A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa itu antasid?

Antasid secara umumnya merupakan kumpulan ubat-ubatan yang mengurangkan kerengsaan perut akibat gastrik atau pedih ulu hati.

Bagaimana antasid bertindak?

Antasid bertindak dengan mengurangkan tahap keasidan dalam perut.

Ia akan berinteraksi dengan cecair perut yang mengandungi asid hidroklorik (satu cecair yang dirembes oleh perut untuk mencerna makanan). Antasid kemudiannya akan meningkatkan nilai pH ke satu tahap yang lebih neutral.

Secara normal, perut manusia disesuaikan tahap keasidannya pada skala pH antara 1.5 hingga 3.5.

Bagaimana cara untuk mengambil antasid?

Antasid boleh didapati dalam bentuk tablet atau cecair. Kedua-dua bentuk ubat ini diambil menerusi mulut dan perlu diambil sebelum makan.

Bagi bentuk tablet, dos yang sesuai untuk dewasa adalah satu atau dua biji berdasarkan kepada nasihat doktor. Tablet perlu dikunyah atau dihancurkan terlebih dahulu untuk meningkatkan kadar serapan. Elakkan daripada mengambil dos secara berlebihan.

Bagi bentuk cecair pula, dos yang dicadangkan adalah sebanyak 15ml untuk pesakit dewasa. Pastikan anda ambil mengikut dos yang disyorkan oleh pihak doktor. Anda juga dinasihatkan untuk menggoncangkan botol ubat sebelum meminumnya.

Sekiranya anda mengidapi penyakit peptik ulser (Gambar 1; luka pada permukaan kulit perut), teruskan mengambil antasid seperti yang diarahkan oleh doktor.

alt
Gambar 1: Penyakit ulser peptik yang terjadi di dalam perut

Di mana boleh saya dapatkan ubat ini?

Antasid boleh didapati di semua kedai farmasi dan pembeliannya boleh dibuat tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor. Beberapa contoh antasid yang boleh diperoleh di kedai farmasi:

  1. Campuran sodium alginate, sodium bicarbonate calcium carbonate

    Didapati dalam bentuk cecair

  2. Campuran magnesium oxide, aluminium dioxide, dimethylpolysiloxane

    Didapati dalam bentuk tablet dan pengambilan ubat perlu dikunyah sebelum telan.

Di hospital atau klinik kesihatan kerajaan, terdapat beberapa jenis antasid yang boleh dipreskrib oleh doktor dan dibekalkan oleh ahli farmasi iaitu:

  1. Magnesium trisilicate

    Boleh didapati dalam bentuk tablet dan cecair.

    Dos dewasa:

    • Tablet 1 – 2 biji perlu dikunyah, dan boleh diambil sehingga 6 kali sehari sebelum makan.

    • Cecair 15ml atau satu sudu besar, dan boleh diambil sehingga 6 kali sehari sebelum makan.

    Dos kanak-kanak: berumur 6 tahun ke atas, diambil sebiji untuk 3-4 kali sehari.

  2. Campuran Sodium Bicarbonate, Magnesium Carbonate, Tincture Cardamom Compound

    Dos dewasa: 10 – 20 ml diambil 3 kali sehari.

  3. Sodium Bicarbonate Mixture (Pediatrik)

    Didapati dalam bentuk cecair

    Dos kanak-kanak: 5ml untuk umur bawah 1 tahun, 10ml untuk umur 1-5 tahun; diambil 4 hingga 6 kali sehari

  4. Aluminium Hydroxide 600 mg

    Didapati dalam bentuk tablet

    Dos dewasa: 600mg – 1200mg diambil 4 kali sehari termasuk sebelum waktu tidur

Bagaimana jika saya terlupa untuk mengambil dos?

  • Ambil dos yang terlupa secepat mungkin sebaik sahaja anda teringat.

  • Sekiranya masa untuk dos berikutnya terlalu hampir (sekitar 1 hingga 2 jam), tunggu sehingga waktu dos seterusnya DAN abaikan dos yang tertinggal.

  • Jangan sesekali mengambil dos secara berganda.

Berapakah tempoh masa untuk antasid bertindak?

Antasid bertindak sangat pantas sekitar 10 hingga 15 minit dari masa ianya diambil.

Kerengsaan pada perut kebiasaannya akan mula hilang dalam tempoh sekitar 20 minit selepas ia diambil.

Mengapa antasid perlu diambil?

  • Antasid diberikan kepada pesakit yang sering mengalami sakit perut atau pedih ulu hati.

  • Antasid sering digunakan bersama dengan ubat pelega kesakitan yang berpotensi untuk menyebabkan gastrik.

  • Bagi pesakit yang mengidap ulser perut, antasid perlu diambil dalam tempoh masa yang lebih lama sehingga ulser tersebut sembuh.

Apakah kesan-kesan sampingan pengambilan antasid?

Semua ubat mempunyai kesan sampingan. Kesan sampingan ini biasanya tidak serius tetapi kadangkala boleh menjadi lebih teruk. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anda mengalami kesan sampingan yang serius atau berlanjutan.

Kesan sampingan yang biasa dialami :

  • Degupan jantung yang tidak sekata,

  • lemah badan atau keletihan yang teruk, atau

  • kesakitan perut yang berpanjangan

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan dan ia berlarutan sama ada:

  • sembelit,

  • cirit-birit yang berlarutan,

  • kehilangan rasa pada lidah yang teruk atau

  • najis yang berwarna putih

Sepanjang tempoh pengambilan antasid, BERHENTI serta-merta dari mengambilnya dan SEGERA dapatkan nasihat atau berjumpa dengan doktor.

Bagaimana cara untuk menyimpan ubat ini?

  • Simpan pada suhu bilik dan di tempat yang kering.

  • Lindungi dari cahaya.

  • Jangan simpan antasid jenis cecair di tempat beku dalam peti sejuk.

  • Jauhkan ubat antasid daripada dicapai dan diambil oleh kanak-kanak.

  • Jangan berkongsi ubat dengan orang lain.

  • Jangan gunakan ubat yang telah melebihi tarikh luput.

  • Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi tentang cara-cara melupuskan ubat antasid yang sudah tamat tempoh hayatnya.

  • ATAU pulangkan ubat-ubatan antasid yang berlebihan atau sudah luput kepada kaunter farmasi yang berdekatan.

Amaran sebelum menggunakan ubat ini

  • Beritahu doktor sekiranya anda sedang mengandung atau dalam tempoh menyusukan anak

  • Pastikan anda memberitahu doktor sekiranya mempunyai masalah ginjal atau hati

  • Sekiranya anda menjalani terapi dialisis, JANGAN ambil sebarangan antasid dari pelbagai jenama kerana sesetengah jenama mengandungi bahan yang mengganggu proses dialisis. Sila dapatkan nasihat doktor untuk kes sebegini.

  • Antasid mungkin mengandungi kandungan garam yang tinggi. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda menjalani program pemakanan rendah garam.

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Mohd Hadafi bin Mohd Yasim
Penyemak : Che Pun bt. Bujang

 

Artikel Berkaitan

Ubat Steroid Topikal

Pengenalan Ubat steroid topikal ataupun lebih dikenali sebagai ‘corticosteroids’ ialah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,416,659

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia