A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Perkhidmatan
  6. /
  7. Apa itu radiofarmaseutikal?

Apa itu radiofarmaseutikal?

Radiofarmaseutikal merupakan sejenis ubat yang mengandungi bahan radioaktif dan digunakan untuk tujuan perubatan; iaitu mendiagnos atau merawat sesuatu penyakit.

Pengenalan

Radiofarmaseutikal merupakan sejenis ubat yang mengandungi bahan radioaktif dan digunakan untuk tujuan perubatan; iaitu mendiagnos atau merawat sesuatu penyakit. Di dalam bidang Perubatan Nuklear, hampir 95% digunakan untuk mendiagnos penyakit –penyakit seperti kanser dan bukan kanser. Dos yang diberikan adalah kecil dan pemberiannya adalah selamat dengan syarat pesakit mengambil langkah-langkah berkaitan perlindungan sinaran seperti yang dinasihatkan.

Radiofarmaseutikal mempunyai dua komponen iaitu; radionuklid dan farmaseutikal. Radionuklid akan menghasilkan sinaran radioaktif yang mempunyai keupayaan tenaga berbeza bergantung kepada jenis radioaktif yang digunakan manakala farmaseutikal berfungsi sebagai pembawa untuk mengangkut radioaktif yang kesel-sel yang ditujukan seperti sel-sel kanser. Radiofarmaseutikal hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh anggota perubatan yang berkelayakan dengan pengawasan pakar perubatan nuklear dan hanya boleh didapati di hospital-hospital yang menawarkan perkhidmatan ini.

Jenis Radiofarmaseutikal

Radiofarmaseutikal boleh dibahagi kepada 2 jenis bergantung kepada tujuan kegunaannya iaitu;

  1. Radiofarmaseutikal bagi tujuan mendiagnos penyakit.
  2. Radiofarmaseutikal bagi tujuan merawat penyakit.

Radiofarmaseutikal Bagi Tujuan Diagnosis Penyakit

Radiofarmaseutikal bagi tujuan ini mengandungi bahan radioaktif yang akan menghasilkan sinaran radioaktif iaitu; sinaran gamma. Sinaran gamma ini boleh dikesan menggunakan peralatan pengesan radiasi atau peralatan pengimejan seperti kamera sintilasi, Single Photon Emission Computed Tomography (SPECT) dan Positron Emission Tomography/Computed Tomography (PET/CT).Jika ubat radiofarmaseutikal ini disuntik ke dalam badan pesakit, ia akan sama ada bergerak melalui organ –organ tertentu di dalam badan atau diserap oleh organ tersebut . Seterusnya, sinaran ini akan dikesan oleh kamera pengesan sinaran gamma dan menghasilkan imej. Maklumat yang diperolehi ini akan digunakan oleh Pakar Perubatan Nuklear untuk membuat laporan perubatan pesakit.

Contoh gambar pengimejan tulang yang diperolehi hasil daripada pemberian radiofarmaseutikal ke atas pesakit bagi tujuan diagnostik.

(Sumber: http://www.who.int/entity/diagnostic_imaging/imaging_modalities/nuclearmed.jpg)

Radiofarmaseutikal Bagi Tujuan Rawatan Penyakit

Manakala radiofarmaseutikal bagi tujuan ini pula mengandungi bahan radioaktif yang akan menghasilkan sinaran radioaktif yang bertenaga tinggi iaitu sinaran zarah beta atau sinaran zarah alfa. Sinaran radioaktif ini berupaya untuk membunuh sel seperti sel kanser atau barah. Ubat yang disuntik ke dalam badan pesakit akan bergerak dan kekal di tisu barah. Akibat pendedahan sinaran radioaktif, tisu barah tersebut akan rosak dan seterusnya mati. Hasil rawatan mungkin tidak dapat dilihat serta merta kerana proses kematian sel yang rosak mengambil sedikit masa. Pesakit mungkin akan dikuarantin selepas mengambil ubat ini bagi tujuan keselamatan radiasi.

Kegunaan/Indikasi

Disenaraikan beberapa jenis radiofarmaseutikal dan kegunaannya seperti jadual di bawah.

Bil
Nama Radiofarmaseutikal
Indikasi
1. Technetium (99mTc) Medronate Pengimejan Tulang
2. Technetium (99mTc) Tetrofosmin Pengimejan Perfusi Jantung
3. Technetium (99mTc) Sestamibi
Sodium pertechnetate (99mTc)
Pengimejan Paratiroid.
4. Fludeoxyglucose (18F)
Iobenguane (131I)
Pengimejan Kanser.
5. Technetium (99mTc) succimer
Technetium (99mTc) pentetate
Technetium (99mTc) mertiatide
Pengimejan Buah Pinggang
6. Sodium Iodide (131I) Pengimejan dan Rawatan Kanser Tiroid
7. Yttrium (90Y) silicate Rawatan Radiosynovectomy

Bila radiofarmaseutikal diberikan?

Pesakit yang dirujuk ke Jabatan Perubatan Nuklear sahaja yang akan diberikan ubat ini. Penjelasan yang secukupnya berhubung prosedur berkaitan akan disampaikan oleh doktor bertugas. Radiofarmaseutikal ini hanya akan diberikan apabila pesakit bersetuju untuk meneruskan prosedur ini.

Cara Pemberian dan Bentuk Sediaan

Terdapat pelbagai bentuk dosej ubat radiofarmasutikal ini. Biasanya pesakit akan diberikan sama ada melalui suntikan intravena atau oral; iaitu sediaan berbentuk cecair (untuk diminum) atau kapsul (untuk ditelan). Terdapat juga dalam bentuk gas yang perlu disedut oleh pesakit. Radiofarmaseutikal ini hanya diberikan kepada pesakit di hospital sahaja atau khususnya di Jabatan Perubatan Nuklear. Pesakit tidak dibekalkan ubat ini untuk dibawa pulang.

Dos Pemberian

Tidak seperti sediaan farmaseutikal lain, ubat ini tidak menggunakan dos di dalam unit milligram sebagai sukatan pengambilan untuk diberi pada pesakit, sebaliknya radiofarmaseutikal menggunakan unit Curie (Ci) (Unit Bukan SI) atau Megabecquerel (MBq) (Unit SI). Dos yang diberi kepada anda akan ditentukan oleh doktor bertugas. Terdapat perbezaan dos yang diberikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Penentuan dos juga biasanya bergantung kepada nilai berat badan pesakit.

Perkara-Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian

Sebelum membuat keputusan untuk menggunakan radiofarmaseutikal bagi tujuan diagnosis atau merawat penyakit, berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian;

  1. Pastikan pesakit tidak alah terhadap mana-mana isi kandungan ubat yang digunakan.
  2. Pastikan pesakit tidak mengandung.
  3. Pesakit dinasihatkan berhenti menyusukan anak untuk sementara waktu.
  4. Rujuk doktor anda jika anak atau ibu bapa anda memerlukan ubat ini.
  5. Pesakit bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada doktor mengenai ubat-ubatan, ubat tradisional, herba-herba dan makanan tambahan (suplemen) yang diambil.
  6. Maklumkan kepada doktor sekiranya pesakit merokok atau minum minuman beralkohol.

Walaubagaimanapun, pastikan anda berbincang dengan doktor anda tentang manfaat dan risiko berhubung pendedahan radiasi yang diterima dari penggunaan radiofarmaseutikal.

Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami

  1. Loya
  2. Sukar bernafas
  3. Penyempitan saluran pernafasan
  4. Pengurangan tekanan darah
  5. Gatal-gatal
  6. Kemerah-merahan
  7. Seram sejuk
  8. Batuk
  9. Degupan jantung perlahan
  10. Kekejangan otot
  11. Pening

Sekiranya pesakit mengalami sebarang tanda-tanda yang tidak sama seperti di atas dan namun berasa tidak selesa, sila maklumkan kepada doktor atau mana-mana pengamal perubatan dengan segera. Kesan sampingan mungkin berlaku setelah anda meninggalkan hospital.

Rujukan

  1. AgensiNuklear Malaysia. Warta Nuklear Malaysia. PerubatanNuklear (PDF). Jilid 4. Bilangan 3 Sept-Dis 2011.
  2. Gambar – http://www.who.int/diagnostic_imaging/imaging_modalities/dim_plain-radiography/en/index7.html
  3. http://apps.who.int/phint/en/p/docf/
  4. http://www.drugs.com/drug-class/radiopharmaceuticals.html
  5. http://www.whatisnuclearmedicine.com/Home 6. Saha G.P. (2010). Fundamental of Nuclear Pharmacy (6th ed.). New York: Springer Science+Business Media
  6. Video – http://www.snmmi.org/ClinicalPractice/content.aspx?ItemNumber=6539
  7. Munjal, A., & Gupta, N. (2020). Radiopharmaceuticals. https://europepmc.org/article/nbk/nbk554440
Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis : Mohd Borhanuddin bin Md. Hassan
Penyemak : Syafi’ah binti Bakaruddin

Artikel Berkaitan

Penyakit Bawaan Virus Varicella-Zoster

Virus Varicella-Zoster (VZV) adalah virus yang mengakibatkan dua jenis penyakit iaitu varicella (demam campak) dan herpes zoster (kayap). Demam campak kebiasaanya dijangkiti pada zaman kanak-kanak,manakala kayap pula adalah jangkitan lanjut demam campak yang mungkin berlaku pada usia tua.

Iklan kosmetik: Apakah yang perlu anda tahu?

Produk kosmetik di pasaran adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap peraturan dan keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Garis panduan bagi Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia. Antara lain, peraturan dan garis panduan tersebut turut memuatkan Kod Iklan Produk kosmetik yang menetapkan keperluan yang perlu dipatuhi bagi pengiklanan produk kosmetik.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,857

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia