Home > Laman Utama > Arthritis

Arthritis

Pengenalan

Arthritis adalah suatu jenis penyakit yang mendatangkan kesakitan, kemerahan, bengkak dan kekejangan sendi. Antara sebab-sebab ianya berlaku adalah :

  • Kerosakan Sendi
  • Jangkitan kuman
  • Penyakit yang diwarisi
  • atau sebab-sebab lain

Arthritis yang sering dihidapi di kalangan dewasa adalah :

OSTEOARTHRITIS(OA)

  • Jenis yang paling lazim dihidapi
  • Disebabkan oleh sendi yang telah haus akibat penggunaan
  • Lebih kerap berlaku di kalangan warga tua
  • Menjadi lebih sakit bila melakukan pergerakan
  • Menjadi lebih sakit di penghujung hari

RHEUMATOID ARTHRITIS (RA)

  • Lebih kerap dihidapi kaum wanita
  • Disebabkan oleh tindakan daya tahanan badan yang bercelaru di mana tubuh badan sendiri menghasilkan antibodi untuk menyerang sendi-sendi sendiri
  • Menyebabkan kekejangan sendi di waktu pagi
  • Kekejangan mengambil masa lebih dari tiga puluh minit untuk reda pada waktu pagi
  • Sendi-sendi terlibat adalah jari, pergelangan tangan, tangan dan kaki.

ARTHRITIS YANG DISEBABKAN JANGKITAN KUMAN

  • Arthritis jenis ini disebabkan oleh kuman
  • Anda selalunya demam dan menggigil
  • Selalunya menyerang satu sendi sahaja

GOUT

  • Disebabkan oleh asid urik yang mendap di sendi-sendi
  • Lazim menyerang kaum lelaki di pertengahan umur
  • Lazim menyerang pangkal ibu jari kaki

Tanda-Tanda Arthritis

  • Sakit sendi (tangan, pergelangan tangan, jari, pergelangan kaki, punggung, tulang belakang di bahagian bawah)
  • Sendi bengkak
  • Kekejangan sendi
  • Susah untuk bergerak seperti biasa
  • Sakit apabila bergerak
  • Perubahan kepada sendi
  • Lutut berbunyi bagi penyakit osteoarthritis lutut
  • Otot betis menjadi kecut bagi penghidap osteoarthritis lutut
  • Sakit bila sekeliling sendi ditekan

Berikut mungkin menambahkan risiko arthritis

  • Peningkatan usia
  • Badan terlalu gemuk:
    • bagi penyakit osteoarthritis lutut
  • Jika ada ahli keluarga yang mengidap peyakit arthritis:
    • terutama sekali bagi osteoarthritis keseluruhan, gout ‘familial’
  • Sendi yang terlebih fleksibel (‘hypermobile joints’)
  • Kecederaan berat contoh bersukan
  • Mencangkung bagi osteoarthritis lutut
  • Pekerjaan:
    • Osteoarthritis lutut bagi pekeja buruh
    • Osteoarthritis punggung bagi peladang

Rawatan

  • Boleh di ubati secara ubatan dan bukan ubatan untuk melegakan dan memulihkan fungsi sendi.
  • Di sesetengah kes, pembedahan diperlukan.

Langkah-langkah mudah untuk kesihatan sendi

  • Penghidap arthritis harus peka tentang penyakit mereka dan menambah pengetahuan mengenai penyakit tersebut
  • Kurangkan berat badan
  • Senaman sendi
  • Menjalani program senaman yang membolehkan sendi bergerak dengan lebih lancar dan otot menjadi lebih kuat.
  • Selain dari senaman sendi, anda juga harus bersenam untuk kesihatan am contohnya berjalan, berbasikal atau berenang.

Perlindungan Sendi

  • Anda harus melindungi sendi anda dari kerosakan selanjutnya
  • Elakkan aktiviti yang menambahkan tekanan pada sendi
  • Guna alat pembantu untuk mengurangkan tekanan pada sendi contohnya penarik zip dan alat bantu bagi bangun dari kerusi, tandas dan katil
  • Bagi osteoathritis lutut, elakkan mencangkung dan duduk di atas lantai. Apabila duduk di atas kerusi, pastikan kerusi itu di paras lutut dan tidak terlalu rendah. Gunakan kerusi yang ada pemegang tangan untuk membantu anda bangun dari kerusi
  • Guna kasut yang boleh menyerap hentakan.

Penahan Sakit

Rawatan haba boleh melegakan sakit contohnya pek panas tetapi ini tidak boleh digunakan semasa sendi sedang mengalami radang. Ubat-ubatan boleh diberi untuk disapu atau dimakan:

  • Ubat sapu contoh salicylate
  • Penahan sakit contoh paracetamol
  • Ubat anti- radang kerap diberi bagi meredakan sakit dan keradangan contoh bagi penyakit arthritis rheumatoid dan osteoarthritis
  • Bagi kes yang teruk, ubat boleh disuntik terus ke sendi yang sakit
  • Bagi arthritis rheumatoid, ubat-ubatan yang dipanggil ubat pengubah penyakit (’disease-modifying anti- rheumatic drugs) juga diberi awal untuk mengelakkan kecacatan.

Menangani Tekanan

Sakit sendi selalunya menyebabkan kekejangan otot dan tanda-tanda lain tekanan. Tekanan juga menentukan tahap kesakitan seseorang itu.

  • Kerap rehat dan bertenang boleh membantu.
  • Mengubah aktiviti anda untuk menyesuaikan diri dengan waktu sakit.
  • Seimbangkan rehat dan aktiviti

Pembedahan

  • Jika rawatan perubatan gagal dan sakit berterusan, pembedahan adalah salah satu jalan penyelesaian.
  • Pembedahan yang sering dilakukan ialah pembedahan gantian sendi.

Pencegahan

  • Kurangkan berat badan- ini mengurangkan tekanan pada sendi
  • Kerap bersenam- senaman membantu melancarkan pengaliran darah, memastikan tulang dan otot kita kuat. Ia juga membantu pergerakan sendi. Seimbangkan rehat dan senaman dan elakkan dari menggagahkan diri untuk bersenam jika anda megalami kesakitan
  • Makan makanan yang seimbang – mustahak untuk mempunyai berat badan yang unggul dan mempunyai cukup zat. Elakkan dari makan makanan yang kaya dengan purin contohnya makanan laut, daging jika anda mengidap gout
  • Pelihara sendi anda- kurangkan tekanan pada sendi, gunakan mekanisma badan dan postur yang betul . Ambil berat tentang kesakitan dan rehat jika penat.

Bagaimana ubat alternatif selamat?

Berhati-hati dalam penggunaan ubatan alternatif kerana kandungan bahan aktif jarang diketahui. Mungkin ada interaksi dengan ubat-ubatan lain yang diambil dan ubatan alternatif. Ianya juga mungkin dicampur dengan bahan-bahan lain.

Bersikap positif

  • Amalkan cara hidup sihat dan sentiasa bersikap positif.
  • Walaupun arthritis adalah sebab utama kecacatan bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas, ianya boleh dirawat dan anda boleh mengambil langkah untuk mengurangkan risiko untuk mendapat arthritis.
  • Hidup sejahtera dan bahagikan tugas anda mengikut kepentingannya.
  • Menjadi ahli persatuan sepertiArthritis Foundation Malaysia dan Persatuan SLE Malaysia juga boleh membantu.
Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Heselynn Hussein
Penyemak : Dr. Heselynn Hussein