A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Anda syaki iklan haram?...

Anda syaki iklan haram? Apa perlu anda lakukan?

Anda mungkin pernah melihat iklan penawar ajaib, ubat untuk merawat kanser atau minuman untuk membantu anda mengurangkan 10kg dalam masa 5 hari. Adakah anda merasa ianya benar-benar berkesan? Kita begitu mudah percaya dengan iklan-iklan yang dibaca atau dilihat di internet mahupun di televisyen kerana ia memberi harapan, terutamanya apabila sedang sakit dan terdesak untuk mendapatkan rawatan. Walaupun promosi ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan atau produk secara bertanggungjawab boleh memberi pengetahuan dan pendidikan kepada orang awam, iklan haram mempunyai potensi untuk mempengaruhi rawatan dan boleh membahayakan nyawa. Setiap hari, ramai pengguna tanpa disedari menjadi mangsa kepada iklan produk penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan yang tidak diluluskan yang menyebabkan mereka membazirkan beratus-ratus ringgit kerana memilih produk-produk melalui pengiklanan haram. Jika bernasib baik produk-produk ini tidak berbahaya dan setakat membazirkan wang. Jika tidak bernasib baik, produk-produk ini boleh mendatangkan kemudaratan dan menyebabkan pengguna terhalang daripada mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Produk-produk yang diiklankan tanpa kelulusan selalunya tidak dapat dibuktikan keberkesanan dan keselamatannya, dipasarkan secara haram, bahkan dicampurpalsu, yang pada akhirnya meletakkan pengguna pada risiko yang serius sehingga boleh menyebabkan kematian.

Apakah iklan haram?

Pengiklanan dan promosi produk-produk ubat atau penjagaan kesihatan di Malaysia dikawal di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Iklan haram adalah iklan yang dilarang di dalam akta dan juga iklan yang tidak diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU) yang merupakan sebuah badan di bawah Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia yang berperanan untuk menyemak iklan produk kesihatan sebelum ianya boleh disiarkan kepada orang awam.

Bagaimana cara untuk mengenalpasti iklan haram dan tuntutan palsu

Cara terbaik untuk mengelak daripada menjadi mangsa kepada iklan haram atau mengelirukan adalah dengan memastikan iklan tersebut mempunyai nombor kelulusan LIU. Setiap iklan yang telah diluluskan oleh LIU akan diberikan nombor siri yang perlu dipaparkan pada iklan sebagai contoh, KKLIU 1234/2014. Jika iklan tersebut mempunyai nombor KKLIU, ianya menunjukkan bahawa iklan tersebut telah melalui penilaian yang ketat seperti pemeriksaan, verifikasi dan pengesahan oleh urusetia LIU sebelum diluluskan.

Iklan produk penjagaan kesihatan selain daripada ubat berdaftar dan perkhidmatan kesihatan seperti iklan makanan, minuman kesihatan, peralatan perubatan dan kosmetik tidak ditapis oleh LIU. Iklan-iklan tersebut tidak akan memaparkan nombor KKLIU dan tidak sepatutnya mengandungi sebarang tuntutan perubatan. Walau bagaimanapun, iklan-iklan ini perlu mematuhi Akta Peranti Perubatan 2012 bagi iklan peralatan perubatan dan Akta Makanan 1983 bagi iklan makanan.

Berikut adalah beberapa tip untuk membantu pengguna mengenal pasti iklan haram

  • “Satu produk boleh menyembuhkan semuanya”. Secara umumnya, satu ubat tidak boleh merawat atau mengubati pelbagai jenis penyakit yang berbeza. Berhati-hati terhadap produk yang mendakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak berkaitan, terutamanya penyakit yang serius, seperti kanser dan kencing manis yang pada hakikatnya tidak mempunyai penawar, selain daripada terapi yang teratur.
    Malah , di bawah Seksyen 3, Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 terdapat larangan iklan produk penjagaan kesihatan bagi tujuan rawatan, pencegahan atau diagnosis penyakit atau keadaan yang berikut:

    1. Penyakit atau kecacatan buah pinggang/ginjal
    2. Penyakit atau kecacatan jantung
    3. Kencing Manis
    4. Sawan
    5. Lumpuh
    6. Batuk Kering
    7. Lelah
    8. Kusta
    9. Barah
    10. Pekak
    11. Ketagihan Dadah
    12. Hernia
    13. Penyakit Mata
    14. Darah Tinggi
    15. Sakit mental
    16. Kemandulan
    17. Frigidity
    18. Lemah fungsi seks atau impoten
    19. Penyakit Venerus (cth: AIDS)
    20. Kelemahan urat saraf, atau aduan atau kelemahan, timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks
  • “Testimoni peribadi”. Sudah tentu lebih mudah untuk kita mempercayai apa yang dikatakan oleh orang lain tentang pengalaman mereka sendiri. Walaubagaimanapun, membezakan keberkesanan sesuatu produk daripada sesuatu kebetulan ada rumit. Testimoni seperti “Ia menyembuhkan kanser saya” atau “tumor saya hilang” mudah dibuat dan tidak disokong oleh bukti saintifik. Walaupun produk tersebut berkesan, ada kemungkinan ia disebabkan oleh kehadiran bahan-bahan racun yang dilarang di dalam produk. Dalam kes seperti ini, produk tersebut boleh mandatangkan kesan sampingan yang merbahaya.
  • “Penyelesaian pantas”. Kebanyakan penyakit sebenarnya tidak boleh dirawat dalam masa yang begitu singkat, walaupun dengan menggunakan produk yang sah. Berhati-hati dengan tuntutan-tuntutan seperti “mengurangkan berat badan semasa anda tidur” atau “menghapuskan kanser kulit dalam beberapa hari”.
  • “Semuanya semula jadi”. Tidak ada produk kesihatan yang 100% selamat dan hanya kerana produk tersebut semula jadi, tidak bermakna ia adalah lebih baik. Beberapa tumbuhan yang ditemui di dalam alam semula jadi (seperti cendawan beracun) boleh membunuh apabila dimakan. Produk semula jadi juga boleh menyebabkan masalah seperti alahan dan interaksi ubat-herba. Malah, ada sesetengah produk yang dipromosikan sebagai semula jadi telah didapati mengandungi bahan racun tersembunyi dengan dos yang tinggi.
  • “Penawar ajaib”. Teliti dan letakkan sedikit keraguan apabila berhadapan dengan tuntutan produk yang keterlaluan. Jika produk tersebut kedengaran terlalu bagus, ia mungkin adalah satu penipuan. Cuba bayangkan, jika penawar ajaib seperti ini benar-benar wujud, maka tiada siapalah di dunia ini yang gemuk atau menghidapi kanser.

Apa yang perlu dilakukan apabila anda ternampak iklan haram

Dalam usaha untuk memastikan semua iklan ubat dan produk kesihatan yang berkaitan adalah sah dan tidak mengelirukan, Unit Penguatkuasaan Bahagian Perkhidmatan Farmasi meminta orang ramai untuk mengenalpasti iklan haram dan membuat laporan.

  1. Kenal pasti

    Orang ramai disaran supaya peka dengan iklan dan promosi yang dilihat setiap hari dan mengambil tahu tentang bagaimana untuk membezakan iklan yang mengelirukan atau menyalahi undang-undang. Orang ramai boleh melayari laman web www.pharmacy.gov.my » Perkhidmatan » e – Perkhidmatan untuk memeriksa samada iklan yang dilihat mempunyai kelulusan daripada LIU atau tidak. Laman ini memaparkan senarai iklan yang telah diluluskan oleh LIU.

  2. Laporan

    Laporkan iklan yang disyaki palsu atau mengelirukan. Jika anda rasakan bahawa sesuatu iklan melanggar undang-undang, sila laporkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi dengan menghantar aduan rasmi atau melalui e-mel. Unit Penguatkuasa Farmasi akan menilai semua laporan yang diterima dan sekiranya ada perlanggaran undang-undang, tindakan akan diambil terhadap pengiklan tersebut.

Semakan Akhir : 05 Jun 2015
Penulis : Syazana Akmal bt. Ahmad Kamal
Akreditor : Muhammad Lukmani bin Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Kesan pengambilan ubat hormon

Hormon adalah molekul yang dihasilkan oleh sesebuah kelenjar dan memasuki peredaran darah untuk mempengaruhi tubuh badan kita sama ada secara fizikal atau mental mengikut kepada jenis hormon yang dihasilkan oleh kelenjar-kelenjar tertentu.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,236,024

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia