A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anemia – Dewasa

Anemia adalah masalah darah yang paling sering dijumpai. Ianya melibatkan satu perempat dari seluruh penduduk di dunia. Anemia kerana kekurangan zat besi di alami oleh hampir 1 bilion orang. Ianya lebih kerap di alami oleh wanita, kanak-kanak, wanita yang mengandung dan orang tua.

Anemia adalah masalah darah yang paling sering dijumpai. Ianya melibatkan satu perempat dari seluruh penduduk di dunia. Anemia kerana kekurangan zat besi di alami oleh hampir 1 bilion orang. Ianya lebih kerap di alami oleh wanita, kanak-kanak, wanita yang mengandung dan orang tua. Anemia boleh menyebabkan peningkatan kos perawatan dan menurunkan tahap ekonomi seseorang kerana sentiasa letih dan tidak bermaya untuk bekerja.

Apa itu Anemia?

Anemia adalah keadaan di mana berlakunya kekurangan jumlah sel darah merah atau paras haemoglobin di dalam darah. Bila seseorang itu mengalami anemia, darah beliau tidak mampu membekalkan oxygen untuk keperluan diri sendiri.

Paras hemoglobin yang normal di kalangan lelaki adalah di antara 13-18 g/dl, manakala wanita antara 12-15 g/dl.

Tanda dan Gejala Anemia

Bila keadaan anemia itu kronik, gejala-gejala mungkin tidak berapa jelas dan sukar di kesan. Tanda tanda dan gejala-gejala boleh jadi berkaitan dengan keadaan-keadaan yang menyebabkan anemia itu sendiri. Pesakit mungkin merasa letih dan lemah, kurang tumpuan perhatian, berdebar- debar atau sukar bernafas. Anemia yang akut mempunyai gejala yang lebih jelas termasuk kekeliruan, rasa tidak sihat dan berasa dahaga. Sebelum tanda-tanda anemia menjadi nyata, penurunan paras hemoglobin mesti ketara dulu. Pesakit mungkin nampak pucat, kuku yang melengkung (koilonychias), jaundis (perpecahan sel darah merah), muka talasemia dan pembentukan tulang yang luarbiasa (talasemia major) atau ulser kaki (anemia ‘sickle cell’). Dalam keadaan anemia yang teruk, mungkin terdapat tanda-tanda pengaliran darah yang laju; jantung yang berdenyut laju, nadi yang kuat dan kegagalan jantung dengan saiz yang besar.

Kanak-kanak yang mengidap anemia mungkin menunjukan kelakuan yang pelik dan tidak mampu belajar dengan baik.

Penyebab-penyebab Anemia

Secara umumnya, anemia dapat dibahagikan kepada empat kumpulan utama, iaitu:

  1. Gangguan pembentukan sel darah merah
  2. Perpecahan sel sel darah merah
  3. Pendarahan
  4. Cecair yang berlebihan dalam badan

Keadaan-keadaan yang disebut di atas boleh terjadi dengan serentak dan memberi kesan yang lebih teruk kepada anemia itu sendiri. Contohnya, pendarahan boleh menyebabkan anemia tetapi sekiranya pesakit itu turut mempunyai keadaan kurang zat, maka anemia yang di alaminya menjadi lebih teruk.

  1. Gangguan pembentukan sel darah merah
    Gangguan pembentukan dan pembezaan sel-sel induk yang disebabkan oleh gangguan genetic dan gangguan sistemik seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit endokrin boleh menyebabkan anemia. Keadaan-keadaan ini boleh menjejas pengeluaran sel-sel darah merah. Contoh penyakit-penyakit ini adalah talasemia, ‘pure red cell aplasia’ anemia ‘Fanconi’s’, ‘anemia aplastic’ dan kegagalan buah pinggang kronik.

    Satu lagi keadaan yang boleh menyebabkan pengeluaran sel sel darah merah terganggu adalah kekurangan zat-zat pemakanan seperti folat, vitamin B12 dan zat besi. Tanpa zat-zat ini akan mengganggu perkembangan dan kematangan sel-sel darah merah muda (eritroblast). Kekurangan zat besi adalah sangat biasa di kalangan ibu-ibu mengandung dan orang tua. Anemia disebabkan kekurangan zat besi mempunyai sel-sel darah merah kecil (anemia mikrositik) dan kekurangan folat dan vitamin B12 mempunyai sel –sel darah merah besar anemia megaloblastic)

    Satu lagi keadaan yang boleh menyebabkan gangguan tumbesar sel darah merah adalah apabila sum sum tulang telah dimasuki sel sel kanser atau kuman.

  2. Peningkatan kadar perpecahan sel-sel darah merah
    Selalunya pesakit dengan keadaan ini yang dipanggil ‘haemolytic anaemia’ akan dapat Jaundis dan peningkatan paras enzim ‘lactate dehydrogenase’. Kecacatan pada membrane sel darah merah, kekurangan enzin-enzim dan struktur haemoglobin boleh menyebabkan sel sel darah merah mudah pecah. Ada juga keadaan di mana sel darah merah dipecahkan oleh autoantibodi yang dikeluarkan oleh badan kita untuk melawan jangkitan kuman, kanser atau penyakit tertentu. Contoh penyakit sel darah merah mudah pecah ini adalah kekurangan enzim G6PD, ‘autoimmune haemolytic anaemia’, ‘sickle cell anaemia’,‘paroxysmal nocturnal haemoglobinuria’ dan malaria.
  3. Pendarahan
    Anemia yang terjadi kerana pendarahan boleh jadi kronik atau akut bergantung kepada jumlah dan kadar pendarahan. Kehilangan darah boleh terjadi kerana pengambilan darah yang terlampau kerap di kalangan bayi pramatang (anaemia of prematurity), trauma, pendarahan usus dan perut, haid atau pendarahan yang abnormal dari rahim, dan kehilangan darah semasa atau selepas melahirkan anak.
  4. Peningkatan jumlah cecair dalam badan (hypervolemia)
    Biasanya disebabkan oleh pengambilan garam atau air yang berlebihan, penyimpanan garam dan air yang berlebihan dalam badan, dan pengaliran cecair badan ke dalam saluran darah. Keadaan ini menyebabkan pencairan dalam badan dan boleh menurunkan menurunkan paras haemoglobin. Contohnya, anemia semasa mengandung di mana ianya terjadi kerana peningkatan cecair badan semasa mengandung. Keadaan ini dipanggil anemia fisiologi

Diagnosa

Anemia dapat dikesan dari ujian yang kita panggil ‘full blood count’ (FBC). Ujian ini dilakukan oleh pembilang automatik yang terdapat di klinik klinik kesihatan dan hospital. Ujian ini adalah sebahagian dari ujian saringan yang sering dilakukan untuk pesakit yang datang ke klinik atau dimasukan ke hospital untuk sebarang sebab. Ujian ini juga boleh dilakukan sekiranya ada permintaan dari individu. Selain dari mengesan jumlah sel darah merah dan paras haemoglobin, pembilang automatik juga akan mengukur saiz sel darah merah. Saiz sel darah merah adalah penting untuk membezakan antara penyebab-penyebab anemia. Untuk melengkap pemeriksaan sel-sel darah, pemeriksaan bentuk dan rupa sel-sel darah (Full blood picture) akan dijalankan dengan meletak sedikit darah atas slaid kaca dan diwarnakan serta diperiksa di bawah mikroskop. Bentuk dan rupa sel-sel darah seperti sel darah merah, sel darah putih serta ‘platelet’ akan dapat dilihat untuk mengesan sebarang kelainan yang mungkin ada kaitan dengan penyakit sum sum tulang, leukemia dan penyebab anemia yang lain.

Di setengah tempat, pembilang automatik ini dapat membilang jumlah ‘reticulocyte’ (sel darah merah muda). Jumlah ‘reticulocyte count’ ini dapat mengukur kemampuan dan fungsi sum sum tulang untuk membentuk sel sel darah merah baru. Kalau tahap anemia adalah teruk tetapi kadar bilangan ‘reticulocyte’ yang sedikit akan memberitahu kita bahawa sum sum tulang tidak berupaya untuk menghasilkan sel-sel darah yang cukup. Sekiranya pembilang automatik tidak ada, bilangan ‘reticulocyte’ dapat dilakukan secara manual dengan  menggunakan kaedah pewarnaan ‘supravital’.

Ujian-ujian tambahan yang boleh dilakukan untuk melengkapkan siasatan untuk mengetahui punca anemia adalah ESR, ferritin, paras zat besi, ‘transferin’, paras folate, vitamin B12, analisa hemoglobin, fungsi buah pinggang dan hati. Semua ujian ini akan dilakukan mengikut keperluan klinikal pesakit. Pemeriksaan sum sum tulang akan dijalankan sekira nya didapati adanya kemungkinan penyakit leukemia, kegagalan sum sum tulang atau kanser.

Rawatan

Rawatan untuk penyakit anemia bergantung kepada penyebab dan keterukan anemia. Pemberian zat besi dan vitamin samada dimakan atau disuntik boleh menggantikan kekurangan zat-zat tersebut. Vitamin C dalam bentuk minuman jus oren juga perlu diambil kerana ianya dapat membantu badan menyerap zat besi.

Untuk anemia penyakit kronik, yang berkaitan dengan kemoterapi atau kegagalan buah pinggang, setengah doktor akan memberi suntikan ‘erythropoietin’ atau ‘epoietin alfa’ untuk merangsang pembentukan sel-sel darah merah.

Pemindahan darah tidak digalakan untuk pesakit anemia yang tidak ada gejala melainkan paras hemoglobin di bawah 6-8g/dl. Namun pemindahan darah adalah disarankan sekiranya pesakit itu juga mengidap penyakit jantung, paru-paru atau mengalami pendarahan dengan ‘hypovolemia’ apabila hemoglobin kurang daripada 7 atau 8 g/dl

Pencegahan

Anda adalah dinasihatkan agar melakukan pemeriksaan FBC apabila menunjukkan sebarang tanda anemia dan sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga yang ada talasemia, leukemia atau kanser. Anda boleh pergi ke mana-mana klinik kesihatan atau hospital untuk melakukan ujian ini.

Kumpulan sokongan

Terdapat persatuan seperti Persatuan Talasemia Malaysia yang sangat aktif untuk memberi perangsang dan kesedaran kepada pesakit, keluarga dan orang ramai.

Alamat
Persatuan Talasemia Malaysia
Tingkat 3, Bangunan National Canser Society
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 Kuala Lumpur
Tel: +60326941141

Rujukan

  1. Hoffbrand AV et al: 2011. Postgraduate Haematology, 6th Edition
  2. Dacie and Lewis Practical Haematology, 12th edition
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis/Penterjemah : Dr. Sinari bt. Salleh
Akreditor : Dr. Ilunihayati bt. Ibrahim
Penyemak : Dr. Jubaida Paraja

Artikel Berkaitan

Ulser Peptik

Ulser peptik berlaku apabila terdapat luka di bahagian dinding perut dan bahagian permulaan usus kecil dikenali sebagai duodenum.

Kembung Perut

Kembung perut adalah reaksi angin dalam perut. Ia terjadi apabila badan bertindak mengeluarkan angin berlebihan yang terhasil daripada minuman dan menelan makanan bersama air liur.

Sakit Sendi

Kebanyakan pengidap sakit sendi tidak mempunyai kerosakan terhadap sendi mereka. Kesakitan itu mungkin berpunca dari lapisan tisu luaran, otot, ligamen, sendi atau pangkal saraf. Tulang jarang menyebabkan kesakitan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,387,349

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia