A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bekerja Dengan Selamat Di Makmal Mikrobiologi

Pengenalan

Keselamatan merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh kakitangan yang bekerja di makmal. Semua kakitangan perlu memainkan peranan dalam aspek keselamatan agar dilindungi daripada perkara yang memudaratkan kesihatan. Oleh itu, satu polisi keselamatan dan kesihatan digubal untuk memastikan majikan dengan pekerja bekerjasama secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

Polisi Keselamatan dan Kesihatan

Polisi Keselamatan dan Kesihatan merupakan komitmen antara majikan terhadap pekerja tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Antara contoh kandungan Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur 2013 adalah seperti berikut:

  • Memastikan isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja menjadi salah satu keutamaan dalam aktiviti major jabatan.
  • Memastikan persekitaran tempat bekerja adalah selamat untuk semua pekerja.
  • Membangunkan dan menekankan amalan bekerja dengan selamat.
  • Menyediakan latihan keselamatan dan kesihatan yang mencukupi untuk semua pekerja.
  • Mengurangkan kemalangan semasa bekerja dan melaporkan semua insiden dengan segera kepada pegawai yang bertanggungjawab.

Semua pekerja di Makmal Mikrobiologi, perlu mematuhi dan bekerjasama dengan majikan agar matlamat polisi dapat dicapai untuk kebaikan bersama.

Peraturan Am dalam Keselamatan Makmal Mikrobiologi

Semasa berada di dalam makmal ada peraturan umum yang perlu dipatuhi :

  1. Memastikan alat perlindungan diri seperti sarung tangan, pakaian makmal, alat perlindungan pernafasan dan mata dipakai.
  2. Pemakaian kasut mestilah bertutup dan tidak bertumit tinggi.
  3. Tidak dibenarkan makan dan minum.
  4. Tidak dibenarkan pipet sebarang larutan menggunakan mulut.
  5. Mengenal pasti peralatan pencegah kebakaran dan laluan kecemasan.
  6. Membersihkan tempat bekerja setelah selesai menjalankan ujian makmal.
  7. Basuh tangan sebelum meninggalkan makmal.
  8. Mematikan semua suis peralatan elektrik yang tidak digunakan.
  9. Mengetahui cara pelupusan bahan yang tercemar dengan betul.
  10. Mengetahui cara pengendalian spesimen yang mengandungi bahan tercemar dengan jelas dan betul.
     
 a) Pemakaian baju makmal  b) Amalan mencuci tangan  c) Tidak dibenarkan pipet menggunakan mulut

Gambar 1: Peraturan Am Keselamatan di Makmal

Amalan Kebersihan di Makmal Mikrobiologi

Pekerja Makmal Mikrobiologi hendaklah mengamalkan kebersihan tempat bekerja bagi mengelakkan kontaminasi. Bagi menjaga kebersihan makmal, semua pekerja makmal perlu mengamalkan teknik aseptik sepanjang berkerja.

Apakah maksud Teknik Aseptik?

Teknik Aseptik adalah prosedur yang digunakan untuk mencegah kontaminasi terhadap objek, individu atau persekitaran oleh mikroorganisma.

Di dalam Makmal Mikrobiologi, antara amalan kebersihan dan teknik aspetik yang perlu dilakukan secara rutin adalah seperti berikut:

  • Membersihkan permukaan tempat bekerja menggunakan 70% alkohol atau 10% sodium hypochlorite sebelum dan selepas menjalankan kerja-kerja teknikal makmal.
  • Menggunakan peralatan yang steril atau sucihama bagi mengelakkan kontaminasi.
  • Menggunakan media yang diautoklaf dan dilabel tarikh luput.
  • Melabel semua bahan kimia dan reagen secara sistematik dan jelas.
  • Mengasingkan bahan tercemar ke dalam bekas yang ditetapkan.
  • Bahan tercemar perlu di autoklaf bagi membunuh kuman sebelum dilupuskan.

Senarai semak kebersihan (housekeeping) boleh juga dibuat untuk memantau keadaan di dalam makmal. Antara perkara yang terdapat di dalam senarai semak adalah seperti:

  • Adakah rak disusun dengan kemas?
  • Adakah kertas bersepah-sepah atau disusun kemas dan boleh dicapai?
  • Adakah peralatan disimpan di dalam tempat yang sesuai?

Kesimpulanya, amalan menjaga kebersihan persekitaran kerja yang bersih dan selamat perlu sentiasa dipraktikkan dan dijadikan amalan agar proses kerja berjalan lancar dan selamat.

Keselamatan dalam pengendalian peralatan Makmal Mikrobiologi

Terdapat pelbagai peralatan di makmal yang perlu dikendalikan dengan penuh waspada dan berhati-hati. Kakitangan perlu mendapat latihan sebelum mengendalikan peralatan di makmal. Semua peralatan juga perlu diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat dan berfungsi dengan baik. Semua peralatan di makmal hendaklah dikendalikan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan kemalangan semasa pengendalian peralatan makmal.

1.

Biosafety cabinet

:

Semua spesimen yang diterima di makmal dikategorikan sebagai biohazard. Spesimen mesti diproses di dalam Biosafety Cabinet bagi melindungi pekerja daripada jangkitan penyakit merbahaya.

Penggunaan Biosafety cabinet yang betul amat penting untuk memastikan aliran udara berjalan lancar dan berfungsi dengan baik. Antara amalan keselamatan yang perlu diaplikasikan adalah seperti berikut:

  • Memastikan susunan kerja yang dilakukan di dalam Biosafety cabinet adalah daripada kawasan yang bersih ke kawasan yang tercemar seperti gambar 2 dibawah.

Gambar 2: Susun atur kerja dari bersih (kiri) ke bahan tercemar (kanan)

  • Tidak meletakkan kertas atau sebarang material yang boleh menghalang aliran udara di dalam biosafety cabinet.
  • Permukaan dalam biosafety cabinet perlu dinyahkuman menggunakan 70% alcohol atau 10% sodium hyphochlorite dan dibilas dengan air bagi mengelakkan ia berkarat.
  • Semua aktiviti manipulasi organisma yang merbahaya perlu dijalankan di dalam biosafety cabinet bagi menyekat penyebaran patogen dan kontaminasi spesimen klinikal.

2.

Alat pengempar

 

Keseimbangan semasa menggunakan alat pengempar perlu dipastikan bagi mengelakkan kerosakan rotor pengempar. Selain itu, spesimen yang mengandungi patogen perlu ditutup dengan penutup supaya aerosol yang terhasil semasa rotor berputar tidak mencemari ruang alat pengempar.

3.

Autoklaf

 

Peralatan yang penting dalam proses mematikan rantaian agen penyebaran penyakit. Ia berfungsi dalam pensterilan media dan peralatan kaca makmal supaya semua peralatan dan media adalah selamat dan steril semasa menjalankan proses kerja di makmal mikrobiologi. Suhu dan tekanan udara yang tinggi digunakan semasa proses pensterilan. Oleh itu, pengendalian mesin autoklaf hendaklah dijalankan oleh pekerja terlatih dan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pengguna.

Pengurusan Sisa Klinikal dan Bahan Kimia

Sisa klinikal bermaksud bahan buangan yang mengandungi separuh atau sepenuhnya :

  • tisu,darah atau cecair badan manusia dan haiwan
  • dadah atau produk farmaseutikal
  • swabs atau dressings
  • jarum, syringe atau bahan tajam yang lain
  • sebarang bahan buangan daripada prosedur perubatan, kejururawatan, pergigian, veterinar, penyelidikan atau farmaseutikal, transfusi darah yang boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia atau haiwan.

Sisa klinikal ini hendaklah dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

  1. Bahan tajam seperti jarum, scalpel, dibuang ke dalam sharp bin (rujuk gambar 3).
  2. Semua bahan klinikal yang tercemar di buang ke dalam clinical waste bin (rujuk gambar 4).
  3. Bagi makmal mikrobiologi, semua media telah digunakan perlu dibuang dalam plastik autoklaf sebelum dibuang ke dalam clinical waste bin.
  4. Sisa klinikal yang perlu diautoklaf perlu diikat dengan cable tight atau autoclave tape (rujuk gambar 5).
     
 Gambar 3: Sharp bin  Gambar 4: Clinical waste bin  Gambar 5: Beg Autoklaf

Sisa bahan kimia tidak boleh dibuang terus ke dalam sinki dan tong sampah. Ia perlu diurus mengikut prosedur yang betul. Sisa bahan kimia dikelaskan seperti asid, halogen, bukan halogen, teroksida dan reaktif. Pengkelasan bahan kimia juga boleh dirujuk dalam dokumen pendaftaran bahan kimia tersebut atau lebih dikenali sebagai Material Safety Data Sheet.

Seterusnya, sisa bahan kimia hendaklah dimasukkan ke dalam bekas yang disediakan. Bekas tersebut tidak boleh diisi sehingga penuh. Bekas bahan kimia perlu dilabel dengan jelas. Sisa bahan kimia akan dikumpul ditempat pengumpulan khas sebelum dilupuskan.

Kebiasaannya, terdapat konsesi lain yang menguruskan proses pelupusan dan rawatan sisa bahan kimia. Kualiti Alam merupakan salah sebuah konsesi berdaftar yang menguruskan pelupusan bahan kimia secara berjadual. Sisa bahan kimia yang telah dikumpul akan dimasukkan ke dalam dram yang sesuai oleh pihak konsesi seterusnya dibawa ke pusat rawatan sisa bahan kimia untuk pelupusan.

Kesimpulannya, sisa bahan kimia dan klinikal perlu dilupuskan secara berkala bagi mengelakkan penyebaran agen penyakit dan pendedahan sisa bahan kimia yang tidak dikawal kepada kakitangan makmal. Ia perlu diurus dengan sistematik agar tidak mencemar persekitaran sekaligus menjamin keselamatan kakitangan yang bekerja di dalam makmal.

Audit Keselamatan

Audit keselamatan merupakan satu proses penilaian dalam aktiviti-aktiviti keselamatan dan kesihatan yang dijalankan dalam pengurusan keselamatan dalam sesebuah organisasi. Daripada laporan penilaian audit keselamatan, ia dapat menunjukkan kejayaan dan keberkesanan aktiviti keselamatan dan kesihatan yang dilaksanakan di makmal. Tujuan lain audit keselematan adalah untuk memastikan aktiviti yang dijalankan di makmal adalah selamat dan sihat. Kaedahnya dengan menghalang praktis yang tidak selamat dan pencemaran yang membawa kepada kemalangan dan kecederaan di dalam makmal

Data audit keselamatan ini meliputi pemerhatian fizikal persekitaran, pengurusan program keselamatan secara pentadbirannya dan sebagainya. Selesai proses pengauditan, laporan akan disediakan untuk makluman dan tindakan penambahbaikan pihak makmal.

Rujukan

  1. Biosafety in Microbiological and Biomedical Laboratories;U.S Department of Health and Human Services, Public Health Services, Centers for Disease Control and Prevention and National Institute of Health 4th edition; April 1999.
  2. Safety Audit / Inspection Manual; Publication of the American Society Committee on Chemical Safety; 2000.
  3. Laboratory Safety Manual, University of Florida; 2013.
  4. Laboratory Safety Guidance, Occupational Safety and Health Administration U.S Department; 2011.
  5. Laboratory Safety Manual, Pathology Department of Hospital Kuala Lumpur; 2013.
  6. http://www.initial.co.uk/clinical-waste;2015.
  7. https://www.utexas.edu/safety/ehs/biosafety/cabinets.html
  8. bodyhorrors.tumblr.com
  9. cnhsa.com
  10. health.net.pk
Semakan Akhir : 23 Ogos 2017
Penulis : Sofia Duratul Waheda binti Mohd Amin
Akreditor : Hasmah binti Mohamed Haris

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,188,501

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia