A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Awas! Sinaran Matahari

Pendedahan kepada cahaya matahari yang lama boleh menyebabkan kulit terbakar (Sunburn), penuaan pra-matang, kanser kulit dan kerosakan mata akibat sinaran ultra violet (UV)

Pengenalan

  • Aktiviti luar seperti bersukan, berenang, meredah hutan, mendaki gunung dan berkayak menyebabkan pendedahan kepada cahaya matahari untuk tempoh masa yang panjang
  • Kesan pendedahan kepada cahaya matahari yang terlalu lama tanpa penggunaan pelindung kulit, boleh menyebabkan kanser kulit

Risiko

Pendedahan kepada cahaya matahari yang lama boleh menyebabkan:

  • Kulit terbakar (Sunburn) – menyebabkan kerosakan kulit yang kekal
  • Penuaan pra-matang – kedutan kulit yang ketara, kulit kasar dan bertompok-tompok
  • Kanser kulit – kesan daripada pendedahan cahaya matahari yang lama
  • Kerosakan mata akibat sinaran ultra violet (UV)

Tiga jenis cahaya ultra violet (UV) boleh merosakkan kulit:

  • Cahaya UVA, menyerap jauh ke dalam kulit. Ia boleh bertindak balas dengan sesetengah ubat dan kosmetik menyebabkan kulit terbakar teruk
  • Cahaya UVB, akan sampai ke lapisan atas kulit dan merupakan agen primer yang menyebabkan kulit terbakar
  • Cahaya UVC, kebanyakannya akan diserap oleh alam sekeliling (atmosfera) dan ini tidak menyebabkan kerosakan kulit

Tanda dan gejala

Kesan terbakar kepada cahaya matahari yang sederhana:

  • Kulit merah dan sedikit bengkak, gatal kulit dan berasa panas serta kering
  • Otot anda mungkin berasa sakit dan kulit akan menggelupas selepas beberapa hari

Kesan terbakar kepada cahaya matahari yang teruk:

  • Kulit sangat merah, bengkak dan menggelupas
  • Anda mungkin mengalami kesakitan yang kuat dan tidak dapat menahan sakit apabila baju tersentuh kulit anda
  • Anda mungkin demam, rasa sejuk, lemah badan; dan perlu mendapatkan nasihat doktor dengan segera

Kemerahan kulit boleh bermula dalam masa 2-4 jam sebaik sahaja terdedah kepada sinaran matahari dan mencapai tahap kemuncak 24-48 jam kemudian.

Langkah pencegahan

  • Elakkan dari terdedah kepada sinaran matahari antara jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang kerana pada waktu ini sinaran matahari amat terik
  • Gunakan krim pelindung sinaran matahari yang melindungi daripada pancaran UVA dan UVB, serta mempunyai sekurang-kurangnya SPF 15 walaupun pada waktu mendung
  • Gunakan topi atau pelindung untuk mengelakkan dari terkena matahari pada bahagian tengkuk, kepala dan mata
  • Pakai pakaian yang sesuai dan gunakan cermin mata hitam untuk mengelakkan terkena kesan cahaya ultra violet

Langkah berjaga-jaga

Sesetengah ubat, kosmetik dan ubat kimia bertindak balas dengan cahaya matahari menyebabkan kulit merah atau terbakar:

  • Ubat alahan dan ubat gatal
  • Antibiotik
  • Ubat penenang
  • Ubat kencing manis
  • Ubat jerawat
  • Pil perancang keluarga
  • Racun serangga
  • Sesetengah bahan antibakteria yang terdapat dalam sabun atau pencuci muka
  • Bahan pewangi dalam sabun atau minyak wangi
  • Sesetengah produk herba terutamanya yang berasaskan limau, seleri, dan herba dari kumpulan St. John’s Wort

Adakah anda tahu bahawa terdapat bahan pelindung cahaya matahari secara semula jadi di kulit yang dipanggil melanin?

  • Melanin merupakan pigmen semula jadi yang menyerap sinaran ultra violet dan menyebabkan kulit berubah dari cerah ke kuning ke perangan
  • Melanin melindungi kulit daripada kerosakan pancaran sinar ultra violet oleh matahari
  • Secara umumnya, orang yang berkulit cerah mempunyai kandungan melanin yang kurang dan ini menjadikan ia lebih sensitif kepada sinaran ultra violet

Sesiapa sahaja boleh mengalami kerosakan kulit akibat terdedah kepada cahaya matahari terutama kepada:-

  • Berkulit sensitif dan cerah serta mempunyai kandungan melanin yang kurang
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami kanser kulit
  • Mempunyai banyak jeragat atau tahi lalat
  • Mengalami rawatan kanser kulit
  • Memiliki rambut berwarna merah atau coklat

Sekiranya anda mengambil ubatan, sila dapatkan nasihat ahli farmasi sama ada terdapat bahan tersebut di atas dalam ubatan anda yang boleh menyebabkan kulit sensitif pada sinaran ultra violet.

Berhati-hati dan lindungi diri anda dari matahari sekiranya anda menggunakan ubat tersebut.

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Nour Hanah bt. Othman
Penyemak : Dr. Nazhatussima bt. Suhaili

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,273,276

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia