5 Bahasa Cinta

“Suami saya tak macam suami orang lain. Selalu cakap “I Love You”. Suami saya tu tak romantik langsung. Pegang saya pun taknak! Suami saya mana nak tolong buat kerja rumah. Suami saya kadang-kadang ingat tarikh penting kami, kadang-kadang tak! Hadiah memang lagi la jarang nak beri. Suami saya asyik outstation je sampai tak ada masa pun dengan saya dan anak-anak.”
“Isteri saya manja sangat, susah nak jaga hati. Nak selalu dipegang disentuh, nak kena cakap “I Love You”, minta tolong buat kerja rumah la itu la ini la, nak terima hadiah selalu. Lepas itu nak kita selalu duduk dengan dia di rumah. Mana boleh! Kadang-kadang saya tak faham dengan isteri saya ni!”

Dalam hubungan cinta, apabila dua hati telah bertaut lalu mengambil keputusan untuk hidup sekali, maka ianya perlu dipastikan untuk kekal selamanya.

Dua senario di atas seringkali menjadi isu dalam perhubungan sepasang suami isteri. Puncanya cuma apa?? Kerana bahasa cinta setiap individu ini berbeza. Bersama pasangan sudah tentunya memerlukan bahasa cinta. Bersama anak-anak juga memerlukan bahasa cinta. Bersama ahli keluarga dan ipar duai juga memerlukan bahasa cinta.

Menurut Dr. Gary Chapman, terdapat lima bahasa cinta dalam diri setiap insan. Ianya adalah cara orang mengekspresikan perasaan cintanya pada orang lain, dan bila cara tersebut diaplikasikan kepada pasangan kita, maka pasangan kita akan rasa dirinya dicintai. Namun apa yang penting, kita perlu mengenali diri sendiri terlebih dahulu kerana setiap individu memiliki bahasa cintanya masing-masing. Sebenarnya, setiap individu mempunyai kelima-lima bahasa cinta ini tetapi silapnya tidak mengetahui bahasa cinta mana yang paling utama ditonjolkan dalam dirinya.

1. Bahasa cinta yang pertama adalah ‘word of affirmation’ iaitu kata-kata tegasan, penghargaan atau pujian yang dinanti-nantikan oleh pasangan anda atau sesiapa sahaja yang rapat dengan anda. Contohnya, “saya sayang kamu” “kamu sangat cantik di mata saya” “kamu nampak hebat hari ini!”adalah kata-kata yang sering diucapkan oleh seseorang yang memiliki bahasa cinta ini. Ini tidak bermaksud seseorang itu hidup dengan pujian semata-mata tetapi inilah bahasa cinta yang dia miliki dan ianya amat membahagiakan pasangannya yang juga mempunyai bahasa cinta sebegini. Perkataan yang dilontarkan mungkin kedengaran biasa, tetapi ia menjadi sebaris perkataan yang cukup bernilai dan dinanti-nantikan oleh seseorang yang jatuh cinta.

2. Bahasa cinta yang kedua ialah ‘quality time’. Individu yang memiliki bahasa cinta ini memerlukan 100% perhatian dan fokus anda ketika bersama mereka. No multitasking untuk mereka! Mereka tidak minta perkara lain kecuali hanya perlukan masa lapang anda untuk bersama mereka. Contohnya, anda sangat suka bermain futsal, lalu pasangan anda sudi menemankan anda bermain futsal dan memenuhi masa bersama, itulah yang dikatakan bahasa cinta kedua ini. Selain itu, contohnya juga apabila anda pulang dari kerja, anda dan pasangan meluangkan masa duduk bersama di sofa menonton televisyen dan mula berbual dan terus berbual antara satu sama lain. Jadi, adalah penting mengenali bahasa cinta pasangan kita agar dapat mengelakkan krisis hati akibat salah faham atau salah tafsir dalam mengenali bahasa cinta pasangan.

3. Bahasa cinta yang ketiga adalah ‘receiving gifts’ iaitu menerima hadiah atau sesuatu yang dianggap bernilai dan merasakan diri mereka dihargai oleh anda. Kebanyakan orang yang memiliki bahasa cinta ini bukanlah terlalu materialistik, tetapi itu adalah bahasa cinta dirinya. Dengan menerima hadiah daripada orang yang disayangi dan diharapkan, si dia akan merasa bahagia yang teramat sangat walaupun hadiah tersebut tidak mahal dan berjenama sekalipun. Contohnya, jika sahabat anda memberi anda beberapa biji gula-gula sebagai hadiah, itulah tandanya sahabat anda itu menyayangi anda kerana bahasa cintanya kepada anda ditonjolkan melalui pemberian gula-gula tersebut sebagai hadiah. Manakala jika bahasa cinta anda juga adalah ‘receiving gifts’, maka apa yang pasti, tindakan sahabat anda yang memberi gula-gula tadi pasti akan mampu membuatkan anda tersenyum lebar kerana rasa amat dihargai.

4. Bahasa cinta yang keempat adalah ‘act of service’ iaitu mempamerkan cinta melalui pertolongan dari segi kerja rumah, kerja urusan peribadi dan lain-lain. Pernahkah anda merasakan sangat berbesar hati, rasa dihargai dan begitu suka terhadap seseorang yang mahu membantu meringankan kerja anda seperti seterikakan baju anda, masak untuk anda, tolong buang sampah untuk anda tolong bayarkan bil untuk anda, atau ada yang menawarkan khidmat menjadi pemandu peribadi anda? Lebih-lebih lagi perbuatan itu diiringi dengan perkataan yang anda suka dengar dari pasangan seperti, “biarkan saya buat untuk awak’’. Individu yang memiliki bahasa cinta ini mungkin tidak romantik seperti kebanyakan pasangan harapkan, namun individu dari bahasa cinta ini merasakan mereka adalah individu yang menyayangi secara semulajadi kerana menawarkan bantuan kepada pasangannya. Contohnya, apabila si suami melihat pinggan mangkuk dalam sinki sudah bertimbun sedangkan si isteri masih belum selesai makan, lalu si suami mencuci pinggan mangkuk yang ada tanpa sebarang kata tetapi melaksanakan tugas itu dengan sempurna sehingga selesai. Itulah cinta! Pasangan yang mudah mencintai, gembira dan bersungguh-sungguh terhadap pasangannya adalah apabila perkara-perkara kecil yang dilakukannya dihargai.

5. Bahasa cinta yang kelima ini iaitu “physical touch” bukanlah sentuhan dari segi seksual tapi lebih kepada sentuhan kasih sayang. Perbuatan fizikal seperti pelukan mesra bagi beberapa saat dan berpegangan tangan mengalirkan emosi pasangan ke dalam hati masing-masing. Contohnya, anda berasa gembira dan tersentuh hati serta bahagia apabila seseorang yang anda sayang memeluk anda, menepuk belakang  anda atau berlaga pipi ketika bertemu dengan anda, jadi secara khususnya anda memiliki bahasa cinta kelima ini untuk menghangatkan rasa cinta anda samada dalam perhubungan suami isteri, mahupun rakan sejantina. Kajian menyebut bahawa sentuhan pasangan memberi cas-cas electron yang mengembalikan keseimbangan dan tenaga kepada manusia. Apabila kita mula banyak menghubungkan diri secara fizikal, kita dan pasangan akan mudah bertindak spontan bagi melakukannya lagi. Bahasa cinta yang difahami dengan jelas akan mampu mengurangkan salah tafsiran dan krisis dalam rumahtangga.

Kesimpulannya, bahasa cinta ini mungkin dilihat remeh. Realitinya bahasa cinta yang tidak diketahui umum ini akan banyak mengubah darjah kebahagiaan dalam sesebuah hubungan. Ini kerana bahasa cinta yang dipraktikkan secara tepat terhadap pasangan, malah sesiapa jua yang anda sayangi, ianya adalah amat mendamaikan dan memberi semangat dalam melalui kehidupan berkasih yang penuh bermakna. Sesungguhnya bahasa cinta yang dipelajari dan difahami mampu membuat sesiapa pun jua tertarik hati pada setiap hari dan setiap waktu.

 

        “CINTA ITU TIADA ALASAN SELAIN MENERIMA DAN TERIMA”

Rujukan

  1. Allan & Barbara Peace (2011). Why Men Don’t Listen and Women Can’t Read Maps (Edisi Bahasa Melayu). PTS Millenia Sdn. Bhd.
  2. Dr. Majdi Al-Hilali (2009). Cinta Ini Hanya Untukmu. Gazzamedia.
  3. http://mahatera.blogspot.com/2010/11/menuturkan-lima-bahasa-kasih-sayang.html”>http://mahatera.blogspot.com/2010/11/menuturkan-lima-bahasa-kasih-sayang.html
  4. http://studentkit2u.blogspot.com/2013/03/5-bahasa-cinta-yang-anda-mesti-tahu.html”>http://studentkit2u.blogspot.com/2013/03/5-bahasa-cinta-yang-anda-mesti-tahu.html
  5. Noor Laila Aniza Zakaria (2014). Cahaya Hati. Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
  6. Salahudin Abdul Razak & Rusydi Ramli Al-Jauhari (2011). Terapi Patah Hati. Must Read Sdn. Bhd.
  7. Zamri Mohamad (2007). Magnet Cinta- Membuat Sesiapa Pun Tertarik Hati Setiap Waktu. PTS Millenia Sdn. Bhd.
Semakan Akhir : 5 Januari 2017
Penulis / Penterjemah : Nurul Hidayah binti Mat Sarip
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod