A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Antihistamin dan kanak-kanak

Antihistamin dan kanak-kanak

Pengenalan

Buat banyak tahun, antihistamin telah menjadi pilihan utama dalam rawatan keadaan alahan kerana mereke berkesan untuk melegakan simptom bagi keadaan alahan yang berlainan termasuk alahan bermusim, alahan dalam ruang tertutup dan makanan. Ianya merupakan antara ubat yang paling kerap dipreskripkan bagi kanak-kanak.

Antihistamin ialah sekumpulan ubat yang digunakan untuk merawat alahan yang disebabkan oleh histamin, Selain itu, ianya juga boleh digunakan untuk keadaan yang lain seperti batuk.

Jika anda ingin tahu bagaimana antihistamin berfungsi dalam badan kita, anda perlu memahami peranan histamin semasa kita berada dalam keadaan alahan.

Apabila sesuatu organism asing seperti bakteria dan virus masuk ke dalam badan kita, satu tindak balas yang dipanggil inflamasi berlaku untuk melindungi badan kita. Semasa inflamasi, sejenis bahan kimia yang dipanggil histamin dilepaskan dan seterusnya merangsang simptom alahan pada hidung, salur pernafasan dan kulit. Histamin akan merangsang sistem saraf lalu menyebabkan seseorang bersin dan rasa gatal pada hidung serta kulit. Histamin juga meningkatkan rembesan hidung dan mengembangkan salur darah lalu mengakibatkan kulit menjadi radang dan bengkak. Selain itu, histamin juga mengumpulkan semua jenis sel darah putih yang seumpama angkatan tentera dalam badan kita untuk berlawan dengan penceroboh asing (bakteria atau virus) di tempat jangkitan tersebut.

Bagi keadaan alahan, sistem pertahanan (sistem imun) badan kita menganggap objek asing seperti debunga dan habuk sebagai penceroboh lalu beraksi dengan tindak balas inflamasi yang sama. Tindak balas inilah yang menyebabkan kita mengalamai kesan seperti gatal-gatal dan kebengkakan kulit semasa keadaan alahan berlaku.

Antihistamin berfungsi untuk menghentikan atau mengurangkan histamin. Oleh itu, ianya boleh menghentikan simptom-simptom alahan.

Walau bagaimanapun, antihitamin tidak boleh merawat semua simptom alahan, contohnya apabila hidung sesak. Dalam keadaan sebegini, doktor anda mungkin akan bagi ubat lain seperti dekongestan selain daripada antihistamin. Kadang kala, produk kombinasi yang mengandungi kedua-dua antihistamin dan dekongestan akan diberikan.

Kegunaan Antihistamin

Antihistamin digunakan untuk merawat pelbagai jenis keadaan alahan seperti berikut:

  • alahan rinitis (inflamasi hidung)
  • keadaan alahan kulit termasuk
    • urtikaria — gatal-gatal
    • dermatitis sentuh— keradangan yang gatal akibat sentuhan dengan sesuatu objek
  • alahan konjuktivitis (inflamasi konjunktiva — membran yang menyelaputi bahagian putih mata)

Kegunaan antihistamin yang lain termasuk:

  • batuk
  • motion sickness (mabuk akibat pergerakan, contohnya mabuk laut)
  • loya dan muntah
  • vertigo – sensasi bahawa anda atau sekeliling anda berpusing
  • insomnia – kesukaran masuk tidur

Jenis-jenis Antihistamin

Secara umumnya, antihistamin dikelaskan kepada 2 kumpulan:

  1. Generasi pertama iaitu antihistamin yang boleh menyebabkan kesan mengantuk dalam kebanyakan orang. Antaranya termasuk chlorpheniramine, promethazine, hydroxyzine, triprolidine dan diphenhydramine.
  2. Generasi kedua iaitu antihistamin yang kurang menyebabkan kesan mengantuk berbanding dengan antihistamin generasi pertama dan biasanya direkomenkan. Antaranya termasuk cetirizine, loratadine, desloratadine dan fexofenadine.

Penggunaan antihistamin generasi pertama dalam kanak-kanak tidak pernah dikaji secara menyeluruh. Sebaliknya, antihistamin generasi kedua pernah dikaji penggunaannya di kalangan kanak-kanak. Maka, keselamatan penggunaanya dan dos yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak adalah lebih difahami oleh doktor dan ahli farmasi anda.

Kesan Samping Yang Mungkin Dialamai (Biasa/Jarang Dialami)

Seperti ubat yang lain, antihistamin mempunyai kesan samping. Secara umumnya, kesan sampingnya adalah lebih ketara dengan antihistamin generasi pertama.

Antara kesan-kesan samping yang biasa dialami akibat penggunaan antihistamin termasuk:

  • Mengantuk
  • Pening
  • Mulut kering
  • Loya dan muntah
  • Kegelisahan atau perasaan tidak menentu (dalam sesetengah kanak-kanak)
  • Kesukaran menumpukan perhatian
  • Selera makan berubah
  • Bermasalah berkencing
  • Sembelit
  • Kekaburan penglihatan
  • Kekeliruan

Kesan-kesan samping lain yang jarang tetapi mungkin berlaku termasuk:

  • Kesukaran masuk tidur
  • Mimpi ngeri
  • Halusinasi (melihat atau mendengar sesuatu yang bukan merupakan realiti)
  • Kegatalan kulit
  • Sawan (fits)
  • Denyutan jantung cepat daripada normal
  • Kesesakan dada

Kanak-kanak adalah lebih terdedah kepada kesan-kesan samping antihistamin, terutamanya mereka yang berumur kurang daripada 6 tahun. Mereka turut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kesan samping seperti kegelisahan. Dengan ini, ibu bapa dinasihatkan supaya jangan memberi antihistamin kepada anak anda tanpa nasihat daripada doktor dan ahli farmasi.

Arahan Khas Penggunaan Antihistamin Dalam Kanak-kanak

Antihistamin sering diberi untuk rawatan selesema. Namun demikian, kebaikannya untuk merawat selesema di kalangan kanak-kanak terutamanya mereka yang berumur kurang daripada 6 tahun adalah tidak terbukti. Kanak-kanak kurang daripada umur 2 tahun dianggap mempunyai sistem imunisasi yang berlainan. Oleh itu, kanak-kanak berumur kurang daripada 2 tahun tidak harus diberi antihistamin seperti promethazine, chlorpheniramine dan diphenhydramine untuk tujuan rawatan selesema. Manakala bagi kanak-kanak berumur antara 2 hingga 6 tahun, antihistamin harus digunakan secara berhati-hati.

Walau bagaimanapun bagi keadaan alahan, antihistamin masih boleh digunakan dengan syarat ianya diberikan atas nasihat doktor atau ahli farmasi anda.

Ibu bapa dinasihatkan untuk memperhatikan anak-anak mereka selepas antihistamin diberikan. Sekiranya sebarang kesan samping yang serius disyaki, anda perlu membawa anak anda untuk berjumpa doktor. Bawa semua ubat yang telah diberikan kepada anak anda ke hospital/klinik dan tunjuk kepada doktor anda supaya rawatan yang paling sesuai boleh diberikan.

Anda harus tahu bahawa sesetengah orang boleh dirawat dengan satu jenis antihistamin tetapi tidak mendapat sebarang manfaat daripada antihistamin yang lain. Dengan ini, sekiranya loratadine atau cetirizine tidak berfungsi untuk merawat anak anda, antihistamin lain mungkin diberikan oleh doktor anda.

Yang paling penting sekali, ibu bapa dinasihati supaya membaca label pada ubat sebelum memberikannya kepada anak anda. Ini adalah penting terutamanya apabila anak anda telah berjumpa dengan doktor yang berlainan kerana simptom alahan masih belum sembuh selepas berjumpa dengan doktor sebelumnya.

Seperti yang tersebut di atas, antihistamin boleh didapati sama ada sebagai produk tunggal atau produk gabungan dengan ubat lain. Justeru itu adalah mungkin bahawa dua produk berlainan sebenarnya mengandungi antihistamin yang sama atau berlainan. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa penggunaan dua atau lebih jenis antihistamin adalah lebih berkesan berbanding dengan satu jenis antihistamin. Lebih-lebih lagi, sekiranya kedua-dua produk mengandungi antihistamin yang sama, kemungkinan besar kejadian dos berlebihan akan berlaku. Kejadian dos berlebihan akan membawa kesan mudarat di mana kematian mungkin berlaku.

Akhir sekali, ibu bapa diingati supaya tidak merawat anak anda dengan ubat sendiri kerana respon kanak-kanak kepada ubat adalah berlainan daripada orang dewasa. Tanya doktor atau ahli farmasi anda sebelum memberikan sebarang ubat termasuk antihistamin kepada anak-anak anda.

Rujukan

  1. Antihistamine. (n.d.) [Picture] Retrieved March 6, 2015, from website http://www.home-remedies-haven.com/natural-antihistamines.html
  2. Cuvillo, A.D., Sastre, J., Montoro J., Jáuregui, I., Ferrer, M., Davila, I.,et al. (2007). Use of antihistamines in pediatrics. Journal of Investigational Allergology and Clinical Immunology, 17 (2), 28-40.
  3. Dr. Kenny, T., Dr. Rull, G. & Whitehall, J. (2014). Antihistamines. Retrieved February 24, 2015, from http://www.patient.co.uk/health/antihistamines-leaflet
Semakan Akhir : 24 Jun 2015
Penulis : Lee Sing Chet
Akreditor : Wang Khee Ing

Artikel Berkaitan

Kalsium (Oral)

Kalsium merupakan elemen penting yang diperlukan oleh tubuh manusia. Kalsium

Antioksida

Apakah itu antioksida? Antioksida adalah bahan yang mengurangkan, meneutralkan serta

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,233,286

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia