A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Alahan Pemakanan

Pengenalan

Definisi:-

Alahan makanan adalah tindak balas abnormal terhadap makanan, yang dicetuskan oleh sistem imun badan. Tindak balas alergi terhadap makanan kadang kala boleh mencetuskan kesakitan yang teruk dan membawa maut.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan alahan makanan terjadi pada kanak-kanak?

  1. Faktor genetik/sejarah ahli keluarga

    Alahan makanan lebih mudah terjadi pada seseorang yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami alahan. Kebarangkalian seorang kanak-kanak itu menghidapi alahan makanan adalah 20-40% sekiranya salah seorang daripada ibu bapa mempunyai alahan dan 25-35% jika seorang daripada adik beradik mempunyai alahan. Namun, kebarangkalian ini meningkat kepada 40-60% sekiranya kedua-dua ibu bapa mempunyai alahan dan semakin tinggi (50-80%) sekiranya kedua-dua ibu bapa mengalami jenis alahan yang sama. Anak kepada ibu bapa yang tidak mempunyai alahan, masih mempunyai 5-15% kebarangkalian untuk mengalami alahan makanan. (Rujuk Gambar rajah 1).

    Gambar rajah 1: Peratusan kebarangkalian kanak-kanak mengalami alahan berdasarkan genetik atau sejarah keluarga (b,c,f)

  2. Faktor makanan

    Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Hill D.J. et al (1997), kebanyakan kanak-kanak berusia di bawah 1 tahun di Asia alah terhadap susu lembu, soya atau telur, diikuti dengan ikan dan makanan laut.

    Antara makanan yang biasanya mencetuskan alahan adalah:

    1. Susu lembu
    2. Telur
    3. Legum (kacang soya dan kacang tanah)
    4. Kekacang (badam, gajus, pecan, pistasio, walnut)
    5. Sesetengah jenis Ikan
    6. Makanan laut dan kerang-kerangan (udang, ketam, sotong, kepah, kerang, tiram, siput dan sebagainya)
    7. Bijirin (gandum, oat, barli, jagung)
    8. Makanan lain (epal, ubi kentang, lobak merah, celeri, kiwi, pisang, avocado, betik dan sebagainya)

Gejala/Tanda

Apakah tanda-tanda dan gejala seseorang itu menderita alahan makanan?

Reaksi alahan terhadap makanan kebiasaannya melibatkan 3 sistem utama iaitu sistem penghadaman, kulit dan sistem pernafasan. Biasanya, reaksi alahan makanan adalah ringan, namun ia boleh menjadi teruk sehingga membawa maut bagi sesetengah individu.

Tanda-tanda dan gejala alahan makanan termasuklah :

  1. Sistem pencernaan
    1. perut memulas
    2. rasa loya
    3. muntah
    4. cirit birit
  2. Kulit
    1. Gatal-gatal dan kerengsaan kulit
    2. Angiodema – bengkak kelopak mata dan bahagian badan yang lain
    3. Ekzema – kulit menjadi kemerah-merahan, gatal dan rasa pedih
  3. Sistem pernafasan
    1. Lelah atau mengah dan sukar bernafas
    2. Anafilaksis iaitu reaksi teruk yang berhubung kait dengan kesukaran bernafas, bengkak dalam mulut dan kerongkong, penurunan tekanan darah membawa kepada kejutan yang membawa maut.

Pencegahan dan Rawatan

Pencegahan:-

  1. Penyusuan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya selama 6 bulan pertama dapat melindungi bayi. Penyusuan susu ibu boleh diteruskan sehingga 24 bulan atau lebih.
  2. Bagi bayi berusia di bawah 6 bulan yang memerlukan formula bayi, adalah disarankan untuk mengikuti panduan berikut :
    1. Formula bayi biasa boleh diperkenalkan kepada bayi yang tiada sejarah alahan makanan di kalangan ibu bapa dan adik beradik.
    2. Bagi bayi yang mempunyai sejarah alahan makanan di kalangan ibu bapa dan adik beradik, perkenalkan formula bayi separa hadam kebiasaannya dilabelkan “hypo-allergenic”.

      Perhatian:- formula bayi separa hadam ini tidak sesuai bagi bayi yang telah disahkan mempunyai alahan terhadap susu lembu. Bayi yang mengalami masalah alahan susu lembu hanya sesuai minum susu ibu atau susu yang dihidrolisis sepenuhnya. Sila dapatkan nasihat doktor/Pegawai Dietetik untuk maklumat lanjut.

    3. Susu soya dan susu mamalia lain seperti susu kambing atau susu unta tidak digalakkan bagi mencegah alahan makanan.
  3. Pengenalan makanan pejal kepada bayi harus bermula pada usia 6 bulan ke atas
    1. Apabila bayi bersedia, perkenalkan makanan baru satu persatu selama 2 hingga 3 hari. Elakkan makanan tersebut sekiranya berlaku reaksi alahan.
    2. Mulakan dengan makanan seperti bijirin dan hasil bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan.
    3. Makanan sumber haiwan seperti ikan, ayam, daging dan telur perlu diperkenalkan satu demi satu bagi memastikan tiada alahan.

      Perhatian:- Berdasarkan kajian Sicherer S.H. & Burks A.W. (2008), melewatkan pengambilan makanan pejal kepada bayi boleh mengelakkan risiko alahan, namun tiada cukup bukti yang menyokong pencegahan alahan dengan mengelakkan makanan yang menyebabkan alahan seperti telur, kekacang, legum, ikan dan sebagainya.

Rawatan:-

Cara terbaik mengatasi alahan makanan adalah dengan mengelakkan makanan yang mencetuskannya. Bagi kes yang telah dikenal pasti, mengelakkan pengambilan makanan pencetus alahan tersebut merupakan langkah yang paling berkesan. Bagi kanak-kanak yang terlampau sensitif, mereka perlu menjauhi pendedahan terhadap penyebab alahan, termasuklah menyentuh atau menghidu makanan pencetus alahan termasuklah menyentuh permukaan yang terkena makanan itu, Dapatkan nasihat Pegawai Perubatan dan Pegawai Dietetik sekiranya perlu.

PENTING!!

  1. Sentiasa waspada dengan bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan sesuatu makanan.
  2. Baca label makanan dengan teliti untuk mengenalpasti kehadiran bahan pencetus alahan.
  3. Kenal pasti tanda-tanda dan gejala alahan makanan serta pengurusan awal sekiranya reaksi alahan berlarutan.
  4. Kawalan makanan tertentu secara keterlaluan boleh menyebabkan kekurangan zat makanan seterusnya merencat tumbesaran. Dapatkan nasihat Pegawai Dietetik bagi memastikan keseimbangan nutrient dalam diet kanak-kanak yang mengalami alahan.
  5. Dapatkan nasihat doktor.mengenai rawatan ubat seperti epinephrine, antihistamine atau steroid.
  6. Sentiasa dapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk penjagaan yang lebih terjamin.

Rujukan

  1. Australasian Society of Clinical Immunology and Allergy. Inc. (2010). Infant feeding advice. Retrieved 10 Jun 2010, from http://www.allergy.org.au/images/stories/aer/infobulletins/2010pdf/ascia_infant_feeding_advice_2010.pdf
  2. Bjorksten, B. (2005). Genetic and environmental risk factors for the development of food allergy. Journal Allergy Clinical Immunology;5:249-53
  3. Exl, B., & Fritsche, R. (2001) Cow’s milk protein allergy and possible means for its prevention. Journal of Nutrition. 17:642-651
  4. Hill, D.J., Hosking, C.S., Chen, Y.Z., Leung, R., Baratwidjaja K., Iikura, Y., Iyngkaran, N., Gonzalez-Andaya, A., Lee, B.W. & Kue, H.H. (1997). The frequency of food allergy in Australia and Asia. Environmental Toxicology and Pharmacology, 4, 101-110
  5. Kemp, A., Chiang, W.C., Gerez, I., Goh, A., Liew, W.K., Shek, L., Van Bever H.PS. & Lee, B.W. (2010) Childhood Food allergy:- A Singaporean perspective. Annal Academy of Medicine Singapore, 39, 404-11
  6. Prescott, S.L. & Tang, M.L K. (2005) Summary of allergy prevention in children. Medical Journal of Australia; 182 (9): 464-467. Retrieved Jun 10, 2010, from http://www.mja.com.au/public/issues/182_09_020505/pre10874_fm.html
  7. Schierer S.H. & Burks A.W. (2008) Maternal and infant diets for prevention of allergic diseases: Understanding menu changes in 2008. Journal 0f Allergy Clinical Immunology; 122:29-33
  8. Wolf R.L. (2004). Essential pediatric allergy, asthma & immunology. McGraw-Hill. pg:- 91-105
Semakan Akhir : 22 Ogos 2020
Penulis : Rafidah bt. Ghazali
Penyemak : Nik Mahani bt. Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

Pemakanan bagi Berat Badan Berlebihan

Untuk menurunkan berat badan, Untuk mengekalkan berat badan yang normal, Untuk menghalang peningkatan berat badan, Untuk mengurangkan risiko darah tinggi, diabetes mellitus dan penyakit jantung dan Untuk meningkatkan kualiti kehidupan, berasa lebih sihat dan bertenaga.

Omega-3 Laut Dalam

Omega-3 merupakan sejenis kumpulan asid lemak poli tak tepu yang diperlukan oleh tubuh. Ia tidak dapat dihasilkan oleh tubuh kita dan mesti diambil dalam diet harian.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,410

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia