A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Sistem Saraf
  6. /
  7. Epilepsi
  8. /
  9. Bagaimana Doktor Membuat Diagnosa...

Bagaimana Doktor Membuat Diagnosa Penyakit Epilepsi?

Mendapatkan deskripsi sawan yang dilihat

Memperolehi deskripsi atau huraian yang jelas dan terperinci mengenai kejadian disyaki sebagai “sawan” adalah langkah utama untuk menentukan samada kanak-kanak tersebut benar-benar menghidap epilepsi. Ini kerana deskripsi yang baik akan membantu doktor untuk membuat diagnosa yang tepat.

Kadang-kala sesuatu kejadian yang dialami seseorang kanak-kanak kelihatan seperti sawan tetapi sebenarnya adalah bukan. Deskripsi yang jelas dan tepat amat berharga kerana ia boleh membantu mengelakkan kanak-kanak sebegini daripada menjalani ujian-ujian yang tidak perlu.

Mengenal pasti jenis-jenis epilepsi

Deskripsi yang jelas mengenai serangan sawan akan memberikan doktor gambaran tentang jenis epilepsi yang dihidapi oleh kanak-kanak tersebut. Mengenalpasti jenis epilepsi boleh membantu doktor memilih rawatan yang sesuai.

Jenis-jenis epilepsi yang selalu dihidapi kanak-kanak ialah:

  • Epilepsi Rolandik. Ia adalah jenis epilepsy yang paling kerap dihidapi kanak-kanak. Ia selalunya bermula pada peringkat umur pertengahan dan akhir zaman kanak-kanak dan akan berterusan hingga ke zaman remaja. Sawan selalunya berlaku semasa tidur, dan mungkin bermula dengan rasa yang aneh di mulut atau bibir, air liur meleleh, atau kejang otot di kawasan sekitar mulut ketika kanak-kanak terjaga dari tidur. Kadang-kadang tanda-tanda seperti di atas tidak sempat disaksikan oleh ibubapa dan mereka hanya dapat melihat kekejangan otot di kaki atau tangan yang kadang-kadang boleh berlaku dengan cepat.
  • Childhood absence epilepsy. Ini juga dikenali sebagai epilepsi “petit mal”. Ia bermula dari peringkat umur pertengahan dan akhir zaman kanak-kanak. Sawan ini menyebabkan kanak-kanak itu menjadi diam secara tiba-tiba dan merenung kosong ke depan seperti berkhayal. Dalam tempoh singkat tersebut kanak-kanak ini tidak sedar akan keadaan sekeliling dan mata mungkin kelihatan terkebil-kebil. Mereka akan kembali pulih dengan agak segera selepas sawan ini dan akan kembali melakukan aktiviti yang dibuat sebelum sawan berlaku. Bagaimanapun sawan ini boleh berulang berkali-kali dalam sehari.
  • Generalised tonic clonic epilepsy. Ia juga dikenali sebagai epilepsi “grand mal”. Epilepsi jenis ini bermula selepas umur setahun. Sawan ini berlaku secara menyeluruh, bermula dengan pesakit tidak sedar secara mendadak, diikuti dengan kekejangan otot tangan dan kaki yang kemudiannya akan kelihatan menyentak-menyentak.
  • Sawan separa kompleks (complex partial seizures). Sawan jenis ini berlaku pada semua peringkat umur. Apabila sawan ini berlaku, kanak-kanak dilihat menjadi keliru dan tidak keruan. Sekiranya pesakit itu sudah aga besar dan boleh bercakap, mereka boleh menceritakan sesuatu perasaan yang pelik, rasa tidak sedap badan, atau mengalami gangguan penglihatan sejurus sebelum serangan sawan berlaku – ini dikenali sebagai “aura” iaitu tanda-tanda awal yang boleh dikesan atau dirasai oleh seseorang sebelum sawan benar-benar berlaku.
  • Epilepsi otak bahagian depan (frontal lobe epilepsy). Epilepsi jenis ini menyebabkan sawan yang berlaku semasa tidur. Sawan ini mirip kepada kejadian mengigau. Kanak-kanak tersebut akan dilihat menjadi keliru dan dalam ketakutan, dan dengan begitu ketara akan menendang atau menyentak-nyentak kaki dan tangan. Sawan seperti ini berlaku berulang-ulang dan sentiasa dalam corak yang sama. Kanak-kanak juga sukar dikejutkan sewaktu sawan berlaku. Selepas sawan berakhir, kanak-kanak biasanya akan tidur semula.
  • Infantile spasms. Ini adalah sawan yang agak jarang dilaporkan dan hanya berlaku kepada kanak-kanak yang berumur kurang dari setahun. Bayi akan dilihat secara tiba-tiba menghadapi sentakan dan kekejangan pendek pada kaki, tangan dan badan yang menyebabkan posisi badan membengkok ke depan serta tangan atau kaki terangkat. Ada juga kes-kes di mana badan membengkok ke belakang. Selalunya ‘spasm’ ini akan berlaku berulang-ulang dalam tempoh tertentu selama beberapa minit (cluster), dan dalam banyak kes dikesan berlaku sejurus selepas bangun dari tidur. Sawan seperti ini menyebabkan risiko gangguan perkembangan yang serius. Oleh itu bayi yang disyaki mengalami sawan jenis ini perlu mendapatkan rawatan pakar kanak-kanak dengan kadar segera.

Pemeriksaan kanak-kanak

Doktor perlu menjalankan pemeriksaan fizikal badan dengan teliti, serta menilai tahap perkembangan dan kemahiran pemikiran kanak-kanak tersebut. Ini akan membantu mereka mengenalpasti punca atau penyebab epilepsi dan meramal kesan penyakit epilepsi itu terhadap diri kanak-kanak tersebut.

Ujian EEG (Electroencephalography)

Ujian EEG melibatkan penilaian aktiviti elektrikal di dalam otak seseorang, sama seperti ECG (electrocardiogram) yang mengukur aktiviti elektrikal di bahagian jantung. Ujian ini selamat dan tidak member sebarang risiko. Ia dilakukan dengan melekapkan wayar-wayar  elektrod pada kulit kepala.

Hasil ujian EEG yang direkodkan dapat membantu menentukan samada kanak-kanak tersebut menghidap epilepsy. Ia juga dapat memberi maklumat tentang jenis-jenis epilepsi yang dihidapi.

Nota: Selalunya hanya ujian EEG sahaja yang diperlukan untuk seseorang kanak-kanak yang mengalami sawan. Ujian-ujian lain mungkin boleh dibuat bergantung kepada keadaan individu:

Ujian-ujian lain (bergantung pada jenis penyakit):

  • Ujian darah dan air kencing diperlukan di dalam kes-kes epilepsi yang rumit.
  • Dalam kes epilepsi yang tertentu, imbasan otak perlu seperti Computed Tomography (CT) atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) mungkin diperlukan.
Semakan akhir : 13 Mei 2012
Penulis : Dr. Irene Cheah Guat Sim
  : Dr. Terrance Thomas
  : Dr. Umathevi Paramasivam
Penyemak : Dr. Nor Azni b. Yahaya

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,377,308

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia