A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Tradisional
  6. /
  7. Adakah Produk-Produk Tradisional Di...

Adakah Produk-Produk Tradisional Di Malaysia Selamat

Tahukah anda, herba merupakan sumber terawal ubat-ubatan dan digunakan secara meluas di seluruh dunia (WHO, 2002)? Ketika ini, ubatan herba boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk dosej seperti tablet, kapsul, sirap, krim dan juga plaster. Namun, pernahkah anda terfikir, adakah ubatan herba yang dikategorikan sebagai ubat tradisional tersebut benar-benar selamat untuk diambil dan digunakan?

Ubat tradisional daripada sumber semulajadi

Umum beranggapan ubat tradisional yang berasal daripada sumber semulajadi adalah tidak merbahaya dan selamat untuk diambil. Walaubagaimanapun, hakikatnya herba juga berpotensi untuk dicemari dengan logam berat samada yang hadir melalui tanah, air atau udara. Ernst (2002b) melaporkan terdapat kes keracunan arsenik, merkuri, plumbum dan kadmium daripada ubat herba dari Asia. Ini menunjukkan bahawa ubat tradisional boleh dicemari dengan logam toksik.

Ubat tradisional yang berasal daripada herba juga boleh dicemari dengan bakteria dan kulat terutama jika proses selepas pengumpulan tumbuhan herba seperti pengeringan tidak dilakukan dengan sempurna.

Di Malaysia, ubat tradisional didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk memastikan ianya selamat dan berkualiti. Untuk memastikan ia tidak tercemar dengan logam berat, mikroorganisma dan juga bahan campur palsu, pengujian makmal berkaitan akan dilakukan. Bagi menentukan kualiti produk pula, ujian keseragaman berat dan pengecaian juga dijalankan untuk ubat tradisional dalam bentuk tablet dan kapsul.

Pengujian ke atas ubat tradisional

Logam berat seperti arsenik, merkuri, plumbum dan kadmium boleh mendatangkan kesan toksik yang serius seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1 di bawah:

Logam Berat
Kesan toksik
Arsenik Memberi kesan atas kulit dan boleh menyebabkan kanser
Merkuri Memberi kesan ke atas buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, sistem imunisasi dan kulit
Plumbum Memberi kesan kepada sistem saraf, sistem kardiovaskular, sistem pencernaan dan buah pinggang
Kadmium Memberi kesan kepada buah pinggang dan paru-paru

Jadual 1: Kesan logam berat kepada kesihatan

Selaku sekretariat kepada PBKD, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) bertanggungjawab untuk menguji dan memastikan paras logam berat dalam ubat tradisional tidak melebihi had yang ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam jadual 2. Ujian logam berat akan dijalankan untuk produk-produk tradisional sebelum dan selepas pendaftaran untuk memastikan ubat-ubat tradisional yang diambil oleh pengguna adalah selamat dan berkualiti.

Logam Berat
Had Logam Berat yang dibenarkan
Arsenik Tidak lebih 5.0 mg/L atau 5.0 mg/kg (5.0 ppm)
Merkuri Tidak lebih 0.5 mg/L atau 0.5 mg/kg (0.5 ppm)
Plumbum Tidak lebih 10.0 mg/l atau 10.0 mg/kg (10.0 ppm)
Kadmium Tidak lebih 0.3 mg/L atau 0.3 mg/kg (0.3 ppm)

Jadual 2: Had logam berat yang dibenarkan dalam produk tradisional

Selain daripada itu, ubat tradisional juga diuji untuk memastikan ianya tidak dicemari bakteria dan kulat serta bakteria patogenik yang boleh membawa maut. Bakteria patogenik yang dipastikan tidak terdapat dalam ubat tradisional adalah Staphylococcus aureus Escherichia coli, Salmonella dan Pseudomonas aeruginosa. Staphylococcus aureus selalu dijumpai di atas kulit dan salur pernafasan manakala Pseudomonas aeruginosa pula merupakan bakteria yang biasanya terdapat dalam tanah. Eschericia coli berasal daripada najis dan mempunyai kemungkinan untuk mencemari tumbuhan herba. Salmonella yang selalunya menjangkiti haiwan secara tidak langsung turut boleh mencemari tumbuhan herba.

Untuk memastikan ubat tradisonal selamat daripada dicampur palsu dengan ubat terkawal sebelum dipasarkan, penyaringan bahan campur palsu ke atas ubat tradisional dengan indikasi tertentu turut dijalankan oleh BPFK. Produk ubat tradisional dengan indikasi-indikasi berikut perlu diuji samada mengandungi ubat terkawal iaitu:

  1. Untuk kesihatan lelaki
  2. Untuk menurunkan berat badan
  3. Untuk sakit otot dan sendi
  4. Untuk selsema dan batuk
  5. Untuk menurunkan paras gula dalam darah

Kesimpulan

PBKD dan BPFK bertanggungjawab memastikan ubat tradisional yang berada di pasaran adalah selamat dan berkualiti. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk memastikan ubat tradisional yang dibeli adalah ubat berdaftar yang mempunyai nombor MAL dan hologram. Pembelian ubat tradisional yang tidak berdaftar mendedahkan pengguna kepada risiko yang boleh membahayakan kesihatan dan lebih parah lagi berisiko untuk mengundang maut.

Rujukan

  1. WHO, 2002. Drug Information. Herbal medicines. Vol.16. World Health Organization, Geneva
  2. Ernst,E. 2002b. Toxic heavy metals and undeclared drugs in Asian herbal medicines. Trends in Pharmacological Sciences 23, 136-139.
  3. NPCB, 2014. Drug Registration Guidance Document
  4. http://www.foodsafety.govt.nz/industry/general/foodborne-illness/salmonella/
Semakan Akhir : 14 Julai 2014
Penulis : Azrina bt. Hassan
Akreditor : Mazli bt. Muhamad

 

Artikel Berkaitan

Pengambilan Ubat-ubatan Secara Teratur

Mengapa penting untuk mengambil ubat dengan betul? Ubat hanya berfungsi jika anda mengambilnya. Oleh itu memastikan pengambilan ubat-ubatan anda adalah sangat penting. Ini bagi membolehkan keadaan atau penyakit yang dihidapi dirawat atau diuruskan secara optimum.

Radioiodin

Fakta Ubat Ubat radioiodin adalah elemen iodin dalam bentuk radioaktif.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,472

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia