A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Antihistamin

Pendahuluan

Antihistamin adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat alahan/alergi. Ia bertindak menyekat tindakan histamin, sejenis protein yang digunakan oleh sistem imun untuk membantu melindungi sel-sel badan daripada jangkitan. Sistem imun adalah pertahanan semula jadi badan terhadap penyakit dan jangkitan.

Jika sistem imun mengesan objek asing yang berbahaya seperti bakteria atau virus, ia akan melepaskan histamin ke dalam sel berdekatan. Histamin seterusnya akan menyebabkan saluran darah kecil mengembang dan kulit di sekitar kawasan jangkitan membengkak. Ini dikenali sebagai keradangan.

Pengembangan saluran darah membolehkan lebih banyak sel darah putih dihantar ke kawasan jangkitan untuk melawan jangkitan. Pembengkakan kulit sekeliling juga menyukarkan jangkitan untuk merebak ke bahagian badan yang lain.

Histamin kebiasaannya adalah protein yang berguna. Walau bagaimanapun kadang kala kesannya perlu disekat terutama ketika berlaku kesilapan apabila sistem imun badan mengesan bahan yang tidak berbahaya, seperti debunga dan hama sebagai satu ancaman.

Pembebasan histamin akan mencetuskan keradangan dan menyebabkan tisu berdekatan jangkitan menjadi merah dan bengkak. Ia juga boleh menjejaskan saraf di dalam kulit sehingga menyebabkan kulit berasa gatal.

Contoh Alahan Yang Boleh Dirawat Menggunakan Antihistamin

  • Demam alergi

  • Rinitis alergi (radang hidung disebabkan oleh reaksi alahan kepada bahan-bahan seperti hama)

  • Keadaan alergi kulit seperti ekzema dan urtikaria (gatal-gatal)

  • Konjunktivitis alergi (radang mata)

Jenis Antihistamin

Antihistamin diklasifikasikan mengikut dua kumpulan:

  1. Generasi pertama

    Menyebabkan gejala mengantuk bagi kebanyakan orang.

    Contohnya: diphenhydramine dan chlorphenamine/chlorpheniramine

  2. Generasi kedua

    Selalunya tidak menyebabkan gejala mengantuk.

    Contohnya: loratadine dan cetirizine.

Kebiasaannya, pesakit disyorkan untuk menggunakan antihistamin daripada kumpulan generasi kedua. Ini bagi mengelakkan pesakit mengalami kesan sampingan seperti mengantuk.

Di samping itu, bagi pesakit yang mengambil antihistamin generasi pertama, pesakit dinasihatkan supaya berhati-hati dengan kesan sampingan mengantuk ubat berkenaan. Pesakit juga dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan dan mengendalikan mesin selepas mengambil ubat tersebut bagi mengelakkan kemalangan berlaku.

Walau bagaimanapun, gejala mengantuk ini dapat membantu pesakit yang tidak dapat tidur kerana mengalami kegatalan akibat alahan.

Kesan Sampingan

  • Mengantuk dan keletihan

  • Pening

  • Peningkatan tekanan darah

  • Kesukaran menumpukan perhatian

  • Sakit perut

  • Sembelit

  • Penglihatan kurang jelas

  • Mulut kering

Keselamatan Pesakit

Antihistamin dianggap ubat yang selamat dan pesakit boleh mendapatkannya sendiri di kedai-kedai farmasi tanpa perlu berjumpa dengan doktor. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan kesihatan tertentu yang boleh menjadi lebih serius dengan pengambilan antihistamin, atau menyebabkan antihistamin bertindak balas secara tidak menentu. Oleh itu, pesakit hendaklah mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi masing-masing sebelum mengambil antihistamin bagi keadaan-keadaan berikut:

  • Lelah

  • Kencing manis (jenis 1 dan jenis 2)

  • Darah tinggi

  • Sawan

  • Glaukoma

  • Pembesaran kelenjar prostat

  • Sakit jantung

  • Sakit buah pinggang

  • Kerosakan pundi kencing

  • Kerosakan hati

  • Usus tersumbat

  • Kelenjar tiroid yang terlampau aktif

  • Wanita mengandung atau menyusukan anak

  • Kanak-kanak terutamanya berusia 2 tahun ke bawah

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Nurhazwani bt. Mohd Noor
Penyemak : Norhayati bt. Musa

 

Artikel Berkaitan

Natberry

Apa itu Natberry? Natberry adalah ekstrak bilberi dengan kandungan antosianidin

ATT Vaksin

Pengenalan Tetanus (kancing gigi) merupakan penyakit yang disebabkan oleh racun

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,231,199

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia