A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Penggunaan Ubat
  6. /
  7. Adik, ubat bukan gula-gula

Adik, ubat bukan gula-gula

Ibu bapa perlu bijak memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak berkenaan penggunaan ubat-ubatan secara selamat.

Pengenalan

Ubat-ubatan seringkali disalah anggap oleh kanak-kanak sebagai gula-gula. Manakan tidak, bentuk dan warna ubat yang menarik serta sifat ingin tahu boleh mendorong kanak-kanak untuk mengambil ubat tersebut secara tidak sengaja. Akibatnya, kanak-kanak boleh mengalami kesan keracunan oleh sebab pengambilan ubat-ubatan yang tidak sesuai.

Menurut World Health Organization (WHO), kes keracunan telah menyebabkan kematian lebih 45,000 kanak-kanak dan remaja berumur bawah 20 tahun pada tahun 2004. Kebanyakan kes keracunan adalah disebabkan oleh bahan yang lazimnya ditemui di rumah seperti ubat-ubatan, racun serangga dan agen pembersih.

Keracunan Ubat-Ubatan Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Terdapat ubat-ubatan untuk kegunaan orang dewasa yang tidak seharusnya diambil oleh kanak-kanak. Berikut disenaraikan beberapa contoh ubat-ubatan yang boleh memberi kesan keracunan terhadap kanak-kanak :

  1. Aspirin / Acetylsalicylic acid
    1. Ubat ini tidak boleh diambil oleh kanak-kanak berumur kurang daripada 16 tahun kerana boleh menyebabkan Reye’s Syndrome iaitu penyakit yang menyebabkan pembengkakan pada hati dan otak kanak-kanak.
  2. Tetracycline
    1. Ubat ini boleh menyebabkan gigi menjadi kekuningan dan mengganggu tumbesaran sekiranya diambil oleh kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
  3. Ubat antidiarrhea seperti kaolin, loperamide atau diphenoxylate
    1. Ubat ini boleh menyebabkan sembelit atau saluran usus tersumbat jika digunakan oleh kanak-kanak berumur bawah 6 tahun.
  4. Ubat batuk atau ubat selesema seperti chlorpheniramine atau pseudoephedrine
    1. Ubat-ubatan ini yang tidak boleh diambil oleh kanak-kanak berumur kurang 2 tahun dan hanya boleh diambil oleh kanak-kanak berumur 2 hingga 6 tahun dengan pengawasan doktor.
    2. Sekiranya diambil tanpa pengawasan doktor, ia boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan mungkin membawa maut.
  5. Camphor
    1. Ubat ini boleh menyebabkan kekejangan jika digunakan oleh kanak-kanak berumur bawah 2 tahun.

    Kefahaman Kanak-Kanak Mengikut Peringkat Umur

    Pengurusan ubat-ubatan yang selamat adalah penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kes keracunan. Selain itu, pendidikan kepada kanak-kanak berkenaan ubat-ubatan adalah penting dan perlu bermula di rumah sejak kecil lagi.

    Secara umumnya, kefahaman kanak-kanak adalah berbeza mengikut peringkat umur. Justeru, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak berkenaan penggunaan ubat-ubatan secara selamat. Berikut disenaraikan beberapa perkara penting yang perlu dinasihatkan kepada kanak-kanak berkaitan ubat-ubatan :

    Peringkat Umur
    Perkara Yang Perlu Diketahui
    Tindakan Yang Perlu Diambil Oleh Kanak-Kanak
    1 – 3 Tahun
    1. Ubat bukan gula-gula
    2. Tidak boleh ambil ubat sesuka hati
    1. Jangan masukkan ubat dalam mulut
    2. Beri ubat itu pada mak atau ayah
    4 – 6 Tahun
    1. Hanya ambil ubat dengan kehadiran ibu bapa atau penjaga
    1. Tanya dahulu kepada mak atau ayah sebelum mengambil sebarang ubat.
    7 – 9 Tahun
    1. Hanya ambil ubat yang tertulis nama pesakit sahaja
    1. Pastikan ubat itu milik kamu, jangan ambil ubat orang lain
    10 – 12 Tahun
    1. Semua maklumat berkaitan ubat ada ditulis pada label ubat
    1. Sentiasa baca label ubat dengan teliti sebelum mengambil ubat

    Tips Untuk Mengelakkan Kekeliruan Ubat Dan Gula-Gula

    1. Ketika memujuk anak mengambil ubat, elakkan merujuk ubat itu sebagai ‘gula-gula’.
      1. Sekiranya ibu bapa merujuk ubat itu sebagai ‘gula-gula’, mungkin sekadar boleh membantu ketika pemberian ubat sahaja. Walau bagaimanapun, perkara ini boleh memberi persepsi yang salah kepada kanak-kanak yang mana mereka berfikir ubat itu adalah gula-gula.
    2. Elakkan daripada mengambil ubat-ubatan di hadapan kanak-kanak yang berumur kurang daripada 4 tahun.
      1. Kanak-kanak yang berumur kurang 4 tahun selalunya akan meniru kelakuan ibu bapa dan mungkin mengambil ubat-ubatan tanpa disedari oleh ibu bapa.
    3. Simpan ubat-ubatan dalam bekas yang berasingan, jauh daripada tempat menyimpan makanan.
      1. Sebaik-baiknya simpan ubat-ubatan dalam bekas yang mempunyai penutup yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak (child-proof cap) serta dilabel dengan jelas.

    Penyimpanan Ubat Yang Selamat

    1. Simpan ubat-ubatan dalam bekas asal agar boleh sentiasa merujuk pada label ubat.
    2. Elakkan daripada menyimpan dalam kotak pil kerana ia mudah dibuka oleh kanak-kanak.
    3. Tutup botol ubat dengan kemas setiap kali selepas mengambil ubat.
    4. Terus simpan ubat setiap kali selepas digunakan, jangan letakkan di atas meja atau di merata-rata tempat.
    5. Simpan ubat di tempat yang tinggi agar tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

    Rujukan

    1. Drug Registration Guidance Document by National Pharmaceutical Control Bureau, 1st Edition (January 2013)
    2. MIMS Gateway Service Portal
    3. WHO : http://www.who.int/violence_injury_prevention/child/injury/world_report/Poisoning_ english.pdf
    4. WebMD : http://www.webmd.com/children/news/20111017/kids-and-grownups-can-mistake-candy-for-medicine
    5. USFDA : Teaching your children how to use medicine safely (http://www.fda.gov/Drugs/ResourcesForYou/Consumers/BuyingUsingMedicineSafely/UnderstandingOver-the-CounterMedicines/ucm094876.htm
    Semakan Akhir : 15 September 2016
    Penulis : Hazlin bt. Othman
    Akreditor : Munira bt. Muhammad

Artikel Berkaitan

Teknik Penggunaan Ubat Titis Mata

Ubat titis mata merupakan sediaan steril ( bebas daripada kuman) yang digunakan untuk merawat masalah pada bahagian mata. Terdapat pelbagai jenis sediaan ubat mata di pasaran dengan pelbagai tujuan penggunaan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,651

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia