A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

ALAT BANTUAN POSISI PESAKIT

Aksesori ini digunakan untuk memberi sokongan kedudukan pesakit semasa menjalani rawatan. Pemilihan alat bantuan posisi ditentukan mengikut bahagian badan pesakit yang dirawat agar bersesuaian dengan teknik dan pelan rawatan serta mengambil kira keadaan fizikal pesakit.

Pengenalan

Dalam radioterapi, peralatan aksesori menjadi salah satu penyumbang kepada ketepatan dan kejituan rawatan yang diberikan. Alat bantuan posisi ini merupakan aksesori yang diguna untuk memberi sokongan serta menentukan kedudukan pesakit semasa rawatan. Terdapat pelbagai alat bantuan posisi dan ia ditentukan mengikut bahagian badan pesakit yang dirawat. Pesakit akan menggunakan set alat bantuan posisi yang sama sepanjang dia menerima rawatan. Pemilihan alat bantuan posisi hendaklah bersesuaian dengan teknik dan pelan rawatan serta mengambil kira keadaan fizikal pesakit. Namun begitu, keutamaan akan diberikan kepada keselesaan pesakit. Keselesaan yang dicapai menjamin pesakit berada dalam keadaan stabil dan tidak bergerak. Keadaan ini amat penting dalam pemberian rawatan radioterapi.

Alat-alat untuk memposisikan pesakit

1. Headrest (Penyandar kepala)

Alat ini digunakan untuk memberi sokongan kepada kepala dan leher. Penyandar kepala ini diperbuat daripada busa poliuretana atau kepingan plastik yang jernih. Ia terdapat dalam pelbagai ketinggian dan lekuk. Penggunaannya ditentukan mengikut teknik rawatan yang akan diberikan kepada bahagian kepala atau leher. Namun, perkara yang penting yang perlu dititik beratkan adalah keselesaan pesakit semasa meletakkan kepala di atasnya.

Headrest (Penyandar kepala)1 Headrest (Penyandar kepala)2(sumber:www.osl.uk.com)

2. Regular Base Plate

Regular Base Plate yang diperbuat daripada akrilik ialah tapak untuk meletakkan penyandar kepala.

Jika pesakit menggunakan alat cengkerang arah alur atau Beam Direction Shell (BDS) ia akan diklipkan pada Regular Base Plate tersebut.

Regular Base Plate

3. Prone Base Plate

Apabila pesakit dikehendaki baring dalam kedudukan meniarap, Prone Base Plate akan digunakan. Alat ini juga diperbuat daripada akrilik. Keselesaan dicapai dengan adanya gel penyokong pada dahi dan dagu. Pesakit juga boleh bernafas dengan adanya lubang pemisah antara gel pada dahi dan dagu pada alat ini. Terdapat skala pada alat ini yang memastikan kedudukan pesakit dapat dihasilkan semula dengan tepat. Sama seperti di atas, BDS akan diklipkan kepada tapak ini.

 

Prone Base Plate

4. Tilting Base Plate

Tilting Base Plate merupakan alat yang diperbuat daripada akrilik atau gentian karbon. Ia digunakan bersama penyandar kepala dan BDS kepala.

Tilting Base Plate diperlukan bagi memposisikan pesakit dalam keadaan menundukkan kepala semasa rawatan. Terdapat juga skala pada alat ini yang memastikan kedudukan pesakit dikekalkan sebagaimana yang dirancang.

Tilting Base Plate1

Sumber: www.artcorporationsa.com

Tilting Base Plate2

 

5. Tongue Depressor (penekan lidah)

Penekan lidah merupakan alat yang berbentuk seperti aiskrim yang diletakkan di dalam mulut dan di atas lidah serta pesakit perlu menggigitnya.

Ia diperbuat daripada lilin yang membaluti kayu penekan lidah. Alat ini digunakan bertujuan untuk mencegah pergerakan lidah semasa rawatan dan menjarakkan kawasan rongga mulut daripada terkena sinar-X akibat daripada rawatan.

 

Tongue Depressor (penekan lidah)

6. S-frame Overlay Board

Alat ini diperbuat daripada gentian karbon. Ia dipasang pada bahagian atas katil rawatan dan biasa digunakan untuk rawatan yang diberi kepada kepala dan leher. BDS yang dibentuk pada bahagian kepala dan toraks pesakit akan dilekatkan pada alat ini dan ia mencegah pergerakan pesakit.

 

S-frame Overlay Board

Sumber: www.civco.com

7. Shoulder Retractor (Penarik bahu)

Alat penarik bahu digunakan apabila bahagian leher dirawat. Ia menarik kedua-dua bahu ke bawah agar tidak menghalang leher yang dirawat dan dalam masa yang sama mengelakkan bahu daripada terkena sinar-X.

Ia terdiri daripada pemegang tangan, tali nilon dan penahan kaki. Pesakit dikehendaki memegang pemegang tangan dan tahap ketegangan tali ditetapkan berdasarkan keupayaan pesakit menarik bahu turun ke bawah dan bebola yang ada pada hujung tali diletakkan pada mana-mana lubang yang bersesuaian.

 

Shoulder Retractor (Penarik bahu)

Sumber: www.civco.com

8. Prone pillow (Bantal Tiarap)

Prone pillow merupakan span yang digunakan untuk kedudukan meniarap. Ia menyokong kepala, leher dan dada. Alat ini digunakan dalam rawatan pada bahagian belakang badan pesakit.

Prone pillow (Bantal Tiarap)1 Prone pillow (Bantal Tiarap)2

9. Extended Wingboard

Extended Wingboard digunakan untuk rawatan anggota badan di bahagian toraks dan abdomen. Penggunaannya hendaklah bersama penyandar kepala.

Alat ini diperbuat daripada gentian karbon dan ia mempunyai pemegang berbentuk “T”. Pemegangnya berbentuk “T” akan memastikan kedua-dua tangan diangkat ke atas apabila pesakit menggenggamnya. Ia untuk mengalihkan tangan pesakit daripada kawasan rawatan.

Extended Wingboard1 Extended Wingboard2

10. Papan Payudara (Breast Board)

Papan payudara merupakan satu alat yang kompleks bagi tujuan memposisikan pesakit yang menerima rawatan pada bahagian payu dara.

Ia diperbuat daripada gentian karbon. Alat ini mempunyai aksesori yang dapat menstabilkan kedudukan anggota badan di bahagian dada. Aksesori tersebut dilengkapi dengan penyandar kepala, sokongan lengan, sokongan pergelangan tangan dan penahan pinggul. Alat ini boleh dilaraskan kecondongannya mengikut postur anatomi dada pesakit bagi mencapai posisi yang optima mengikut teknik yang ditetapkan. Skala yang terdapat pada alat ini akan memastikan penghasilan semula kedudukan pesakit dengan tepat.

Papan Payudara (Breast Board)

Sumber: www.civco.com

11. Belly Board (papan alas perut)

Papan alas perut merupakan alat yang diperbuat daripada gentian karbon. Terdapat penyokong dada dan lutut serta lubang di tengah-tengahnya.

Pesakit akan baring secara meniarap di atasnya dan terdapat span penyokong untuk dada manakala perut diletakkan di dalam lubang bertujuan mengurangkan kesan sampingan kepada usus akibat rawatan radioterapi pada bahagian pelvis.

Belly Board (papan alas perut)

12. Hipfix Board

Papan tetapan bahagian pinggul merupakan alat yang diperbuat daripada gentian karbon.

BDS yang dibentuk pada bahagian pinggul pesakit akan dilekatkan pada alat ini dan ia mencegah pergerakan pesakit. Terdapat skala pada alat ini yang memastikan kedudukan pesakit dapat dihasilkan semula dengan tepat.

 

Hipfix Board1 Hipfix Board2

13. Span Sokongan

Span ini berfungsi sebagai alat sokongan bagi mana-mana bahagian anggota badan yang mengalami ketidakselesaan semasa pemposisian dilakukan.

Span sokongan ini lembut dan mudah dibersihkan serta terdapat dalam pelbagai bentuk, saiz dan ketinggian.

Span sokongan

14. Kneefix (alat tetapan lutut)

Alat tetapan lutut merupakan kusyen yang menyokong lutut supaya pesakit berasa selesa dan kedudukannya stabil semasa baring.

Ia digunakan sama ada dalam keadaan baring secara terlentang atau meniarap.

Kneefix (alat tetapan lutut)

Kesimpulan

Bagi mencapai ketepatan pemberian rawatan, alat bantuan posisi pesakit diharap dapat memberi sokongan yang optimum dalam keadaan yang selesa untuk menggelakkan pesakit daripada bergerak semasa rawatan radioterapi dilakukan.

Rujukan

  1. http://www. artcorporationsa.com
  2. http://www.civco.com
  3. http://www.osl.uk.com

 

Semakan Akhir : 10 Februari 2017
Penulis : Siti Adawiah binti Abu Bakar
Akreditor : Rubiah binti Mohd Pakeh

Artikel Berkaitan

ALAT PEMAMPAS TISU

Alat pemampas tisu digunakan untuk menggantikan bahagian badan yang tidak rata atau tisu badan yang tiada akibat pembedahan dengan meletakkannya terus ke permukaan kulit pesakit tanpa sebarang jarak pemisah antaranya agar taburan dos sinaran diagihkan secara sekata kepada kawasan rawatan dan dapat memastikan rawatan diberikan tepat mengikut pelan rawatan.

ALAT CEGAH GERAK DALAM RADIOTERAPI

Alatan ini digunakan untuk memastikan kedudukan pesakit dalam keadaan stabil dan boleh dikekalkan tanpa dapat melakukan sebarang pergerakan. Ini kerana sedikit sahaja pergerakan sudah boleh mengakibatkan rawatan yang diberi tidak tepat sehingga menyebabkan sel kanser tidak terkena sinaran dan mungkin memudaratkan organ sensitif berhampiran yang tidak perlu menerima radiasi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,373,356

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia