Home > Umum > Terapi Bahasa & Pertuturan > Adaptasi Peralatan Makan & Minum

Adaptasi Peralatan Makan & Minum

Pengenalan

Aktiviti makan dan minum adalah suatu perkara asas dalam kehidupan. Malah, ia merupakan suatu aktiviti yang menyeronokkan.

Namun, aktiviti tersebut boleh menjadi sukar dan mencabar bagi sesetengah individu. Akibatnya mereka perlu bergantung kepada orang lain untuk mendapat, serta menyuap makanan dan minuman ke mulut.

Adaptasi peralatan makan dan minum yang bersesuaian membantu individu untuk:

  • Menikmati aktiviti makan dan minum dengan lebih baik
  • Meningkatkan kualiti kehidupan pesakit
  • Menggalakkan sifat berdikari dan tidak bergantung kepada orang di sekeliling

Adaptasi peralatan makan dan minum mestilah boleh digunakan di rumah, sekolah mahupun komuniti.

Adaptasi yang dilakukan hendaklah mengikut kesesuaian individu.

Siapa yang Memerlukan Adaptasi Makan dan Minum?

Antara individu yang memerlukan peralatan adaptasi makan dan minum adalah seperti berikut:

  • Ketidakupayaan fizikal
  • Arthritis
  • Kemahiran motor halus yang lemah, contohnya, kesukaran untuk menggenggam
  • Pesakit Parkinson
    Sumber : www.elderstore.com

Apakah Peralatan Adaptasi Makan dan Minum yang Digunakan?

Terdapat pelbagai peralatan yang diadaptasi mengikut kesesuaian pesakit semasa aktiviti makan dan minum.

Kerjasama daripada Terapis Cara Kerja dalam pemilihan alat yang bersesuaian adalah penting agar peralatan yang dicadangkan sesuai mengikut keperluan pesakit.


Sumber : www.rifton.com

Adaptasi peralatan seperti sudu, garpu, pinggan, mangkuk dan cawan yang khusus memberikan kesan yang besar kepada individu. Adaptasi peralatan makan dan minum memudahkan pesakit untuk menikmati aktiviti makan dan minum dalam kehidupan seharian mereka.

Adaptasi peralatan makan dan minum adalah seperti:

  • Tempat pemegang yang lebih besar
  • Pemegang sudu/garpu yang lebih bersudut (angled handles)
  • Menambahkan beban pada peralatan

Berikut, merupakan beberapa contoh peralatan yang digunakan dalam aktiviti makan dan minum.

  1. Cawan
  1. Cut-out-cup

    Cawan Nosey (Nosey glass)
    Sumber: www.mobilitycare.com

    Untuk mengelakkan cawan daripada terkena hidung.

    Dapat mengelakkan kepala mendongak ke belakang semasa minum.

  2. Cawan dengan penutup bermuncung (Cup with a lid with a spout)

    Cawan berpenutup dan pemegang
    Sumber: www.edb.utexas

    Untuk mengelakkan cecair daripada tumpah.

    Dapat mengawal pengaliran cecair ke dalam mulut.

    Muncung pada penutup cawan dapat membantu merapatkan bibir.

  1. Penyedut Minuman

    Straw Krazy
    Sumber: genius.com

    Membantu perkembangan bagi aktiviti menyedut, membantu merapatkan bibir, memberi kekuatan dan kawalan, serta memberikan posisi kepala dalam keadaan tunduk sedikit ketika menyedut minuman.

    Penggunaan penyedut minuman yang menarik (cth: berwarna-warni, Krazy) boleh memberikan motivasi kanak-kanak untuk menggunakannya

  1. Sudu

    Adaptasi sudu sesuai digunakan oleh kanak-kanak dengan masalah hipersensitif atau refleks gag (tindak balas automatik seperti hendak muntah).

    Pertimbangkan saiz dan kedalaman lekukan sudu, bahan yang digunakan, bentuk dan panjang pemegang.

    • Kedalaman sudu dan mulut kanak-kanak haruslah seimbang
    • Sudu yang lekuknya sedikit ke dalam menyukarkan kanak-kanak untuk mengambil makanan daripada sudu
    • Gunakan sudu yang diperbuat daripada bahan yang tahan agar tidak mudah patah apabila digigit
    • Sudu besi boleh menyakitkan kanak-kanak. Sudu yang diperbuat daripada nilon, plastik atau disaluti getah membantu kanak-kanak yang hipersensitif terhadap suhu panas atau sejuk.

    Contoh:

    1. Built-up handle

      Terdapat dua jenis modifikasi yang boleh dilakukan sama ada besarkan pemegang sahaja, atau besarkan dan beratkan. Penggunaan modifikasi sudu tersebut berlainan untuk setiap jenis.

      Contohnya, pemegang yang besar sesuai untuk kanak-kanak yang kurang dari segi kemahiran memanipulasi tangan atau  kemahiran tangan yang lemah. Modifikasi tersebut membantu kanak-kanak untuk menggenggam dan membentuk kemahiran sudu ke mulut.

      Pemegang yang sedikit berat pula membantu pergerakan dan lebih stabil. Contohnya, kanak-kanak dengan kecederaan otak atau palsi serebrum yang bertujuan untuk mengurangkan tremor semasa menggunakan sudu.

      Good grips weighted utensils
      Sumber:www.activeforever.com

    2. Bent-handle spoon

      Digunakan oleh kanak-kanak dengan pergerakan yang terhad.

      Membantu penyuapan makanan ke mulut tanpa melibatkan pergerakan yang banyak pada lengan, pergelangan tangan dan tangan.


      Pemegang sudu yang boleh bengkok
      Sumber: www.lovethatmax.com

    3. Plastic-coated utensilsSesuai digunakan bagi kanak-kanak yang  ada masalah gigi atau gusi sensitif.
      Plastic-coated utensils
  1. Pinggan dan Mangkuk
    1. A raised edge or a plate guardPermukaan yang tinggi di sekeliling pinggan bagi memudahkan kanak-kanak untuk mengambil makanan dengan sudu
      Surefit plastic food guard
      Sumber: www.rehabmart.com
    2. Dycem or non-skid pressure-sensitive padsDiletakkan di bawah mangkuk untuk mengelakkan daripada tergelincir daripada permukaan meja
      Dycem© Non-Slip Mat
      Sumber: www.nrshealthcare.co.uk
  1. Pelapik MejaPenggunaan anti-slip mat untuk meletak pinggan, cawan atau mangkuk supaya tidak mudah tergelincir sekiranya kanak-kanak tertolak pinggan, cawan atau mangkuk tersebut.

Panduan Adaptasi dan Penggunaan Peralatan Feeding

  • Perhatikan persekitaran di mana individu kebiasaannya menikmati makanan (rumah, sekolah), jenis makanan yang disediakan dan masa penyediaan.
  • Hormat permintaan, nilai dan rutin kanak-kanak dan ibu bapa.
  • Elakkan adaptasi peralatan feeding sekiranya kanak-kanak mempunyai potensi untuk mencapai kemahiran feeding.
  • Ibu bapa, kanak-kanak, guru dan terapis hendaklah bekerjasama dalam membuat keputusan mengenai peralatan adaptasi feeding sekiranya perlu.
  • Gunakan peralatan yang mempunyai paling sedikit halangan untuk membolehkan kanak-kanak berdikari menggunakan peralatan tersebut.
  • Gunakan peralatan yang tahan lasak dan mudah dibersihkan serta bersesuaian dengan tahap perkembangan seseorang individu.
  • Pastikan posisi ketika makan adalah betul. Gunakan adapatasi peralatan feeding sekiranya perlu. Duduk secara tegak 90°, kepala berada pada kedudukan tengah, dan sokong tapak kaki.

Rujukan

  1. Novita.Speech Pathology (2008). Glossary of mealtime terms. ©Novita Children’s Services Inc. Retrieved September 2, 2015, from http://www.novita.org.au/library/Factsheet-OED-26-glossary_mealtime_terms.pdf
  2. Yeung, Y.L. (). Adaptive Feeding Equipment For Children with Special Needs. TelAbility. Retrieved September 2, 2015, from http://www.telability.org/handouts/TelAbilityHandoutAdaptiveFeedingEquipment.PDF
Semakan Akhir : 18 Februari 2016
Penulis : Nurshahira bt. Razali
Akreditor : Wahida bt. Mohd Abd Wahab