A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Anti Hipertensif & Kehamilan

Anti Hipertensif & Kehamilan

Pengenalan

Risiko hipertensif semasa hamil

Hipertensif atau lebih mudah difahami dengan tekanan darah tinggi merupakan suatu penyakit yang biasa terjadi di kurun ke 20 ini. Hipertensif boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan jantina. Berdasarkan American Pregnancy Association, 6-8% kehamilan berisiko mendapat hipertensif.

Hipertensif semasa kehamilan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu

  1. hipertensif kronik
  2. ‘gestational hypertension’.

a)Hipertensif kronik terjadi kepada wanita yang menghidap penyakit darah tinggi sebelum mengandung atau dikenalpasti dengan hipertensif sebelum usia kandungan 20 minggu dan tekanan darah masih tinggi walaupun selepas 12 minggu bayi dilahirkan.

b)‘Gestational hypertension’ pula boleh terjadi kepada mana-mana wanita mengandung yang tidak mengalami masalah darah tinggi sebelum hamil. Ianya hanya dikenalpasti selepas 20 minggu usia kehamilan dan tekanan darah kembali normal selepas bayi dilahirkan.

Kedua-dua keadaan ini boleh mengakibatkan terjadinya pra-eklampsia yang mana tekanan darah menjadi terlalu tinggi dan penemuan protein di dalam urin. 2-6% wanita sihat yang hamil untuk pertama kali berisiko untuk mengalami keadaan ini.

Selain itu, pertumbuhan bayi akan terjejas dan menyebabkan kelahiran bayi di bawah paras berat normal. Hal ini terjadi apabila saluran darah yang membekalkan oksigen dan nutrien kepada bayi menyempit. Kelahiran pra-matang juga adalah tidak mustahil. Hipertensif juga boleh menyebabkan uri terpisah daripada rahim sebelum tiba waktu bersalin yang mana keadaan ini dikenali sebagai ‘placenta abruption’. Keadaan ini menyebabkan wanita tersebut mengalami pendarahan dalaman dan berisiko tinggi mengakibatkan kematian bayi dalam kandungan.

Sekiranya tekanan darah tidak dikawal dengan baik, wanita itu berkemungkinan untuk mengalami sawan yang disebabkan oleh pembengkakan otak. Selain itu, pendarahan dalam otak boleh terjadi dan menyebabkan strok. Organ lain yang turut terjejas akibat masalah ini adalah jantung, hati dan buah pinggang.

Jenis Ubat hipertensif yang sesuai dan selamat semasa hamil

Ubat yang biasa dipreskrip oleh doktor untuk rawatan hipertensif semasa hamil adalah methyldopa dan labetalol. Kedua-dua ubat ini telah dikaji dan didapati paling sesuai dan selamat digunakan semasa hamil berbanding ubat yang lain.

Methyldopa merupakan ubat terawal yang ditemui untuk rawatan tekanan darah tinggi. Ianya bertindak dengan mengembangkan salur darah dan membenarkan pengaliran darah yang lebih lancar dan menurunkan tekanan darah. Ubat ini boleh diambil sebelum atau selepas makan sebanyak tiga kali sehari.

Labetalol adalah pilihan kedua selepas Methyldopa. Ianya juga dimakan dua kali sehari.

Sekiranya tekanan darah masih tidak dapat dikawal dengan ubat-ubat ini walaupun dengan dos yang maksimum, doktor mungkin akan mempreskrip ubat biji nifedipine

Di samping itu, satu kajian mendapati pengambilan suplemen kalsium (1.5g sehari) dapat mengurangkan risiko eklampsia, ‘gestational hipertension’ dan juga insiden pra-eklampsia semasa hamil.

Risiko ubat hipertensif kepada kehamilan

Wanita yang menghidap hipertensif sebelum hamil sememangnya akan dipreskrip dengan ubat anti-hipertensif. Terdapat ubat yang tidak sesuai untuk diambil sepanjang tempoh kehamilan. Oleh itu, wanita tersebut perlu merancang kehamilan tersebut dengan sebaiknya dan dapatkan khidmat nasihat doktor dan ahli farmasi supaya ubat yang diambil adalah selamat.

Ubat anti-hipertensif dari kumpulan ACEi seperti perindopril dan enalapril boleh merencatkan pertumbuhan bayi dalam kandungan di samping menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggangnya. Gejala gangguan pernafasan juga boleh berlaku terhadap bayi tersebut. Di samping itu, tekanan darah bayi boleh menurun dan menyebabkan kematian bayi dalam rahim. Keadaan ini berlaku sekiranya ubat ini diambil ketika kandungan dalam trimester kedua dan ketiga. Ubat ini mungkin sesuai digunakan di peringkat awal kehamilan tetapi wanita hamil perlu diingatkan akan risiko-risiko yang mungkin dihadapi sebelum dan semasa tempoh kehamilan.

Ubat lain seperti atenolol boleh mengganggu pertumbuhan bayi, yang mana ianya berkait dengan tempoh terapi yang lama. Ubat ini hendaklah dielakkan walaupun di peringkat awal kehamilan.

Oleh itu, wanita yang sedang mengambil ubat anti-hipertensif tidak kira apa jenis sekali pun hendaklah merancang kehamilan dengan sebaik mungkin. Dapatkan khidmat nasihat doktor untuk mendapatkan regimen anti-hipertensif yang paling selamat dan sesuai untuk ibu dan juga bayi dalam kandungan.

Nasihat kepada wanita hamil

Semasa hamil, wanita akan merasa lebih kerap lapar dan keinginan untuk makan juga meningkat. Pada masa yang sama, nilai kalori yang diambil perlu setanding bagi menampung keperluan bayi dalam kandungan. Apa yang perlu dititikberatkan adalah mengurangkan garam,minyak dan gula dalam makanan yang diambil. Mereka disyorkan untuk melebihkan makanan yang berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Di samping mendatangkan rasa kenyang yang lebih lama, makanan ini juga lebih sihat dan berkhasiat.

Majoriti wanita mengandung akan mengalami pertambahan berat badan. Bagi wanita dengan berat badan normal sebelum mengandung, peningkatan kurang daripada 2kg sebulan untuk 3 bulan pertama adalah dianjurkan. Bagi bulan-bulan seterusnya hingga melahirkan anak, peningkatan berat yang disyorkan adalah 1.4-1.8kg sebulan. Penambahan berat badan yang mendadak dan tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti hipertensif dan kencing manis.

Selain itu, wanita hamil digalakkan untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Berbaring mengiring ke kiri adalah dianjurkan untuk menghindarkan tekanan daripada bayi ke atas salur darah utama ibu bagi melancarkan perjalanan darah di saluran tersebut.

Ubat anti-hipertensif perlu diambil mengikut waktu dan aturan yang betul seperti yang disarankan oleh doktor. Temujanji dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan sepanjang tempoh kehamilan perlu diikuti dengan teratur.   Hal ini adalah penting kerana doktor akan memeriksa tekanan darah dan juga melakukan ujian air kencing bagi memastikan keadaan hipertensif ibu adalah dalam keadaan terkawal. Di sini, disiplin adalah kunci utama supaya kesihatan ibu dan anak yang dikandung adalah di tahap yang optimum.

Rujukan

  1. CPG Management of Hypertension 4th Edition
  2. http://americanpregnancy.org/pregnancy-complications/high-blood-pressure-during-pregnancy/
  3. http://americanpregnancy.org/pregnancy-complications/pregnancy-induced-hypertension/
  4. http://darahtinggi1001.blogspot.com/2012_07_01_archive.html
  5. http://www.drugs.com/mtm/labetalol.html
  6. http://www.drugs.com/mtm/methyldopa.html
  7. http://www.hospitalwanitametro.com/GestationalHypertension.html
  8. http://www.mayoclinic.org/healthy-living/pregnancy-week-by-week/in-depth/pregnancy-weight-gain
  9. http://www.medscape.com/viewarticle/406535_6
  10. http://www.nhlbi.nih.gov/health/resources/heart/hbp-pregnancy

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,387,057

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia