A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Antiemetik

Apa itu antiemetik

Antiemetik adalah kumpulan ubat yang efektif bertindak ke atas gejala muntah dan loya. Ianya selalu digunakan untuk mengurangkan rasa mabuk akibat kesan sampingan penggunaan ubat-ubatan seperti analgesik, bius selepas pembedahan dan kemoterapi untuk rawatan penyakit kanser.

Antara sebab yang boleh mengakibatkan muntah dan loya adalah seperti:

  1. Peringkat awal kehamilan (loya dialami sekitar 50%-90% wanita hamil manakala muntah sekitar 25%-55%)
  2. Kecederaan yang teruk
  3. Gangguan perasaan dan ketakutan melampau
  4. Penyakit batu karang atau jangkitan pada hempedu
  5. Tindak balas terhadap sesuatu bau atau rasa
  6. Gegaran atau hentakan pada kepala
  7. Tumor otak
  8. Gastrik atau ulser perut (luka pada permukaan kulit perut)

Bagaimana antiemetik bertindak

Mekanisma tindakan rawatan ubat antiemetik bergantung kepada jenis dan punca penyakit. Kadang kala terdapat lebih daripada satu penyebab yang mengakibatkan muntah dan loya terjadi. Keadaan ini memerlukan kombinasi penggunaan ubat untuk mencapai kesan rawatan yang lebih berkesan.

Terdapat banyak jenis ubat yang digunakan dalam merawat gejala muntah dan loya ini. Sebahagian kumpulan ubat bertindak terus ke bahagian pusat cetusan yang mengawal muntah di otak.

Manakala kumpulan ubat yang lain bertindak dengan meningkatkan kadar pengosongan di bahagian perut. Ini mengakibatkan makanan yang dicerna di perut akan bergerak dengan lebih pantas ke usus.

Ubat-ubat antiemetik

    1. Tablet Prochlorperazine Maleate
      • Dewasa: diambil 5mg atau 10mg biji, tiga (3) kali sehari
      • Kanak-kanak: dos adalah 0.25mg/kg diambil dua atau tiga kali sehari
      • Bagi kes kecemasan, suntikan 12.5mg diberikan dan diulangi selepas 6 jam.
      • Tidak boleh diambil oleh ibu mengandung dan menyusu

 

    1. Tablet Meclozine hidrochloride + Pyridoxine
      • Khas untuk wanita mengandung (yang mengalami gejala muntah dan loya)
      • Diambil 1-2 tablet sebanyak 2 atau 3 kali sehari

 

    1. Metoclopramide hidrochloride
      • Dewasa (umur 20 tahun ke atas): 10mg untuk tiga kali sehari
      • Dewasa (umur 12 – 20 tahun): 5mg untuk tiga kali sehari
      • Kanak-kanak (bawah 12 tahun): 0.12mg/kg/dos setiap 6 hingga 12 jam
      • Selamat untuk digunakan oleh ibu mengandung

 

  1. Tablet Ondansetron
    • Khas untuk pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi
    • Diberikan juga kepada pesakit yang baru selesai menjalani pembedahan bagi mengatasi kesan sampingan ubat bius.
    • Dos: 8mg diambil 1-2 jam sebelum rawatan kemoterapi dan diikuti dengan 8mg setiap 12 jam untuk 5 hari.

Kesan sampingan ubat-ubatan

Secara umumnya, semua ubat-ubatan mempunyai kesan sampingan. Namun kebanyakan pengguna tidak mengalaminya atau sistem tubuh badan mampu untuk bertoleransi dan menerima kesan tersebut.

Sila berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesan sampingan bagi setiap ubat yang anda ambil.

Antara kesan sampingan ubat antiemetik adalah:

  • Sembelit
  • Sakit kepala
  • Kulit kemerah-merahan (ubat jenis injeksi)
  • Pening
  • Mulut kering

Apakah tindakan pencegahan yang boleh dilakukan?

  • Elakkan pengambilan makanan dan minuman dalam jumlah yang banyak semasa sakit
  • Elakkan makanan jenis bergoreng atau yang berbau
  • Makan dalam kuantiti kecil dan pengambilan secara kerap boleh membantu
  • Makan makanan bersuhu sejuk atau suam sekiranya makanan bersuhu panas menyebabkan anda bertambah sakit
  • Meminum teh berperasa pudina boleh membantu
  • Elakkan minum dengan banyak selepas makan

Di manakah ubat ini boleh diperolehi?

Kebanyak ubat antiemetik merupakan ubat di bawah kawalan yang memerlukan preskripsi daripada Pengamal Perubatan. Anda boleh berjumpa dengan mana-mana doktor bagi mendapatkan diagnosa atau pengesahan terlebih dahulu sebelum menggunakan ubat-ubatan ini.

Bagi pesakit yang telah disahkan sesuai untuk mengambil ubat dalam kategori ini, anda boleh dapatkan di farmasi berdekatan atau mendapatkan bekalan ubat daripada hospital kerajaan atau swasta.

Bagi ibu-ibu mengandung dan menyusu, ubat apakah yang sesuai?

Langkah yang pertama adalah berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk dapatkan khidmat nasihat sebelum mengambil apa jua rawatan kendiri.

Sesetengah ubat tidak sesuai untuk ibu mengandung kerana boleh menembusi lapisan tali pusat dan diserap masuk oleh kandungan. Seterusnya kesan sampingan ubat yang tidak sesuai mungkin boleh menjejaskan kandungan.

Bagi ibu yang menyusu pula, sesetengah ubat-ubatan yang diambil boleh meresap kedalam susu badan dan memberi kesan kepada bayi apabila menyusu.

Semakan Akhir : 16 Disember 2013
Penulis: : Mohd Hadafi bin Mohd Yasim
Akreditor : Muslisah bt. Musa

 

Artikel Berkaitan

Vaksin Pneumokokal

Apakah Penyakit Pneumokokal ? Penyakit pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan

Teknik Penggunaan Ubat Titis Telinga

Ubat titis telinga digunakan untuk merawat jangkitan yang terjadi dalam telinga. Secara amnya ia berkesan, kerana ubat tersebut masuk secara langsung ke dalam saluran telinga dan bertindak di tapak jangkitan. Pastikan anda membaca arahan dengan teliti sebelum menggunakan ubat titis telinga.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,590

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia