A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

ALAT CEGAH GERAK DALAM RADIOTERAPI

Alatan ini digunakan untuk memastikan kedudukan pesakit dalam keadaan stabil dan boleh dikekalkan tanpa dapat melakukan sebarang pergerakan. Ini kerana sedikit sahaja pergerakan sudah boleh mengakibatkan rawatan yang diberi tidak tepat sehingga menyebabkan sel kanser tidak terkena sinaran dan mungkin memudaratkan organ sensitif berhampiran yang tidak perlu menerima radiasi.

Pengenalan

Radioterapi merupakan salah satu kaedah rawatan untuk merawat penyakit kanser. Sinar-x atau sinar gamma yang bertenaga tinggi digunakan untuk membunuh sel kanser ini. Rawatan ini diberi sama ada sekali atau beberapa kali bagi setiap pesakit.

Justeru itu, rawatan radioterapi ini mestilah diberi secara tepat. Bagi memastikan rawatan diberi dengan tepat, beberapa peralatan aksesori diperlukan mengikut bahagian badan yang akan menerima rawatan.

Peralatan aksesori ini digunakan untuk menentukan kedudukan pesakit semasa rawatan, mencegah daripada sebarang pergerakan dan memastikan pesakit selesa menggunakannya. Setiap pesakit akan menggunakan set aksesori yang tertentu dan berbeza mengikut jenis kanser dan kawasan rawatan. Aksesori ini mestilah tahan lama dan boleh diguna pakai berulang kali oleh pesakit tersebut sehingga tamat rawatan. Bagi sesetengah pesakit set aksesori tersendiri akan dibuat khas untuk mereka.

Peralatan aksesori radioterapi ini boleh dibahagikan kepada alat cegah gerak, alat bantuan posisi pesakit, alat pemampas tisu dan alat pelindung organ.

Alat Cegah Gerak

Dalam paparan ini, hanya alat cegah gerak yang akan dijelaskan. Manakala aksesori yang lain akan dijelaskan mengikut kategori dalam paparan yang lain.

Alat cegah gerak merupakan alat yang digunakan untuk memastikan kedudukan pesakit dalam keadaan stabil dan boleh dikekalkan tanpa dapat melakukan sebarang pergerakan. Pesakit hanya dibenarkan bernafas seperti biasa. Pembentukan alat ini mestilah berupaya menetapkan kedudukan pesakit. Ini penting kerana sebarang pergerakan yang boleh dilakukan oleh pesakit yang memakai alat ini mengakibatkan rawatan yang diberi tidak tepat. Rawatan yang tidak tepat menyebabkan sel kanser tidak terkena sinaran dan mungkin memudaratkan organ sensitif berhampiran yang tidak perlu menerima radiasi.

Berikut, merupakan beberapa alat cegah gerak yang sering digunakan. Alat-alat ini boleh digunakan oleh pesakit kanak-kanak atau pun dewasa.

  1. Cengkerang Arah Alur

Cengkerang arah alur atau dikenali sebagai beam directional shell (BDS) diperbuat daripada termoplastik. BDS ini sering digelar sebagai topeng termoplastik. Termoplastik untuk BDS ini mempunyai rongga-rongga yang membenarkan pesakit bernafas melaluinya. BDS ini didatangkan dalam bentuk leper dan rata bagi memudahkan BDS untuk direndamkan dalam bekas pemanas. Sifat termoplastik yang cepat lembut dan senang dibentuk semasa dipanaskan memudahkan pembentukan BDS. Terdapat bingkai untuk memegang kepingan termoplastik ini dan digunakan untuk diklip pada pemegang penyandar kepala (head rest holder) atau badan.

Proses pembentukan BDS dimulakan dengan merendam kepingan termoplastik ke dalam air panas yang bersuhu 60-70 darjah celcius. Kemudian, dalam keadaan yang masih lembut dan agak suam, ia diletakkan di atas anggota badan yang terlibat dalam rawatan dan. BDS tersebut dibentuk mengikut permukaan badan pesakit. Pesakit perlu menunggu 15 – 20 minit sehingga BDS mengeras. Adalah penting bagi pesakit memberi kerjasama semasa pembuatan alat ini. Pesakit dibenarkan bernafas seperti biasa dan diminta bertenang. BDS ini biasa digunakan untuk rawatan bahagian kepala, toraks dan pelvis. Gambar di bawah merupakan contoh beberapa bentuk BDS.

BDS bahagian kepalaa) BDS bahagian kepala

BDS bahagian pelvisb) BDS bahagian pelvis

Termoplastik untuk BDS bahagian kepala dan leherc)Termoplastik untuk BDS bahagian kepala dan leher

2. Kusyen Vac-Lok

Kusyen Vac-Lok merupakan aksesori yang berbentuk seperti bantal atau tilam. Sarung kusyen ini diperbuat daripada nilon dan di dalamnya terdapat butiran polisterina. Kusyen Vac-Lok terdapat dalam pelbagai saiz dan bentuk bergantung kepada bahagian badan yang dirawat. Ia juga didatangkan dalam saiz kecil untuk kegunaan pesakit kanak-kanak.

Kusyen Vac-Lok dibentuk mengikut bentuk badan pesakit apabila udara dikeluarkan oleh pam vakum melalui injapnya. Vac-Lok tersebut akan dikeraskan apabila kedudukan pesakit yang telah ditentukan tercapai. Bagi mengekalkan bentuk yang telah dihasilkan, terdapat satu penutup pada injapnya yang menghalang udara masuk ke dalam Vac-Lok. Kusyen Vac-Lok yang telah dibentuk akan disimpan dan digantung pada rak yang telah dikhaskan. Setiap kali rawatan, pesakit akan dibaringkan pada kusyen Vac-Lock untuk mengekalkan kedudukan dan menghalang berlakunya pergerakan.

Kesimpulan

Melalui pengenalan tentang alat cegah gerak ini diharap pesakit memahami kepentingan dan keperluannya dalam rawatan radioterapi. Diharap juga agar pesakit bersedia untuk memberi kerjasama sepanjang proses pembentukan alat ini yang tidak menyakitkan untuk memberi hasil yang terbaik.

Kusyen Vac-Lok sebelum dikeluarkan angina) Kusyen Vac-Lok sebelum dikeluarkan angin

Kusyen Vac-Lok selepas dikeluarkan anginb) Kusyen Vac-Lok selepas dikeluarkan angin

Rujukan

  1. http://www.artcorporationsa.com
  2. http://www.civco.com
  3. http://www.osl.uk.com

 

Semakan Akhir : 10 Februari 2017
Penulis : Siti Adawiah binti Abu Bakar
Akreditor : Rubiah binti Mohd Pakeh

Artikel Berkaitan

ALAT PEMAMPAS TISU

Alat pemampas tisu digunakan untuk menggantikan bahagian badan yang tidak rata atau tisu badan yang tiada akibat pembedahan dengan meletakkannya terus ke permukaan kulit pesakit tanpa sebarang jarak pemisah antaranya agar taburan dos sinaran diagihkan secara sekata kepada kawasan rawatan dan dapat memastikan rawatan diberikan tepat mengikut pelan rawatan.

ALAT BANTUAN POSISI PESAKIT

Aksesori ini digunakan untuk memberi sokongan kedudukan pesakit semasa menjalani rawatan. Pemilihan alat bantuan posisi ditentukan mengikut bahagian badan pesakit yang dirawat agar bersesuaian dengan teknik dan pelan rawatan serta mengambil kira keadaan fizikal pesakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,230,994

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia