A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Activated Charcoal

Pengenalan

Charcoal atau arang pada kebiasaannya dihasilkan daripada arang batu, kayu atau tempurung kelapa. Activated charcoal adalah sama seperti jenis arang yang lain. Ia merupakan sejenis serbuk halus berwarna hitam tanpa bau dan rasa yang digunakan untuk pelbagai jenis rawatan tertentu.

Activated charcoal telah digunakan sejak zaman purba untuk merawat pelbagai jenis penyakit termasuk keracunan. Ciri-ciri penyembuhan yang dihasilkan oleh activated charcoal ini telah direkodkan sejak 1550 Sebelum Masihi oleh orang Mesir.

Bagaimana activated charcoal bertindak sebagai ubat?

Bagi menghasilkan activated charcoal (ataupun mengaktifkan arang), arang jenis biasa dipanaskan dengan suhu yang tinggi. Proses pemanasan tersebut akan membentuk ruang atau liang pada struktur arang.

Liang yang terbentuk akan bertindak sebagai perangkap atau penyerap bahan kimia atau bahan kontaminasi. Liang tersebut bertindak menghalang sesetengah jenis bahan kimia atau racun yang ditelan daripada diserap ke dalam badan oleh perut.

Activated charcoal bertindak dengan bergabung kepada bahan kimia atau toksin yang berada di dalam perut atau usus kecil. Ini menyebabkan bahan tersebut dapat dihalang dari menyerap ke dalam tubuh. Hasil gabungan activated charcoal dan bahan kimia atau toksin ini akan dikumuhkan melalui najis tanpa memudaratkan badan.

Ciri-ciri ini menyebabkan activated charcoal sangat berkesan digunakan untuk rawatan keracunan makanan, keracunan bahan kimia, cirit-birit, kembung dan sakit perut.

Apakah indikasi activated charcoal?

Di Malaysia, activated charcoal merupakan ubat yang digunakan untuk rawatan keracunan makanan atau cirit-birit. Selain dari itu, activated charcoal juga digunakan untuk rawatan keracunan disebabkan oleh ubat-ubatan, racun bukan organik, atau bahan kimia yang ditelan secara sengaja atau tidak sengaja. Activated charcoal bertindak memperlahankan penyerapan racun atau bahan kimia tersebut.

Apakah jenis activated charcoal yang terdapat di Malaysia?

Terdapat dua jenis activated charcoal yang terdapat dalam pasaran Malaysia iaitu:

  1. Activated charcoal dalam bentuk tablet, 250mg setiap tablet
  2. Activated charcoal dalam bentuk serbuk

Dos Activated Charcoal

Dos yang diberikan adalah bergantung kepada keperluan rawatan.

Activated charcoal kadangkala diberi sebagai satu dos berasingan atau diberikan dalam beberapa dos bergantung kepada keperluan rawatan. Ini bergantung kepada pakar perubatan bagi membolehkan rawatan paling optimum diberikan kepada pesakit.

Untuk rawatan cirit-birit atau keracunan makanan; 500mg hingga 1g activated charcoal diberikan kepada pesakit dan diulang pengambilan sekerap 3 atau 4 kali sehari. Kanak-kanak diberikan separuh dari dos orang dewasa.

Jika tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan penyerapan ubat-ubatan, tumbuhan, racun bukan organik dan bahan kimia dalam kes keracunan, activated charcoal dalam bentuk serbuk perlu dibancuh terlebih dahulu sebelum diberikan kepada pesakit. Rawatan dalam bentuk ini biasanya diberikan di hospital sahaja. Dos pula adalah bergantung kepada keperluan rawatan.

Keselamatan dan keberkesanan serta kesan sampingan yang mungkin dialami apabila mengambil activated charcoal

Bagi orang dewasa, activated charcoal adalah selamat jika diambil untuk tempoh yang singkat.

Pengambilan activated charcoal secara berterusan mungkin boleh menyebabkan sembelit, najis bertukar kepada warna hitam.
Kesan sampingan yang serius termasuklah usus tersumbat, muntah dan dehidrasi (kekurangan air).

PERHATIAN DAN AMARAN

Wanita mengandung dan menyusukan bayi

Wanita mengandung dan menyusukan anak perlu berhati-hati jika mengambil activated charcoal. Activated charcoal adalah selamat jika di ambil untuk tempoh masa yang singkat. Walau bagaimanapun, berbincanglah terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan pengambilan activated charcoal.

Masalah sistem penghadaman atau pergerakan makanan di dalam usus perlahan: Jangan ambil activated charcoal jika anda mengalami sebarang masalah dengan sistem penghadaman dan pencernaan.

Activated charcoal tidak boleh di ambil jika pesakit mengalami masalah pergerakan usus yang perlahan berbanding normal melainkan jika dinasihatkan oleh doktor.

Interaksi dengan ubat-ubatan dan makanan

Interaksi di antara ubat dan activated charcoal

  1. Jangan ambil activated charcoal bersama-sama dengan sirap ipecac (yang mungkin terkandung dalam sediaan ubat batuk). Activated charcoal akan menyebabkan keberkesanan sirap ipecac berkurang.
  2. Minuman beralkohol juga menyebabkan keberkesanan activated charcoal berkurang.
  3. Memandangkan activated charcoal bertindak menyerap bahan kimia termasuk ubat dan toksin, ini menyebabkan keberkesanan ubat-ubatan yang sekiranya diambil bersama-sama akan berkurangan. Bagi mengelakkan daripada keadaan ini berlaku, jarakkan pengambilan antara activated charcoal dan ubat-ubatan lain sekurang-kurangnya satu hingga dua jam.

Selain dari itu, activated charcoal juga bertindak ke atas ubat-ubatan seperti Acarbose, carbamazepine, digoxin, frusemide, olanzapine dan phenytoin. Activated charcoal bertindak mengurangkan kadar penyerapan ubat seterusnya menyebabkan ubat menjadi tidak berkesan. Oleh yang demikian, pengambilan activated charcoal pada waktu yang sama dengan ubat-ubatan lain perlu dielakkan.

Interaksi di antara makanan dan activated charcoal

Makanan seperti aiskrim, susu dan sorbet boleh mengurangkan keberkesanan aktiviti activated charcoal untuk menyerap bahan toksin.

Nasihat untuk Pengguna

Di Malaysia, activated charcoal boleh dibeli di kedai farmasi tanpa memerlukan preskripsi. Walau bagaimana pun, jika anda mengalami keracunan makanan, tertelan bahan kimia berbahaya atau pengambilan ubat berlebihan dos segera dapatkan nasihat perubatan dengan segera di hospital atau klinik.

Untuk sebarang kemusykilan berkaitan activated charcoal hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722(NPCC).

 

activated-charcoal

Gambar ihsan dari shuttershock.com

Rujukan

  1. Activated Charcoal retrieved on 27th April 2016 from http://www.webmd.com/vitamins-supplements/ingredientmono-269-activated%20charcoal.aspx?activeingredientid=269&
  2. Activated Charcoal retrieved on 27th April 2016 from http://www.mayoclinic.org/drugs-supplements/charcoal-activated-oral-route
  3. Activated Charcoal, MOH Drug Formulary
  4. Activated Charcoal retrieved on 27th April 2016 from http://www.emedicinehealth.com/activated_charcoal/page2_em.htm
Semakan Akhir : 24 Oktober 2016
Penulis/Penterjemah : Siti Nurul Fathihah bt. Baharuddin
Akreditor : Rozian bt. Abu Chik

Artikel Berkaitan

Panduan Kepada Penjaga (Pesakit Warga Emas)

Anak-anak mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kesihatan ibu bapa mereka terutamanya yang telah uzur dijaga dengan baik. Ibu bapa yang masih aktif dan mampu menguruskan diri, juga masih memerlukan bantuan untuk mengambil ubat-ubatan secara selamat dan betul.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,087,906

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia