Home > Umum > Radioterapi > Peralatan Radioterapi > ALAT PEMAMPAS TISU

ALAT PEMAMPAS TISU

Pengenalan

Dalam pemberian radioterapi, terdapat beberapa faktor yang memberi kesan kepada pelan rawatan. Antaranya ialah ketidakseragaman tisu pada permukaan badan pesakit. Ketidakseragaman ini disebabkan oleh sifat semula jadi bentuk badan pesakit ataupun pesakit kehilangan tisu akibat pembedahan. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, terdapat alat pemampas tisu yang boleh digunakan.

Alat pemampas tisu merupakan alat yang digunakan untuk menggantikan bahagian badan yang tidak rata atau tisu badan yang tiada akibat pembedahan. Ia bertujuan agar taburan dos sinaran (dose distribution) diagihkan secara sekata kepada kawasan rawatan. Ia diletakkan terus ke permukaan kulit pesakit tanpa sebarang jarak pemisah antaranya bagi memastikan rawatan diberikan mengikut pelan rawatan dengan tepat. Kebiasaannya alat pemampas tisu ini tidak mendatangkan kemudaratan kepada pesakit seperti alergi dan gatal-gatal.

Alat Pemampas Tisu

1. Bolus

 

Bolus merupakan pepejal gel iaitu bahan setara tisu badan dengan ketumpatan  1.03 g/cc. Bolus ini didatangkan dalam pelbagai saiz dan ketebalan.

Alat ini lembut dan boleh dilentur atas permukaan badan yang dirawat mengikut pelan yang ditetapkan.

 Bolus

2. Lilin (wax)

 

Lilin ini merupakan bahan yang digunakan untuk menggantikan tisu badan yang telah tiada akibat pembedahan dan ia diletakkan pada permukaan badan yang tidak rata.

Ia dipanaskan sehingga cair, kemudian dituang dalam air sejuk dan diuli sebelum dibentuk mengikut permukaan badan yang berlekuk sehingga bahagian tersebut kelihatan rata.

 Lilin (wax)

3. Kain kasa basah (wet gauze)

 

Air merupakan elemen yang boleh menggantikan tisu yang tidak rata dengan syarat diletakkan dalam bekas atau kain yang sesuai seperti kondom atau kain kasa.

Kain kasa yang dibasahkan diguna sebagai pemampas tisu kerana ia masih setara dengan tisu badan.

Ia akan diletakkan pada bahagian anggota badan yang dirawat.Saiz dan ketebalan kain kasa akan ditentukan berdasarkan agihan dos rawatan yang dikehendaki. Begitu juga jika kondom yang berisi air mengikut sukatan yang ditentukan seperti dalam pelan rawatan, diletakkan ke dalam ruang mata (setelah bebola mata dikeluarkan kerana pembedahan). Ia akan berfungsi sebagai alat pemampas tisu.

 Kain kasa basah (wet gauze)

Kesimpulan

Penghasilan pelan rawatan yang terbaik bagi seseorang pesakit yang menjalani radioterapi adalah amat mencabar, ia memerlukan kepakaran dan daya kreativiti. Perkara ini disebabkan keadaan fizikal pesakit yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Penggunaan alat pemampas tisu dalam keadaan yang tertentu akan mengakibatkan dos sinaran yang optimum diberikan kepada kawasan yang dirawat dan hasilnya pesakit akan menerima rawatan yang efektif dan berkesan.

Rujukan

  1. http://www. artcorporationsa.com
  2. http://www.civco.com
  3. http://www.osl.uk.com

 

Semakan Akhir : 10 Februari 2017
Penulis : Siti Adawiah binti Abu Bakar
Akreditor : Rubiah binti Mohd Pakeh