A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa itu Implan Koklea?

Implan koklea adalah alat elektronik yang ditanam di dalam kepala melalui pembedahan bagi membantu individu yang bermasalah pendengaran sensorineural untuk mendengar bunyi.

Pengenalan

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiga daripada 1000 bayi yang dilahirkan mempunyai mempunyai masalah pendengaran.  Masalah pendengaran biasanya akan menjejaskan keupayaan individu untuk mendengar,  bertutur dan seterusnya boleh menjejaskan penglibatan mereka dalam masyarakat.

Kini, implan koklear dapat memberi harapan baru bagi individu yang mempunyai masalah pendengaran. Implan koklea atau dikenali sebagai telinga bionik merupakan salah satu kaedah terkini dalam membantu individu yang mempunyai masalah pendengaran. Alat canggih dan berteknologi tinggi ini mampu membantu individu yang bermasalah pendengaran untuk mengenal, mendengar bunyi dan seterusnya belajar bertutur dan berkomunikasi.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan Program Implan Koklear Kebangsaan pada tahun 2006 bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan menggunakan implan koklea untuk belajar atau kembali mendengar.

Kenali Implan Koklea

Sumber: Berita Harian Online

Implan koklea adalah alat elektronik yang dipacak di bahagian dalam kepala melalui pembedahan bagi membantu individu yang bermasalah pendengaran sensorineural untuk mendengar bunyi.

Fungsi implan koklea berbeza dengan alat bantu pendengaran konvensional, di mana alat bantu pendengaran konvensional berfungsi untuk menguatkan bunyi, manakala implan koklea pula menggantikan fungsi koklea di bahahadian telinga dalam yang rosak bagi memproses bunyi untuk menghantar signal ke otak.

Komponen Implan Koklea

Komponen asas implan koklea terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Bahagian dalam: Implan dan Baris Elektrod Bahagian Luar: Pemproses bunyi
Sumber: Advanced Bionics

Bagaimana Mendengar dengan Implan Koklea

  1. Bunyi dikumpulkan melalui mikrofon di pemproses bunyi.
  2. Pemproses bunyi menukarkan bunyi ke informasi digital.
  3. Set kepala bermagnet menghantar    informasi digital ke implan.
  4. Baris elektrod menghantar signal elektrik ke saraf pendengaran.
  5. Saraf pendengaran menghantarnya ke otak di mana akan ditafsirkan sebagai bunyi.
Sumber: Advanced Bionics

Pesakit yang Sesuai untuk Implan Koklea

Kriteria pesakit yang sesuai menggunakan implan koklea adalah seperti berikut :

Umur calon

  • Kanak-kanak yang mendapat masalah pendengaran berusia di bawah empat tahun. Namun begitu pesakit yang berumur lebih dari empat tahun masih boleh dipertimbangkan mengikut kes kesesuaian.

  • Tiada had maksimum umur untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak yang telah memperolehi kemahiran bertutur jika mereka tiba-tiba disahkan mengalami masalah pendengaran.

Tahap Keterukan Masalah pendengaran

  • Pesakit yang mempunyai pendengaran sensorineural tahap teruk ke tahap sangat teruk di kedua-dua belah telinga

Percubaan alat bantu pendengaran

  • Sebelum pesakit dipertimbangkan untuk pembedahan pemasangan implan koklear, pesakit haruslah menggunakan alat bantu pendengaran konvensional secara konsisten di dalam tempoh masa yang ditetapkan. Pegawai audiologis akan membuat penilaian sekiranya pesakit tidak mendapat manfaat daripada alat tersebut, implan koklear akan dicadangkan.

Tahap kesihatan Pesakit

  • Pesakit tidak mengalami masalah ketiadaan saraf pendengaran
  • Pesakit tidak mempunyai masalah kesihatan lain yang boleh menghalang pesakit daripada menjalani pembedahan.

Penglibatan pesakit dan penjaga

  • Pesakit memberi komitmen berterusan semasa sesi penilaian dan terapi dan sesi rawatan.

Proses Intervensi Implan Koklea

Proses intervensi implan koklea merupakan intervensi multidisiplin yang memerlukan penglibatan beberapa perkhidmatan kepakaran:

  1. Pakar ORL
  2. Audiologis
  3. Terapis Pertuturan – Bahasa

Perkhidmatan Pakar Otorinolaringologi

Sumber: bharian.com

Pakar Otorinolaringologi melakukan pemeriksaan awal bagi memeriksa tahap kesihatan pesakit sebelum pembedahan dijalankan.

Perkhidmatan Audiologi

Sumber: Hospital Raja Permaisuri Bainun

Audiologis bertanggungjawab memeriksa tahap pendengaran pesakit, pemasangan memakaikan alat bantu pendengaran konvensional serta melakukan rehabilitasi aural selepas implan koklear dilakukan.

Perkhidmatan Terapi Pertuturan-Bahasa

Sumber: Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan, UKM

Terapis Pertuturan-Bahasa menjalankan rehabilitasi bahasa dan pertuturan untuk meningkatkan kebolehan pesakit untuk berkomunikasi secara efektif sebelum dan selepas pembedahan.

Pesakit perlu menjalani intervensi awal iaitu sebelum pembedahan dan selepas proses pembedahan implan koklea berlaku. Ia adalah proses yang perlu dijalani secara berperingkat bagi memastikan keberkesanan penggunaan alat ini. Proses rawatan bagi pesakit implan koklea adalah seperti berikut :

  1. Pesakit perlu menjalani ujian pendengaran bersama audiologis bagi menentukan  jenis dan tahap keterukan masalah pendengaran.

  2. Pesakit yang dikenalpasti mempunyai masalah pendengaran perlu menggunakan alat bantu pendengaran secara konsisten dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

  3. Dalam masa yang sama pesakit perlu mengikuti sesi terapi pertuturan bersama terapis pertuturan-bahasa untuk mempelajari kemahiran mendengar dan bertutur.

  4. Audiologis dan Terapis Pertuturan-Bahasa akan menilai samada pesakit mendapat manfaat daripada penggunaan alat bantu pendengaran.

  5. Pesakit perlu menjalani pemeriksaan bersama Pakar ORL, Pakar Pediatrik, Radiologis atau mana-mana pakar perubatan lain sekiranya diperlukan bagi menilai samada pesakit sesuai menjalani pembedahan implan koklea atau tidak.

  6. Pesakit yang sesuai, akan menjalani pembedahan implan koklea yang akan dilakukan oleh pakar ORL.

  7. Implan koklea akan diaktifkan 2-4 minggu selepas pembedahan.

  8.  Selepas itu pesakit perlu menjalani sesi  mapping bersama Audiologis

  9. Pesakit juga perlu menjalani sesi terapi pertuturan bagi meningkatkan kemahiran mendengar dan bertutur.

Kesan Penggunaan Implan Koklea

Implan koklea bukanlah satu alat ajaib yang boleh memulihkan pendengaran pesakit secara serta- merta. Proses rehabilitasi selepas pembedahan implan koklea memerlukan kerja keras dan komitmen yang berterusan dari terapis, pesakit dan penjaga. Kebolehan pesakit untuk mendengar dan bertutur menggunakan implan koklea bergantung kepada beberapa faktor:-

  • Tempoh pesakit tidak dapat mendengar
  • Kondisi pada bahagian telinga dalam pesakit
  • Masalah kesihatan lain yang dihadapi pesakit
  • Penerimaan dan kerjasama pesakit dalam proses rehabilitasi selepas pembedahan.

Program Implan Koklear Kementerian Kesihatan Malaysia

Program Implan Koklear Kementerian Kesihatan Malaysia telah dilancarkan pada tahun 2006 untuk memastikan pesakit bermasalah pendengaran  yang mempunyai potensi untuk intervensi mendapat rawatan terbaik bagi  memaksimumkan kebolehan pendengaran dan pertuturan mereka. Ia juga dilaksanakan supaya pembedahan implan koklea dapat dijalankan secara teratur, selamat dan efektif.

Terdapat beberapa hospital yang telah dipilih sebagai hospital satelit untuk perlaksanaan program ini. Pembahagian hospital adalah mengikut zon seperti berikut:

Zon Utara

  • Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah

  • Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak

Zon Barat

  • Hospital Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

  • Hospital Sungai Buloh, Selangor

Zon Selatan

  •  Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan

  • Hospital Sultan Ismail, Pandan Johor

Zon Timur

  •  Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan

  • Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu

  • Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah

Rujukan

  1.  Richard C. Dowell (2005). The Hearing Journal. Evaluating Cochlear Implan Candidacy: Recent Development. 58. 9-22

  2. Medical Service Development Section & Drafting Commitee of Operational Policy of Cochlear Implant Service (2009). Cochlear Implant Service Operational Policies. (MOH/P/PAK/181.09(BP)). Ministry of Health

  3. Siti Nuralmizan Ariffin (November 2012).Implan Koklea. Berita Harian. Retreived from http//www.bharian.com.my/articles/Implankoklea/Article

  4. Advances Bionics, LLC (2013). Gangguan Pendengaran & Implan Koklea. Retreived from http//www.advancedbionics.com.my

  5. ASHA (1997-2014). Hearing Aids, Cochlear Implan & Asistive Technology. Retreived from http//www.asha.org/public/hearing/Cochlear-Implan

  6. Cochlear South East Asia. Cochlear Implan & My Child was Born Deaf. Retreived from http//www.cochlear.com/wps/wcm/connect/intt

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Marina bt. Abdul Malek
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 224,507,617

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia