A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Aspirasi dan Suntikan Sendi Di Kalangan Kanak-kanak

Sendi kanak-kanak boleh mengalami radang yang dipanggil arthritis. Ubatan yang digunakan untuk suntikan ialah sejenis ubatan steroid yang dipanggil “Triamcinolone”. Ia disuntik kepada bahagian yang mengalami radang untuk mengurangkan kesakitan dan bengkakkan.

Suntikan ini boleh dilakukan di mana-mana sendi seperti sendi lutut, pergelangan kaki, pergelangan tangan dan siku. Suntikan steroid ini melibatkan pemasukan jarum kecil (jarum yang biasa digunakan untuk mengambil darah) ke dalam sendi terlibat.

Bagaimana suntikan ini dilakukan?

Pada permulaannya, untuk kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun, kebenaran perlu diambil daripada ibu atau bapa untuk melakukan prosedur. Kemudian, pakar pediatrik rheumatologi akan menyemak bahagian sendi yang ingin disuntik dan meletakkan satu petanda.

Untuk kanak-kanak yang berumur kurang daripada 10 tahun ataupun kanak-kanak yang mempunyai kerisauan tentang prosedur ini, ubatan tidur atau bius sepenuhnya (sedation/general anaesthesia) boleh diberikan oleh pakar bius di dewan bedah. Ia dilakukan seperti rawatan harian (Daycare) dan anak anda boleh pulang selepas bangun daripada ubatan bius atau tidur.

Untuk kanak-kanak yang berumur lebih daripada 10 tahun, opsyen untuk melakukan prosedur ini dengan bius setempat (local anaesthesia) boleh diberikan. Jika anak anda mempunyai kerisauan, prosedur ini masih boleh dilakukan dengan ubatan tidur dengan bantuan pakar bius.

Selepas diberi ubatan tidur atau bius setempat, pakar pediatrik rheumatologi anda akan memastikan lokasi sendi yang perlu disuntik. Selepas kepastian, jarum kecil akan dimasukkan kepada bahagian yang ingin disuntik dan ubatan steroid akan dimasukkan melalui jarum yang sama. Jika terdapat cecair sendi yang banyak, cecair ini akan diaspirasikan untuk pemeriksaan makmal.

Prosedur ini akan mengambil masa antara 30 minit sehingga 2 jam terpulang kepada berapa sendi yang perlu disuntik.

Risiko untuk suntikan dalam sendi

Prosedur ini adalah sangat selamat dan mempunyai risiko yang sangat rendah.

Antara risiko ialah:

    1. Lebam atau pendarahan dalam sendi atau di bawah kulit
    2. Jangkitan kuman (serius tetapi sangat jarang berlaku)
    3. Parut atau kulit nipis pada bekas suntikan
    4. Pembentukan kalsium pada bekas suntikan
    5. Tendon putus (serius tetapi sangat jarang berlaku)

Makanan dan minuman sebelum prosedur

Jika prosedur ini dilakukan dengan ubat tidur atau bius sepenuhnya, anak anda tidak boleh makan atau minum sekurang-kurangnya 6 jam sebelum prosedur.

Jika anak anda mempunyai masalah untuk berpuasa selama 6 jam disebabkan oleh sebarang penyakit, sila beritahu doktor anda.

Jika anak anda perlu memakan ubatan setiap pagi, sila berikan ubatannya dengan air kosong selama 2 jam sebelum prosedur ini.

Ubatan seperti Ibuprofen, Naproxen, Aspirin, Warfarin dan Enoxaparin boleh menyebabkan pendarahan dan oleh itu, anak anda perlu memberhentikan ubatan ini sebelum prosedur. Sila beritahu doktor anda jika anak anda memakan ubatan ini.

Pada hari suntikan steroid

Sila datang selama 1 hingga 2 jam sebelum masa prosedur itu ditetapkan. Anak anda akan diberi pakaian hospital dan akan ditimbang berat dan tekanan darah oleh jururawat. Anda akan ditanya soalan oleh pakar bius dan anda juga boleh berjumpa dengan pakar pediatrik rheumatologi anda untuk menanya soalan. Beliau akan memeriksa sekali lagi untuk memastikan berapa sendi yang perlu disuntik.

Selepas suntikan steroid

Selepas prosedur ini, anak anda akan berpindah ke bahagian pemulihan (Recovery area) untuk membenarkan anak anda untuk bangun daripada ubatan tidur.

Jika anak anda mengadu kesakitan pada bahagian yang disuntik, ubat tahan sakit boleh diberikan kepada anak anda.

Anak anda boleh pulang selepas anak anda telah bangun dan sedar sepenuhnya dan telah memakan dan meminum tanpa rasa mual atau muntah. Ini biasanya berlaku selepas 2 hingga 4 jam prosedur itu telah siap.

Anak anda perlu berehat untuk selama 72 jam atau 3 hari selepas prosedur untuk membenarkan ubatan steroid ini mengurangkan radang dalam sendi beliau. Jangan lakukan senaman lasak atau berjalan jauh untuk 3 hari ini tetapi beliau boleh berjalan ke tandas dan berada di rumah.

Nota penting

  • Suntikan ke dalam sendi dapat membantu mengurangkan radang dalam sendi
  • Kanak-kanak boleh diberi ubatan bius sepenuhnya jika diperlukan
  • Suntikan dalam sendi adalah prosedur yang sangat selamat
  • Anak anda perlu berehat selama 72 jam selepas suntikan untuk membantu anak anda mengurangkan radang dalam sendi

Semasa melakukan suntikan ke dalam sendi, ubat akan disuntik ke dalam satu kawasan di dalam sendi yang dinamakan ruang synovial. Ruang ini biasanya diisi dengan cecair synovial

Sumber:http://www.aboutkidshealth.ca/En/HealthAZ/TestsAndTreatments/Procedures/Pages/Joint-and-tendon-steroid-injections-using-image-guidance.aspx

Semakan Akhir : 17 October 2017
Penulis : Dr. Cham Weng Tarng
Akreditor : Dr. Tang Swee Ping

Artikel Berkaitan

Sakit Sendi

Sakit sendi di kalangan kanak-kanak bukan sesuatu perkara yang luar

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,369,770

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia