A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Ujian Makmal Biokimia
  6. /
  7. Anggaran Kadar Penurasan Glomerular...

Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR)

Pengenalan

Buah pinggang merupakan organ penting dalam penapisan bahan buangan melalui air kencing. Buah pinggang yang sihat mampu menghasilkan air kencing secara purata 1 – 2 liter sehari. Buah pinggang mempunyai sel penapis halus yang dikenali sebagai glomerulus. Glomerulus berperanan menapis aliran darah dalam tubuh dengan hanya membenarkan bahan buangan seperti urea dan air disingkir melalui air kencing.

Ketidakupayaan untuk menapis bahan tertentu menyebabkan air kencing mengandungi protein, glukos dan darah. Pengesanan awal penyakit buah pinggang amat penting dalam perancangan rawatan ke atas pesakit. Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk menentukan fungsi buah pinggang.

Definisi

Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) adalah ujian bagi menentukan status fungsi buah pinggang. Ujian ini memerlukan sampel darah. eGFR menunjukkan kadar penapisan darah oleh glomerulus setiap minit. Kadar ini ditentukan berdasarkan umur, berat badan dan jantina pesakit. Kadar eGFR yang rendah menunjukkan bahawa pesakit mungkin berisiko mempunyai penyakit buah pinggang yang kronik.

Tujuan

Ujian ini bertujuan untuk menentukan aras fungsi buah pinggang, terutamanya pada pesakit buah pinggang yang kronik. Selain dari itu, ujian ini juga disyorkan bagi pesakit kencing manis, pesakit yang kerap mengalami jangkitan salur kencing, pesakit jantung, pesakit darah tinggi dan juga pesakit yang mengalami salur kencing tersumbat. Ini kerana penyakit-penyakit ini berkait rapat dengan fungsi buah pinggang. Antara faktor lain yang menyumbang kepada penyakit buah pinggang adalah sejarah keluarga, umur lanjut usia, kumpulan etnik dan tabiat merokok. Pesakit yang mengambil ubatan yang berisiko menjejaskan sel buah pinggang turut dipantau aras eGFR.

Melalui keputusan ujian, doktor dapat untuk merancang kaedah terbaik untuk merawat pesakit. Pengesanan dan rawatan awal buah pinggang yang terjejas mampu menyelamatkan sel-sel buah pinggang yang masih berfungsi dan mengurangkan keperluan rawatan dialisis.

Parameter

Terdapat beberapa kaedah mengukur eGFR. Secara klinikal, kaedah ujian yang digunakan adalah pengukuran aras kretinin (creatinine) serum. Sampel darah diambil menggunakan jarum dari vena pesakit untuk mengukur eGFR. Kadangkala, pesakit perlu membuat pengumpulan sampel air kencing selama 24 jam. Ujian ini untuk mengira kretinin klerens (creatinine clearance) yang ditentukan melalui air kencing yang dikeluarkan sepanjang hari. Pesakit perlu mengumpulkan air kencing bermula dari pengumpulan air kencing selepas air kencing pertama awal pagi sehingga pembuangan air kencing pertama hari berikutnya.

Kretinin adalah bahan buangan dari kretinin fosfat (dari otot) dan mengalir bebas dalam darah. Bahan buangan ini kemudian ditapis oleh glomeruli dan disingkirkan melalui air kencing. Renal tubul juga mampu menghasilkan kretinin, menyumbang kepada peningkatan 10-20% kretinin klerans lebih dari aras dalam darah.

Penanda Rujukan

Penyakit buah pinggang kronik dikategorikan kepada enam (6) peringkat:

Peringkat
Aras eGFR
Klasifikasi
0
Lebih 90, tiada proteinuria Fungsi buah pinggang yang normal
1
Lebih 90, dengan kerosakan buah pinggang CKD1
2
60-89, dengan kerosakan buah pinggang CKD2 (Awal)
3
30-59 CKD3 (Pertengahan)
4
15-29 CKD4 (Teruk)
5
Kurang dari 15 CKD5

Kelebihan

Pengukuran eGFR adalah kaedah terbaik untuk menentukan fungsi buah pinggang. Penyingkiran unulin di terima sebagai kaedah piawai bagi pengukuran GFR. Walau bagaimanapun di dalam ujian klinikal, penyingkiran kreatinin endogenous digunakan sebagai pengganti kepada inulin. Inulin atau inulin-analog sinistrin ini tidak diserap semula atau disingkirkan oleh buah pinggang selepas penurasan glomerular. Kadar penyingkiran inulin adalah bersamaan dengan kadar penurasan air dan bahan lain oleh penapis glomerular. Namun begitu, inulin bukanlah produk semulajadi tubuh badan dan perlu disuntik ke dalam tubuh pesakit. Langkah tambahan dalam penentukuran eGFR menggunakan inulin ini nyata membebankan pihak klinikal dan pesakit, namun hanya digunakan jika perlu.

Limitasi

Sesetengah ubatan mampu menjejaskan aras kretinin serum, memberikan keputusan positif yang salah. Ubatan ini terdiri dari antibiotik dan ubatan asid perut. Perawat kesihatan perlulah mendapatkan maklumbalas pengambilan ubatan pesakit sebelum mencadangkan ujian eGFR.

Ujian eGFR juga dipengaruhi oleh faktor ibu mengandung, kekurangan nutrisi, obesity, pengambilan makanan tinggi daging dan aktiviti kecergasan yang tinggi sebelum pengambilan darah. Pesakit perlu mengetahui bahawa cara dan aktiviti kehidupan tertentu mampu memberi kesan kepada keputusan eGFR, agar mereka boleh merancang pengambilan diet dan aktiviti fizikal sebelum ujian mampu memberi keputusan eGFR yang lebih tepat.

Pengumpulan air kencing yang tidak lengkap juga menyumbang kepada ketidaktepatan keputusan. Oleh yang demikian, kaedah itu jarang diambil dan hanya dilakukan apabila jumlah eGFR yang spesifik perlu diukur.

Pengambilan darah menggunakan jarum juga mempunyai risiko rendah seperti pendarahan kecil, infeksi, lebam dan rasa mual. Pesakit mungkin mengalami kesakitan sedikit dan ketidakselesaan di tempat pengambilan darah.

Penerimaan Klinikal

Secara klinikal, aras kretinin serum dan urin kretinin klerans 24 jam diterima pakai dan dirujuk sebagai ujian ke atas pesakit buah pinggang kronik. Namun begitu, jika kadar yang lebih tepat diperlukan untuk menilai kadar penurasan glomerular, ujian pesakit boleh dirujuk menggunakan kaedah seperti penyuntikan inulin.

Rujukan

  1. Guyton, A. & Hall, J. (2006). Urine formation by the kidneys : glomerular filtration, renal blood flow, and their control. In Gruliow, Rabecca (Ed), Textbook of medical physiology (11th ed.) (pp 308-325), Philadelphia, Pennsylvania : Elsevier Inc.
  2. Schwartz, G.J., Haycock, G.B., Edelmann, C.M., & Spitzer, A. (1976). A simple estimate of glomerular filtration rate in children derived from body length and plasma creatinine. Paediatrics, 58(2), 259-263.
  3. Stevens, L.A., Coresh, J., Greene, T., & Levey, A.S. (2006). Assessing kidney function – measured and estimated glomerular filtration rate. The New England Journal of Medicine, 354 (23), 2473-2483.
  4. Gault, M.H., Longerich, L.L., Harnett, J.D., & Wesolowski, CD. (1992). Predicting glomerular function from adjusted serum creatinine. Nephron, 62 (3), 249-256.
  5. Lai, S.H., Loke, M.O., Ghazali, A., Bavanandan, S., Noor A. A., Balkish, M.N., Wan, N.W.M., & Muhammad, F.M.Y. (2013). A population-based study measuring the prevalence of chronic kidney disease among adults in West Malaysia. Kidney International, 84, 1034-1040.
  6. Bauer, C., Melamed. M.L., & Hotstetter, T.H. (2008). Staging of chronic kidney disease : time for a course correction. American Society of Nephrology, 19(5), 844-846.
  7. Eckardt, K-U., Berns, J.S., Rocco, M.V., & Kasiske, B.L. (2009). Definition and classification of CKD : the debate should be about patient prognosis-a position statement from KDOQI and KDIGO. American Journal of Kidney Diseases, 53 (6), 915-920.
Semakan Akhir : 03 Jun 2016
Penulis/Penterjemah : Muhammad Syahnaz bin Desa
Akreditor : Rusli bin Ibrahim

Artikel Berkaitan

Urin 24 Jam

Definisi Urin 24 jam adalah urin yang dipungut oleh seseorang

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,244,271

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia