A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apraksia Di Kalangan Kanak-Kanak

Kanak-kanak yang mengalami apraksia tidak boleh menggerakkan mulut dan lidah untuk menghasilkan bunyi percakapan dengan betul.

Adakah ramai orang sukar untuk memahami percakapan anak anda? Malahan, anda juga tidak dapat menangkap maksud percakapannya?. Anda dapati anak anda memahami pertuturan dengan baik tetapi bunyi percakapannya seperti ada yang tidak kena. Sudahkah anda membawa anak untuk berjumpa dengan Terapis Pertuturan-Bahasa (TPB) dan di sana anda mendengar tentang masalah apraksia?.

Apa itu apraksia?

Apraksia ialah sejenis kecelaruan pertuturan motor (motor speech disorder). Kanak-kanak yang mengalami apraksia tidak boleh menggerakkan mulut dan lidah untuk menghasilkan bunyi percakapan dengan betul. Ini berlaku walaupun tiada kelemahan pada otot-otot muka. Kanak-kanak tersebut mempunyai masalah untuk menyampaikan mesej dari otak ke organ pertuturan. Ini menyebabkan mereka susah untuk merancang, menyusun dan menyebut bunyi dan perkataan ketika berkomunikasi. Hasilnya, pertuturan mereka sukar difahami oleh orang. lain.

Ibu-bapa dan penjaga kanak-kanak bermasalah apraksia sering menanyakan soalan-soalan yang saya senaraikan dibawah. Di platform yang terhad ini, saya cuba menjawab secara ringkas dan padat soalan-soalan tersebut. Ada beberapa terma lain yang juga digunakan bagi menerangkan masalah yang sama seperti dyspraxia, developmental apraxia of speech, developmental verbal apraxia dan verbal dyspraxia. Namun, dalam artikel ini saya hanya akan mengggunakan terma ‘apraksia’ bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Apakah faktor penyebab Apraksia?

Masalah apraksia di kalangan kanak-kanak selalunya berpunca dari kerosakan saraf pada otak disebabkan oleh jangkitan, penyakit dan kecederaan kepala. Apraksia di kalangan kanak-kanak juga boleh disebabkan oleh faktor lain seperti masalah keturunan, masalah degenerative, masalah metabolic dan sawan. Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak mengalami penyakit di atas akan mempunyai apraksia. Ada juga kanak-kanak yang mengalami masalah apraksia tanpa diketahui faktor penyebabnya.

Apakah tanda dan simptom apraksia bagi kanak-kanak?

Setiap kanak-kanak bermasalah apraksia menunjukkan tanda dan simptom yang yang berbeza. Berikut merupakan antara simptom yang mungkin ditunjukkan oleh kanak-kanak yang mengalami apraksia.

Kanak-kanak yang masih kecil (0-2 tahun)

Kanak-kanak yang masih kecil
Sumber : Koleksi peribadi penulis
 
  • Tidak menghasilkan bunyi vokal dan membebel ketika bayi
  • Lambat menghasilkan perkataan pertama
  • Hanya ada beberapa bunyi vokal dan konsonan yang berbeza
  • Bermasalah dalam menyambung bunyi-bunyi perkataan
  • Menggantikan bunyi yang sukar disebut dengan bunyi yang mudah
    Contohnya : kakak ?tata
  • Menggugurkan bunyi yang susah disebut
    Contohnya: mata ? ata (walaupun kebanyakan kanak-kanak yang sedang membesar melakukan kesalahan bunyi seperti di atas, namun kanak-kanak apraksia lebih kerap melakukannya)

 

Kanak-kanak besar (2-6 tahun)

  • Kesalahan bunyi yang dihasilkan tidak konsisten
    Contohnya, boleh menyebut bunyi tertentu hari ini tetapi tidak boleh menyebut bunyi yang sama keesokan harinya.
  • Boleh memahami percakapan lebih baik dari menghasilkan pertuturan
  • Sukar dalam meniru pertuturan
  • Meniru bunyi lebih mudah dari menyebut perkataan dengan spontan.
  • Mengalami masalah untuk menggerakkan lidah dan mulut untuk menghasilkan bunyi yang ingin dihasilkan.
    Contohnya, mencuba beberapa kali untuk menyebut perkataan tersebut sebelum berjaya menyebut dengan betul.
  • Bermasalah menyebut perkataan yang panjang berbanding perkataan pendek.
  • Pertuturan semakin sukar dihasilkan jika kanak-kanak tersebut merasa gementar.
  • Pertuturan sangat sukar difahami terutamanya oleh orang asing.
  • Intonasi yang dihasilkan tidak natural, seperti monoton atau kurang irama.
  • Perkembangan bahasa yang lewat
 
Kanak-kanak besar
Sumber : Koleksi peribadi penulis

Siapa yang boleh diagnos anak saya sebagai Apraksia?

Jika anak anda menunjukkan ciri-ciri berikut, sangat penting untuk membawanya berjumpa TPB bagi menjalani penilaian pertuturan dan bahasa. TPB akan menilai kemahiran oral-motor, intonasi pertuturan serta perkembangan bunyi pertuturan. TPB juga akan merancang terapi yang sesuai untuk dijalankan kepada anak anda. Terma apraksia dikalangan kanak-kanak boleh disalah guna memandangkan sesetengah kanak-kanak memerlukan masa yang lebih lama untuk membina pertuturan yang jelas dan tidak pelat. Justeru itu, penting bagi anak anda dinilai oleh TPB bagi mengelak dari salah diagnos.

Penilaian oro-motor:

  • Memeriksa tanda-tanda kelemahan otot di mulut, rahang dan lidah yang boleh menyebabkan masalah disartria. Kanak-kanak bermasalah apraksia jarang mempunyai kelemahan otot di muka. Namun dengan memeriksa otot muka dapat membantu TPB dalam melakukan diagnosis yang menyeluruh.
  • Memeriksa pergerakan otot muka ketika meniru percakapan serta meniru pergerakan muka (senyum, mengeluarkan lidah, memuncungkan mulut)
  • Menilai kemahiran dalam mengatur dan menyusun pergerakan otot ketika kanak-kanak menghasilkan bunyi yang berulang seperti bunyi ‘pataka’ dengan pantas.

Penilaian intonasi pertuturan:

  • mengenal pasti sekiranya kanak-kanak tersebut boleh mengunakan intonasi yang bersesuaian dengan ayat yang dihasilkan contohnya seperti ayat tanya.
  • mengenal pasti sekiranya kanak-kanak akan berhenti di akhir ayat dan bukannya di tengah-tengah ayat.

Penilaian perkembangan bunyi pertuturan:

  • menilai penghasilan bunyi konsonan dan vowel
  • memeriksa bagaimana kanak-kanak menghasilkan bunyi tunggal (suku kata)dan bunyi gabungan (perkataan).
  • melihat sejauh mana orang lain boleh memahami percakapan kanak-kanak tersebut.

TPB juga akan menilai tahap kemahiran bahasa pemahaman serta bahasa penghasilan kanak-kanak tersebut bagi memastikan tiada masalah pertuturan lain yang muncul bersama apraksia

Apakah terapi bagi Apraksia?

Tiada satu kaedah terapi yang tetap bagi apraksia. Ini disebabkan setiap kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda yang berbeza. TPB akan merancang kaedah terapi yang bersesuaian dengan tanda-tanda yang ditunjukkan oleh setiap kanak-kanak tersebut. Matlamat utama terapi ialah untuk meningkatkan kemahiran merancang, menyusun dan mengatur pergerakan otot dalam menghasilkan bunyi pertuturan.

Antara kaedah yang digunakan oleh TPB ialah maklum balas sensori deria pelbagai (multi-sensory feedback). TPB akan memberi banyak kiu menggunakan deria sentuhan, deria penglihatan serta deria pendengaran kepada kanak-kanak ketika dia meniru bunyi pertuturan. Dengan kiu deria yang pelbagai ini, kanak-kanak apraksia akan lebih mudah merancang, menyusun dan mengatur pergerakan otot ketika bercakap.

Kajian menunjukkan kanak-kanak apraksia akan lebih berjaya jika menerima terapi yang kerap (3-5 kali seminggu) dan intensif. Kanak-kanak yang menjalani terapi perseorangan lebih baik dari kanak-kanak yang menjalani terapi berkumpulan. Latihan yang konsisten serta berulangan adalah kunci kepada kejayaan sesuatu kaedah terapi dalam membantu kanak-kanak bermasalah apraksia berkomunikasi dengan efektif.

apakah terapi bagi apraksia kanak-kanak
Sumber : Koleksi peribadi penulis

TPB mungkin akan mencadangkan Komunikasi Augmentative Dan Alternatif (KAA) (augmentative and alternative communication) jika apraksia menyebabkan kanak-kanak sangat susah untuk bercakap. KAA akan membantu percakapan kanak-kanak lebih mudah untuk difahami. Ia juga membantu mengurangkan rasa kecewa kerana sukar untuk bercakap. Penggunaan KAA akan berkurangan jika percakapan kanak-kanak semakin meningkat.

Selalunya, ibu bapa akan tertanya-tanya jika anak mereka akan boleh berkomunikasi dengan baik satu hari nanti setelah didiagnos apraksia. Kejayaan terapi bergantung kepada tahap keterukan apraksia anak mereka serta masalah yang mungkin muncul bersama-sama dengan apraksia seperti perkembangan bahasa yang lewat, masalah pergerakan motor halus atau masalah sensori . Berdasarkan pengalaman saya, dengan masa dan terapi yang bersesuaian, kanak-kanak apraksia akan menunjukkan kemajuan ke tahap yang lebih baik. Mereka juga dapat bertutur dengan lebih jelas serta berkomunikasi dengan efektif.

Apa yang boleh saya bantu di rumah?

TPB selalunya akan memberi senarai latihan yang boleh dijalankan di rumah setelah kaedah terapi telah dirancang. Latihan yang konsisten serta berulang sangat penting dalam membantu kanak-kanak apraksia mencapai matlamat bertutur dengan jelas dan berkomunkasi dengan baik. Walaupun masalah apraksia akan memberi tekanan kepada kedua ibu bapa serta anak, perasaan tertekan ini dapat dikurangkan jika ibu bapa kreatif dalam mencipta suasana latihan yang seronok dan menarik. Latihan pertuturan boleh dilakukan di dalam kereta, di bilik mandi serta ketika bermain bersama.

Kebanyakan kanak-kanak apraksia juga memerlukan persekitaran yang membantu mereka rasa positif untuk berkomunikasi. Ibu bapa perlu sentiasa memberi galakan dan sokongan dengan menyediakan suasana yang kurang tekanan dan lebih menyokong untuk anak berkomunikasi. Saya berharap artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi pemahaman kepada orang awam tentang apraksia di kalangan kanak-kanak.
Sumber : Koleksi peribadi penulis

 

Rujukan

  1. Freed, D. (2011).Motor Speech Disorders: Diagnosis & Treatment. Cengage Learning.
  2. Kortte, J. H., & Palmer, J. B. (2008). Speech and language disorders.Frontera: Essentials of Physical Medicine and Rehabilitation, 2nd ed. Philadelphia: Saunders Elsevier.
  3. The Childhood Apraxia of Speech (2015). Retrieved from apraxia-kids.org/Apraxia-KIDS.org, September 11, 2015

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Fairus bt. Mukhtar
Akreditor : Nur Syuhada bt. Hosni
Reviewer : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Mudah Lebam

Lebam berlaku akibat kebocoran pada salur darah di lapisan kulit.

Vaksin BCG/TB

Apa itu BCG? BCG adalah singkatan bagi Bacillus Calmette Gurrain.

Kanser

Setiap sel di dalam badan mengalami pusingan jangka hayat untuk membiak, berhubung-kait dengan sel-sel yang lain di sepanjang masa kehidupan. Kanser terjadi jika jenis sel telah hilang kawalan mekanisma dan membiak dengan tersendiri tanpa dapat dikawal oleh badan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,353

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia