A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anak Anda Sakit Mulut?

Sakit mulut di kalangan anak kecil memang amat merisaukan ibu-bapa. Apabila mulut sakit, kanak-kanak akan tidak mahu makan atau minum kerana kesakitan dan ketidakselesaan. Apatah lagi memberus gigi atau membersihkan mulut mereka.

Sakit mulut jenis berjangkit

  • Kebiasaannya menyerang kanak-kanak.
  • Berpunca dari kesakitan dari dalam mulut atau di sekitar bibir kanak-kanak.

Sakit mulut jenis yang berjangkit juga dikenali sebagai

  1. Ulser mulut / Mulut melepuh
  2. Ulser mulut / Mulut pecah-pecah kerana demam atau suhu badan yang tinggi
  3. Herpetic gingivostomatitis (istilah perubatan)

Sakit mulut ini boleh terjadi di pelbagai kawasan dalam mulut seperti

  1. Kawasan dalam pipi dan bibir

    Sumber gambar : health.wikinut.com
     

  2. Sekitar  gusi

    Sumber gambar : www.livestrong.com
     

  3. Lidah atau lantai mulut

    Sumber gambar : Covina.zapcoldsoresaway.com
     

  4. Lelangit keras dan lelangit lembut

    Sumber gambar : Oralherpes.info

Apakah Yang Menyebabkan Mulut Anak Anda Sakit

Secara umum sakit mulut boleh disebabkan oleh jangkitan atau bukan disebabkan oleh jangkitan. Selalunya sakit mulut di kalangan anak kecil adalah disebabkan jangkitan virus. Terdapat juga yang disebabkan oleh jangkitan bakteria dan kulat.  Sakit mulut yang bukan disebabkan jangkitan pula berpunca dari pelbagai faktor.Jadual di bawah menerangkan dengan ringkas sebab-sebab kanak-kanak mengalami sakit mulut.

Sakit mulut yang disebabkan oleh jangkitan

Sakit mulut yang bukan disebabkan oleh jangkitan

  1. Jangkitan virus seperti virus herpes simplex

    Kebanyakan kanak-kanak mendapat jangkitan virus ini kerana sentuhan secara langsung daripada individu lain melalui ciuman dan perkongsian peralatan makanan. kebanyakan kanak-kanak terjangkit semasa tinggal di pusat jagaan pra -sekolah
     

  2. Jangkitan bakteria
  3. Jangkitan kulat
  1. Disebabkan gigi susu mula tumbuh
  2. Disebabkan oleh kecederaan di dalam mulut yang berpunca dari  tergigit bibir, memberus gigi terlalu kuat, memakan makanan yang keras,  panas atau tajam seperti tercucuk  tulang ikan, keropok dan sebagainya
  3. Keradangan gusi disebabkan mulut yang tidak dibersihkan dengan baik
  4. Alahan kepada makanan atau bahan kimia tertentu daripada ubat gigi atau ubat kumur
  5. Tekanan

Tanda dan Gejala Apabila Mulut Anak Anda Sakit

Tanda tanda yang anda boleh lihat sekiranya anak anda sakit mulut, adalah seperti di bawah :

  1. Anak anda mungkin akan demam dan mungkin juga tiada demam
  2. Terdapat ulser/pecah-pecah/lepuhan berbentuk bulat berwarna putih yang dikelilingi warna kemerahan (seperti gambar) di dalam mulut anak.
    • Anak anda mungkin mempunyai hanya satu atau beberapa ulser/pecah-pecah/lepuhan tersebut.
    • Ulser/pecah-pecah/lepuhan ini biasanya kecil dan berbentuk bulat. Jarang sekali ia bersaiz besar dengan bentuk yang tidak sekata.
  3. Kadangkala gusi akan membengkak dan berwarna kemerahan serta mudah berdarah.
  4. Kadangkala kelenjar di sekitar rahang bawah juga boleh membengkak dan sakit.

Sumber gambar : http://www.fairview.org/healthlibrary/Article/89369

Gejala yang mungkin ada sekiranya anak anda sakit mulut adalah seperti:

  1. Sakit-sakit otot
  2. Kesukaran untuk makan atau minum
  3. Sakit-sakit dan sengal-sengal badan
  4. Air liur meleleh
  5. Sakit kepala
  6. Kelesuan
  7. Merengek dan meragam

Bawa anak anda berjumpa doktor gigi/doktor untuk pemeriksaan dan nasihat sekiranya anak anda mengalami perkara berikut :

  1. Demam panas yang tinggi
  2. Sawan yang disebabkan demam panas
  3. Kesakitan atau ulser/lepuhan di sekitar mata atau di bahagian anggota badan yang lain
  4. Sakit mulut  yang tidak sembuh selepas 14 hari atau terjadi berulang kali
  5. Terdapat tanda jangkitan di kawasan ulser/melepuh seperti bernanah, berair dan Kebengkakan
  6. Terdapat tanda kekurangan air dalam  badan (anak akan kurang buang air kecil, air kencing berwarna lebih gelap dan sedikit , dahaga melampau, mulut kering dan rasa ingin pitam)
  7. Anak anda mempunyai masalah perubatan lain yang melemahkan sistem ketahanan tubuhnya
  8. Sakit mulut yang melampau
  9. Kesukaran untuk menelan, minum atau makan

Apa yang Boleh Dilakukan di Rumah Sekiranya Anak Anda Sakit Mulut

Sekiranya doktor gigi/doktor mengesahkan bahawa anak anda  menghidap sakit mulut yang disebabkan oleh  jangkitan, anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perebakan jangkitan seperti carta di bawah :

Anda juga boleh membantu mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan sakit mulut anak anda dengan kaedah berikut:

Perkara yang anda perlu lakukan
1.

Memberikan anak anda makanan berbentuk cecair atau lembut dan sejuk seperti aiskrim, susu kocak, jeli, air batu campur     atau cendol, bubur sejuk dan sebagainya

2.

Gunakan berus gigi dengan berus yang lembut (soft bristle) dan berhati supaya tidak memberus dengan terlalu kuat.Anda juga boleh menggunakan tuala lembut atau bebola kapas yang dicelup dengan ubat kumur untuk membersihkan mulut anak anda disamping dapat mengelakkan jangkitan kuman

3.

Pastikan anak anda minum air kosong secukupnya bagi mengelakkan kekeringan air dalam badan

4.

Pastikan anak anda mendapat tidur dan rehat secukupnya

 

Perkara yang anda perlu elakkan
1. Memberikan anak anda makanan yang panas, keras , masin, berasid dan pedas
2. Gunakan berus gigi dengan berus yang yang keras
3. Membiarkan mulut anak anda kotor tanpa dibersihkan

Sakit mulut anak kecil yang disebabkan jangkitan virus selalunya akan sembuh sendiri dalam masa 7-14 hari. Selalunya ulser/pecah-pecah/lepuhan akan sembuh tanpa meninggalkan kesan parut melainkan ulser/pecah-pecah/lepuhan itu terlalu besar.

Rawatan Untuk Sakit Mulut Kanak-Kanak

Doktor gigi/doktor akan memastikan sakit mulut anak anda bukan penyakit atau jangkitan serius lain yang juga akan menyebabkan  mulut anak anda sakit.

Contoh-contoh keadaan/penyakit serius lain yang juga menyebabkan mulut sakit di kalangan kanak-kanak adalah seperti:

  1. Impetigo (disebabkan jangkitan bakteria)
  2. Oral thrush  (disebabkan jangkitan kulat)
  3. Alahan
  4. Cacar air
  5. Penyakit kaki, tangan dan mulut
  6. Herpangina (disebabkan jangkitan virus Coxsackie )

Selalunya ujian makmal tidak diperlukan untuk mendiagnos sakit mulut anak anda melainkan doktor mengesyaki anak anda menghidapi keadaan/jangkitan serius seperti yang tersenarai di atas. Doktor gigi/doktor dapat mengesahkan jenis sakit mulut anak anda berdasarkan keadaan di dalam mulut anak anda dan daripada riwayat kesakitan mulut yang diceritakan oleh ibubapa/penjaga.

Doktor gigi/doktor mungkin akan memberikan anak anda dengan:

  1. Ubat demam atau ubat penahan sakit
  2. Ubat sapu untuk disapu pada bahagian sakit
    • Petua meletakkan ubat sapu di dalam mulut – pastikan anak anda telah makan terlebih dahulu sebelum menyapu ubat. Bersihkan kawasan dalam mulut dengan tuala lembut atau bebola kapas dan pastikan kawasan tersebut agak kering.gunakan putik kapas untuk menyapu ubat tersebut di kawasan dalam mulut yang sakit. Pastikan anak anda tidak makan atau minum sekurang-kurangnya 30 minit selepas ubat disapu.  

      Sumber gambar : www.wikihow.com

  3. Ubat kebas (gel) untuk melegakan kesakitan
  4. Ubat kumur untuk mengelakkan jangkitan kuman yang boleh berlaku disebkan kanak-kanak tersebut tidak dapat memberus gigi atau membersihkan mulut seperti biasa.

Sakit mulut jarang memerlukan anak anda dimasukkan ke hospital. Walau bagaimanapun, sakit mulut mungkin memerlukan anak anda dimasukkan ke hospital sekiranya tanda dan gejala yang dialami oleh anak anda sangat teruk/serius. Kemasukan ke hospital adalah bagi memastikan anak anda tidak mengalami kekurangan air dalam badan yang serius kerana anak anda tidak boleh makan dan minum seperti biasa. Ia juga bagi mengelakkan komplikasi lain yang mungkin timbul.

Sakit mulut yang disebabkan jangkitan virus selalunya tidak memerlukan ubat antivirus. Doktor gigi/doktor akan menentukan samada anak anda memerlukan ubat antivirus atau tidak.

Doktor gigi/doktor hanya akan memberikan anak anda antibiotik sekiranya mereka mengesyaki sakit mulut anak anda telah dijangkiti bakteria.  

Rujukan

  1. http://familydoctor.org/familydoctor/en/health-tools/search-by-symptom/mouth-problems-infants-children.html
  2. http://kidshealth.org/parent/general/aches/canker.html
  3. http://kidshealth.org/parent/infections/skin/cold_sores.html
  4. http://www.fairview.org/healthlibrary/Article/89369
  5. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001383.htm

 

Semakan Akhir : 19 Jun 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Roziana bt. Abdullah
Akreditor : Dr. Hjh. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus

 

Artikel Berkaitan

Rawatan Pergigian Di Rumah – Boleh Atau Tidak?

Tidak ramai yang tahu terdapat rawatan pergigian tertentu yang boleh dilakukan di rumah pesakit tanpa perlu ke klinik pergigian. Antara persoalan yang mungkin diajukan ialah bagaimana ianya dilakukan, apakah rawatan yang bersesuaian dan siapakah yang layak untuk menerima rawatan tersebut?

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,398

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia