A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anak Bermasalah Pendengaran ke Sekolah Aliran Perdana

Anak yang mempunyai masalah pendengaran boleh mendengar selepas memakai Alat Bantu Dengar.

Anak Yang Bermasalah Pendengaran Mampu Ke Sekolah Aliran Perdana

Lazimnya, masyarakat kita sering beranggapan bahawa anak yang dilahirkan mempunyai masalah pendengaran pasti akan bisu. Mereka juga sering dikaitkan dengan penggunaan bahasa isyarat sebagai kaedah untuk berkomunikasi. Ini menunjukkan bahawa hanya Sekolah Pendidikan Khas sahaja merupakan pilihan mereka.

Tetapi perkara ini perlu dibetulkan kerana kita sudah berada di zaman berteknologi tinggi di mana banyak alat canggih sudah dicipta dan diperbaharui untuk membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran mendengar. Mereka juga boleh dilatih untuk bertutur serta mampu untuk ke Sekolah Aliran Perdana seperti anak yang lain.

Bagaimana Anak Yang Bermasalah Pendengaran Boleh Mendengar?

Anak yang mempunyai masalah pendengaran boleh mendengar selepas memakai Alat Bantu Dengar (ABD). ABD berfungsi untuk menguatkan bunyi persekitaran bagi membolehkan mereka mendengar dengan lebih baik. Tetapi ada juga anak bermasalah pendengaran yang masih belum boleh mendengar selepas memakai ABD. Mereka mempunyai pilihan lain iaitu dengan menggunakan Implan Koklea (CI).

Bagaimana Anak Bermasalah Pendengaran Belajar Bercakap?

ABD dan CI bukanlah satu alat ajaib yang boleh membuatkan anak bermasalah pendengaran terus bercakap selepas memakainya. Tetapi Terapi Auditory Verbal (AVT) perlu dilakukan selepas pemakaian ABD atau CI. Mereka perlu dilatih untuk mendengar dan bercakap secara berkala oleh Terapis Pertuturan-Bahasa.

AVT adalah satu teknik di mana kanak-kanak bermasalah pendengaran dilatih untuk mendengar dan bercakap dengan pemakaian ABD  atau CI secara konsistan. Mereka akan dilatih di dalam suasana persekitaran dan kaedah yang sesuai seperti berikut:

  • Ibu bapa dan/atau Terapis Pertuturan-Bahasa duduk bersebelahan dengan telinga yang lebih baik

  • Bercakap hampir dengan mikrofon ABD/CI

  • Bercakap seperti biasa / tidak perlu menjerit

  • Kurangkan bunyi bising persekitaran

  • Gunakan pelbagai intonasi yang sesuai dan menarik perhatian

  • Beri penekanan kepada sesuatu perkataan agar kanak-kanak mudah menangkap perkataan yang diajar contoh: “ambik bola” – perkataan bola ditekankan (acoustic highlighting technique)

Perkembangan kemahiran mendengar dan bertutur bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran ini perlu dipantau agar selari atau hampir dengan tahap umur kronologi mereka.

Di bawah ada disertakan jadual peringkat kemahiran mendengar dan bercakap dari bayi hingga 6 tahun.

Sumber dari Pollack (1985)

Ibu bapa serta ahli keluarga juga dibimbing untuk menjalankan terapi. Ini kerana mereka adalah orang yang paling hampir dengan anak. Terapi yang efisyen dan berterusan mampu membantu kanak-kanak untuk bertutur dan berkomunikasi dengan keluarga dan masyarakat.

Sokongan Ibu bapa dan Keluarga

Ibu bapa dan keluarga memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan atau kegagalan anak-anak mereka. Ibu bapa yang sentiasa bermotivasi tinggi serta berpandangan jauh mampu untuk melatih anak mereka bercakap dan seterusnya ke sekolah aliran perdana.

Ibu bapa dan keluarga juga perlu yakin dengan kemampuan anak yang mempunyai masalah pendengaran. Berilah sokongan kepada mereka dalam apa jua keadaan sama ada ketika mereka berjaya atau sebaliknya.

Suntikan semangat dari ibu bapa mampu melonjakkan usaha mereka untuk terus maju ke hadapan. Ingatlah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Tips untuk Guru

Setiap anak murid yang berada di dalam kelas adalah menjadi tanggungjawab seseorang guru untuk mendidik mereka. Guru-guru tidak boleh lepas tangan dan mengambil mudah dalam aspek mendidik dan mengajar mereka. Guru-guru tidak perlu gusar jika terdapat anak murid yang bermasalah pendengaran ditempatkan di dalam kelas mereka. Di sini, ada beberapa tips yang boleh membantu bagi memudahkan anak bermasalah pendengaran belajar di kelas normal:

  • Tempatkan anak bermasalah pendengaran di barisan hadapan dan berhampiran dengan guru

  • Guru perlu memakai alat FM System untuk memastikan anak bermasalah pendengaran mendengar suara guru dengan jelas semasa sesi pembelajaran

  • Guru perlu berhadapan dengan anak bermasalah pendengaran ketika berkomunikasi dengan mereka

  • Elakkan mengajar sambil berjalan (jika tidak memakai FM System)

  • Kurangkan bunyi bising di dalam kelas (contoh: pasang langsir di dalam kelas)

  • Tuliskan arahan di atas papan hitam bagi memudahkan pemahaman anak.

Anjakan Paradigma

Tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika kita yakin dan berusaha untuk mendapatkan apa yang kita ingini. Begitu juga dengan anak yang mempunyai masalah pendengaran. Jika mereka telah memakai ABD atau CI serta menjalani Terapi Auditori Verbal mengikut jadual dan arahan yang ditetapkan bermula sejak kecil lagi, mereka mampu untuk ke sekolah aliran perdana dan bersaing dengan kanak-kanak yang lain.

Sebenarnya perkara ini telah pun terbukti. Telah lahirnya guru bermasalah pendengaran yang mampu mengajar di sekolah aliran perdana tanpa disedari umum. Ini menunjukkan bahawa mereka juga boleh menjalani kehidupan normal seperti kita jika diberi rawatan awal.

Malangnya, masih ada pihak yang masih menutup sebelah mata dan memandang rendah terhadap kemampuan anak yang mempunyai masalah pendengaran ini.  Marilah, kita melakukan anjakan paradigma, bahawa anak yang mempunyai masalah pendengaran tidak bisu dan boleh ke sekolah aliran perdana. Anak-anak yang mempunyai masalah pendengaran ini bukannya bebanan kepada keluarga, masyarakat dan negara bahkan mereka boleh menjadi penyumbang kepada ekonomi serta pembangunan negara.

Rujukan

  1. Carol Flexer, Denise Wray (2001), Recommendations For Teachers in the Regular Classroom

  2. Warren Estrabrooks (2008), Auditory-Verbal Practice

  3. Winifred H.Northcott (1994), Curriculum Guide, Hearing Impaired Children (0 – 3 Years Old) And Their Parents

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nur Syuhada bt. Hosni
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

 

 

Artikel Berkaitan

Ujian Saringan Pendengaran

Pendengaran merupakan salah satu deria penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Deria pendengaran membolehkan seorang individu mendengar, mengesan, membezakan bunyi, menterjemah dan memahami bunyi-bunyi di persekitaran dan bunyi pertuturan.

Pigmentasi Kulit

Tompokan Mongolian (Mongolian blue spot). Perkara biasa pada bayi di Malaysia. Tompokan kebiru-biruan. Dijumpai terutama pada bahagian belakang, punggung dan kaki

Marilah Baca Bersama Anak

Guna peluang sebaik mungkin untuk membaca buku cerita bersama dengan anak. Jadikannya suatu aktiviti yang menarik dan menghiburkan. Berseronoklah dengan anak anda.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,318,359

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia