A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Laktosa Intoleransi

Laktosa intoleransi adalah ketidak upayaan untuk menghadamkan gula susu atau laktosa. Ianya berlaku kerana kekurangan enzim lactase secara sementara atau kekal.

Apakah laktosa?

Susu dan hasil tenusu mengandungi gula susu yang perlu dipecahkan menjadi lebih kecil supaya dapat diserap ke aliran darah. Gula susu ini dipanggil laktosa. Ia dipecahkan oleh enzim lactase di dalam usus.

Apakah laktosa intoleransi?

Laktosa intoleransi adalah ketidak upayaan untuk menghadamkan gula susu atau laktosa.

Bagaimanakah laktosa intoleransi berlaku?

Ianya berlaku kerana kekurangan enzim lactase secara sementara atau kekal. Enzim lactase ini terdapat di lapisan dalam usus.

Jenis-jenis laktosa intoleransi

  1. Laktosa intoleransi mungkin kekal (primary)
    1. Congenital (sejak lahir)
      1. Jarang berlaku.
      2. Berlaku semasa lahir.
    2. Lewat (bagi dewasa)
      1. Biasa berlaku di kalangan orang asia.
      2. Berlaku dalam anggaran umur 20 tahun.
  2. Laktosa intoleransi Sementara (secondary)
    Laktosa intoleransi sementara berlaku disebabkan kerosakan/kecederaan pada usus yang disebabkan oleh:

    • Jangkitan kuman pada usus (Gastroenteritis).
    • Penyakit usus seperti Coeliac Disease.
    • Pembedahan usus.

Berapakah kerap keadaan ini berlaku?

  • 2/3 daripada bayi mungkin mengalami gejala penyakit ini.
  • Secara am ianya adalah sementara dan tidak merbahaya.
  • Enzim lactase lazimnya akan berkurangan apabila kanak-kanak mula makan makanan pejal.
  • Kebanyakan orang akan terus menghasilkan enzim lactase dan sebahagian (kebanyakan orang asia) pula berhenti menghasilkan enzim lactase apabila meningkat dewasa.

Apakah tanda dan gejala penyakit ini?

Gejala ini akan kelihatan ½ hingga 2 jam selepas memakan makanan yang mengandungi laktosa:

  • Bayi merengek dan menangis.
  • Perut kembung dan memulas.
  • Berak cair yang berbau busuk dan berbuih.
  • Kentut yang berlebihan.
  • Kulit melecet dibahagian punggung.

Diagnosa

Semua tanda-tanda di atas bukan saja berlaku bagi kes laktosa intoleransi tetapi juga berlaku kepada alahan makanan lain atau penyakit-penyakit lain. Oleh itu diagnosa ini hanya boleh dibuat selepas kes diperiksa oleh doktor.

Apakah masalah yang akan timbul akibat penyakit ini?

Laktosa intoleransi sementara tidak akan menyebabkan komplikasi kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kes yang serius jika tidak dirawat boleh menyebabkan:

  • Kekurangan air dalam badan (Dehidrasi).
  • Kurang zat makanan.
  • Pembesaran terencat.

Bagaimanakah cara merawat masalah ini?

Kawalan pemakanan adalah cara utama merawat laktosa intoleransi. Cuba elakkan makan makanan yang mengandungi laktosa, di samping itu pastikan kanak-kanak tersebut mendapat makanan yang seimbang.

Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan sebarang rawatan.

Laktosa intoleransi yang kekal:

  • Tidak dapat diubati.
  • Elak semua makanan yang mengandungi laktosa.
  • Bayi yang menyusu susu ibu atau susu formula perlu ditukarkan kepada susu yang tidak mengandungi lactosa. Susu tersebut mungkin dibuat dari susu lembu tanpa laktosa (lactose free) atau susu soya (susu soya hanya diberi untuk bayi > 6 bulan).
  • Pastikan makan makanan seimbang dan mempunyai cukup nutrient untuk pembesaran.

Laktosa intoleransi yang sementara:

  • Kurangkan makanan yang mengandungi laktosa.
  • Selang-selikan penyusuan susu ibu dan susu formula yang tidak mengandungi laktosa.
  • Mungkin perlu minum susu tanpa lactosa sahaja buat seketika.
  • Selepas tiada gejala dalam masa 2-4 minggu, boleh mulakan penyusuan susu formula biasa untuk bayi.

Apakah jenis makanan yang mengandungi laktosa?

Makanan mengandungi laktosa termasuk:

  • Susu dan hasil tenusu seperti keju, mentega dan lain-lain.
  • Coklat dan minuman coklat dan berperisa coklat.
  • Aiskrim.
  • Marjerin.
  • Roti dan biskut.
  • Bijirin sarapan.
  • Manisan susu (candy), gula-gula yang mengandungi susu.
  • Susu pekat manis.
  • Susu cair.

Laktosa mungkin juga terkandung dalam makanan dengan label makanan berikut:

  • Semua jenis susu.
  • Gandum dan protein susu (‘whey’ dan ‘casein’).
  • Susu tepung.
  • Tairu.

Bagaimana keadaan ini boleh dielakkan?

Elakkan semua makanan dengan laktosa seperti yang disebut di atas.

Apakah langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil?

  • Baca label kandungan makanan yang hendak dibeli.
  • Berhati-hati memilih makanan yang tidak dicatitkan kandungannya.
  • Dapatkan nasihat pakar pemakanan tentang kandungan makanan yang tidak pasti.
  • Jangan kerap menukar susu bayi anda. Dapatkan nasihat doktor di hospital terlebih dahulu.
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dato’ Dr. Lim Nyok Ling
  : Dr. Lim Sern Chin
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Muntah

Bagi kanak-kanak, muntah selalunya pulih dengan sendirinya dan tidak berbahaya kecuali ia disebabkan oleh penyakit serius.

Gastroesophageal Reflux

“Gastroesophageal reflux” adalah keadaan di mana asid dalam perut atau kandungan perut iaitu makanan atau minuman yang diambil tertolak semula ke saluran esofagus iaitu struktur seperti tiub yang menyambungkan mulut dengan perut.

Sembelit

Sembelit ialah keadaan dimana kekerapan membuang air besar menjadi kurang atau kesukaran membuang air besar diikuti dengan najis yang keras.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,370

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia