A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bagaimana Kanak-kanak Belajar Bercakap?

Kanak-kanak belajar bercakap melalui interaksi dengan orang dewasa dan rakan sebaya. Proses untuk belajar bercakap dipengaruhi oleh beberapa faktor.

Kanak-kanak belajar bercakap melalui interaksi dengan orang dewasa dan rakan sebaya. Proses untuk belajar bercakap dipengaruhi oleh beberapa faktor.

Faktor-faktor yang mempengaruhi keupayaan kanak-kanak bercakap

Menurut Pakar Perkembangan dan Pendidikan Kanak-Kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, keupayaan seseorang kanak-kanak bercakap adalah berbeza antara seorang dengan yang lain dan berkait rapat dengan faktor persekitaran dan kesihatan mereka.

  • Faktor Persekitaran

  • Faktor Kesihatan

  • Faktor Genetik

Faktor Persekitaran

Rangsangan dari persekitaran kanak-kanak adalah penting dalam perkembangan pertuturan dan bahasa mereka. Orang dewasa, rakan sebaya serta persekitaran tempat tinggal penting bagi meransang pertuturan dan bahasa kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak atau kurang menerima rangsangan pertuturan berisiko mengalami kelambatan pertuturan dan bahasa. Pengaruh rakan sebaya juga akan mempengaruhi pertuturan dan bahasa kanak-kanak.

Faktor Kesihatan

Kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah kesihatan selalunya mempunyai kemahiran bercakap yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan. Kanak-kanak kelainan upaya juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mempunyai masalah kelambatan dalam perkembangan pertuturan mereka. Ada kanak-kanak yang kerap dimasukkan ke hospital disebabkan masalah kesihatan, hal ini akan mengganggu perkembangan interaksi mereka dengan ahli keluarga dan rakan sebaya. Keadaan ini boleh merencat serta melambatkan perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.

Faktor Genetik

Kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik, ayah atau ibu yang mempunyai sejarah kelambatan pertuturan dan bahasa juga boleh mendapat masalah ini.

Perkembangan bahasa kanak-kanak yang normal

0-3 bulan

Kanak-kanak mula belajar bercakap seawal usia 0-3 bulan. Pada waktu ini kanak-kanak telah menunujukkan minat untuk berinteraksi dengan orang dewasa dengan memberikan senyuman mahupun ketawa.

4-6 bulan

Kanak-kanak berusia 4-6 bulan biasanya akan mula mengeluarkan bunyi vokal. Pada waktu ini permainan vokal merupakan cara kanak-kanak belajar untuk bercakap.

6-8 bulan

Pada usia 6-8 bulan kanak-kanak telah mula menghasilkan suku kata yang berulang seperti “mama”, “dada” atau “papa”. Walaupun suku kata tersebut belum bermakna tetapi kanak-kanak telah mula berinteraksi dengan orang dewasa dengan menghasilkan suku kata.

8-12 bulan

Pada usia 8-12 bulan perkataan pertama biasanya akan muncul, contohnya: mama, nenen(susu). Selalunya kanak-kanak pada usia ini telah mempunyai pemahaman bahasa yang baik seperti boleh mengikut arahan-arahan yang mudah.

18-24 bulan

Selalunya kanak-kanak yang berusia 18-24 bulan telah mula  menggunakan 2 patah perkataan dalam pertuturan mereka, contohnya; nak air, dah habis.

3 tahun

Apabila kanak-kanak mencapai usia 3 tahun mereka selalunya telah mula membuat ayat lengkap sekurang-kurangnya 3 patah perkataan dalam satu ayat. Kanak-kanak juga telah memahami dan menggunakan kata kerja dalam ayat yang dituturkan. Contoh; adik nak tidur, abah pergi kerja.

4 tahun

Apabila usia kanak-kanak tersebut mencapai 4 tahun mereka telah mula menggabungkan ayat-ayat ringkas menjadi ayat-ayat yang lebih kompleks. Di sini, faktor persekitaran seperti pergaulan dengan rakan sebaya banyak membantu dari segi pertambahan perbendaharaan kata dan meningkatkan kemahiran naratif atau kemahiran bercerita.

Tips Membantu Kanak-kanak Belajar Bercakap

Stimulasi bahasa dan pertuturan adalah sangat penting dalam membantu kanak-kanak belajar bercakap. Ibu bapa yang selalu berinteraksi dengan anak-anak semasa mereka bermain, menonton televisyen atau melakukan aktiviti seperti membaca akan dapat membantu kanak-kanak untuk belajar bercakap serta menambah kemahiran-kemahiran baru yang dapat menggalakkan perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak.

Biarkan anak anda memilih jenis mainan atau topik perbualannya sendiri

Langkah-langkah untuk memberi anak peluang memilih:

  1. Perhatikan minat anak anda supaya anda dapat menarik minat mereka semasa berinteraksi

  2. Tunggu, beri masa untuk anak anda memberi respons. Ini membenarkan anak anda memproses apa yang anda cakap

  3. Dengar bunyi, perkataan atau ayat yang anak anda hasilkan supaya anda faham apa yang ingin anak anda sampaikan

Ikut minat anak anda apabila anak anda telah memulakan interaksi sama ada dengan perkataan, bunyi atau isyarat badan. Anda perlu mengikut minat anak anda. Anda boleh mengikut minat mereka dengan:

  • Ikut serta bermain bersama-sama anak anda

  • Tiru bunyi atau perkataan yang dihasilkan oleh anak anda

  • Terjemah bunyi atau isyarat badan anak anda

  • Beri komen pada perbuatan yang sedang anak anda lakukan

Mengambil giliran untuk memastikan interaksi berterusan

Perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan interaksi berterusan

  • Sesuaikan giliran anda dengan anak anda. Komunikasi yang seimbang memerlukan anda mengambil kira kesesuaian panjang giliran anak anda, rentak anak anda serta minat mereka

  • Beri bantuan kiu untuk anak anda mengambil giliran

    • Ekpresi muka seperti tersenyum atau mengangkat kening

    • Sentuhan atau tunjuk seperti sentuh tangan atau tunjuk pada mereka apa yang diinginkan

    • Tanya soalan seperti “giliran siapa sekarang?”

  • Tanya soalan yang sesuai sewaktu berinteraksi dengan anak anda. Pastikan anak anda faham dengan soalan anda.

  • Gunakan rutin harian untuk mengambil giliran dalam berinteraksi seperti sewaktu makan bersama.

Tambahkan perbendaharaan kata  sewaktu berinteraksi

Anda boleh membantu menambahkan perkataan baru semasa anda berinteraksi dengan anak anda. Tambahkan bahasa dengan:

  • Beri anak anda perkataan. Jangan terlalu mengharap atau menekan mereka untuk meniru anda

  • Guna pelbagai perkataan seperti kata kerja, kata nama atau perkataan yang menerangkan perasaan

  • Tambahkan apa yang mereka sebut, tiru apa yang mereka sebut atau tambah beberapa perkataan lain untuk membuatkan masej anak anda lengkap

Berkomunikasi dalam aktiviti seharian anda. Berkomunikasi sewaktu bermain dengan anak anda. Anda juga boleh berkomunikasi sewaktu membaca buku dengan anak anda atau sewaktu mendengar muzik.

Oleh itu, luangkan masa anda untuk membantu anak-anak anda belajar bercakap. Berikan persekitaran yang kondusif supaya anak anda boleh belajar bercakap. Sekiranya anak anda tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka, bawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan  lanjut  di klinik-klinik atau hospital-hospital berhampiran. Tindakan awal dapat mencegah anak anda dari mengalami kelambatan pertuturan dan bahasa.

Rujukan

  • Cooke, J & Willian, D. 1985. Working with Children’s Language. Bicester. Winslow Press

  • Pepper, J & Weitzman, E. 2004. It Takes Two to Talk. Canada. A Hanen Centre Publication

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Ernie Heliza bt. Yusof
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Latihan ke Tandas

Latihan ke tandas adalah proses biasa yang dilalui oleh kanak-kanak. Kesediaan untuk ke tandas tidak berlaku secara automatik selari dengan peningkatan usia kanak-kanak tersebut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,416,334

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia