A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

ATT Vaksin

Pengenalan

Tetanus (kancing gigi) merupakan penyakit yang disebabkan oleh racun neurotoxin yang dihasilkan oleh bakteria Clostridium tetani. Bakteria Clostridium tetani hidup di dalam persekitaran terutamanya di kawasan tanah yang panas dan lembap. Bakteria ini boleh memasuki badan melalui kecederaan kulit yang disebabkan objek yang tercemar seperti paku dan jarum. Berbeza dengan penyakit-penyakit cegahan vaksin yang lain, penyakit tetanus tidak tersebar antara manusia sesama manusia.

Sebaik sahaja bakteria ini memasuki tubuh badan melalui luka yang tercemar, ia akan merembeskan racun neurotoxin dan racun ini seterusnya akan menyerang sistem saraf manusia yang akan menyebabkan gejala-gejala seperti berikut:

  • Sakit kepala
  • Ketegangan pada otot rahang
  • Ketegangan otot yang tidak terkawal secara mengejut (kadang-kala ketegangan berlaku pada otot yang membantu pernafasan dan ini menyebabkan masalah pernafasan)
  • Kekejangan otot yang menyakitkan di seluruh badan
  • Kesukaran menelan
  • Demam dan berpeluh
  • Peningkatan tekanan darah dan degupan jantung bertambah kencang
  • Sawan

Gambar : Kekejangan otot yang teruk akibat penyakit tetanus
Sumber: CDC Amerika Syarikat

Penyakit tetanus yang teruk boleh membawa maut akibat kesukaran bernafas sekiranya rawatan tidak diberi dengan segera kepada pesakit. Rawatan tetanus ini termasuklah pemberian segera human tetanus immunoglobulin (antitoxin), rawatan luka serta ubatan-ubatan seperti antibiotik serta ubat untuk mengawal kekejangan otot. Pesakit tetanus mungkin memerlukan alat bantuan pernafasan sekiranya penyakit yang dialami berada pada tahap yang teruk. Setelah sembuh daripada penyakit tetanus, pesakit harus menerima suntikan vaksin tetanus kerana pemulihan daripada jangkitan tidak memberi kekebalan terhadap jangkitan yang seterusnya. Memandangkan penyakit tetanus berbahaya dan boleh membawa maut, langkah-langkah pencegahan harus diambil bagi mengelakkan diri daripada jangkitan tetanus. Imunisasi merupakan kaedah pencegahan penyakit tetanus yang terbaik.

Indikasi

Pemberian vaksin ATT adalah untuk mencegah individu daripada jangkitan tetanus.

Kumpulan sasaran

Suntikan vaksin tetanus adalah disyorkan kepada semua golongan masyarakat kerana penyakit tetanus boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia, jantina ataupun bangsa.

Pada masa kini, pemberian vaksin tetanus di bawah Program Imunisasi Kebangsaan KKM adalah disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan wanita mengandung. Semua kanak-kanak akan menerima tiga (3) dos primer vaksin tetanus pada usia 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan dan dos booster pada usia 18 bulan. Dos booster yang seterusnya akan diberikan pada usia 7 tahun dan 15 tahun.

Suntikan vaksin tetanus juga diberikan kepada wanita yang mengandung bagi mencegah jangkitan tetanus bayi melalui luka tali pusat yang tidak dipotong dengan peralatan yang steril.

Orang awam yang tidak menerima dos booster tetanus melebihi 10 tahun dari pengambilan dos booster terakhir adalah digalakkan untuk menerima suntikan vaksin tetanus bagi mencegah penyakit berbahaya ini.

Kesan Sampingan yang mungkin dialami (biasa/jarang ditemui)

Vaksin tetanus terdiri daripada toksin Clostridium tetani yang telah dibuang sifat toksiknya dan bahan adjuvant yang ditambah kepada vaksin untuk meningkatkan tindak balas imun badan.

Vaksin tetanus sama ada diberi secara bersendirian ataupun dengan vaksin-vaksin yang lain adalah selamat. Seperti vaksin-vaksin lain yang diberi secara suntikan, vaksin tetanus mungkin akan menyebabkan kesan sampingan di tapak suntikan seperti kesakitan dan kemerahan di tapak suntikan. Kesan sampingan teruk di tapak suntikan seperti pembentukan nodul atau abses steril adalah sangat jarang berlaku (sekitar 1-10 kes dalam 1 juta dos diberi). Abses steril merujuk kepada bengkak bernanah tanpa pertumbuhan kuman.

Di samping itu, vaksin tetanus mungkin boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan sistemik seperti demam, badan sakit dan lesu. Terdapat segelintir pesakit mengalami kesan sampingan yang teruk terhadap vaksin tetanus seperti reaksi anafilaktik (tindakbalas alergi yang serius) dan juga brachial neuritis (sejenis penyakit saraf yang teruk). Kesan-kesan sampingan ini adalah sangat jarang berlaku dengan kadar insiden sekitar 1-6 kes dalam 1 juta dos bagi reaksi anafilaktik dan 5-10 kes dalam 1 juta dos bagi brachial neuritis.

Semakan pangkalan data Pusat Pemantauan Keselamatan Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan mendapati kebanyakan kesan sampingan yang dilaporkan selepas pelalian tetanus adalah kesan-kesan sampingan yang ringan dan pesakit pulih daripada kesan sampingan yang dialami.

Isu semasa tentang vaksin ini, jika ada

Tiada

Rujukan

  1. Center for Disease Control and Prevention. Tetanus (Lockjaw) Vaccination http://www.cdc.gov/tetanus
  2. WHO Vaccine Position Paper on Tetanus 2006
Semakan Akhir : 24 Jun 2015
Penulis : Ng Chiew Seng
Akreditor : Noraisyah bt. Mohd Sani

Artikel Berkaitan

Produk Pemutih/Pencerah Kulit

Produk pemutih/pencerah kulit yang dibenarkan dalam pasaran adalah merujuk kepada krim, losyen atau sediaan lain yang digunakan secara luaran sahaja. Ianya sama sekali tidak termasuk produk yang digunakan secara suntikan atau dimakan.

Pil pelangsing

Pengenalan Pil pelangsing dan produk untuk menguruskan badan boleh dijual

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,421,674

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia