X-RAY DADA

Pengenalan

X-ray dada ialah pemeriksaan yang dilakukan ke atas dada pesakit untuk melihat organ-organ dalam bahagian dada seperti paru-paru, jantung, diafram, tulang rusuk  dan saluran darah utama.

Pemeriksaan X-ray dada biasanya akan dilakukan dengan posisis pesakit berdiri.  Pesakit akan diminta untuk menarik nafas dan menahan nafas seketika ketika pemeriksaan x-ray dijalankan.

 

chest_x-ray_1Gambar 1: Radiograf (gambar) X-ray dada

Tujuan Pemeriksaan

  • Doktor yang merawat akan memohon pemeriksaan X-ray dada ini jika pesakit mempunyai tanda-tanda atau gejala-gejala berikut:
  1. Batuk yang berpanjangan
  2. Sakit dada
  3. Kecederaan pada bahagian dada
  4. Batuk darah
  5. Sukar bernafas
  • Pemeriksaan X-ray dada juga akan dilakukan sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda penyakit T.B, kanser dan lain-lain penyakit paru-paru.

Persediaan Pemeriksaan

  • Tiada persediaan khas bagi pemeriksaan ini.
  • Rantai di leher dan benda lain yang berada di bahagian dada perlu ditanggalkan untuk mengelakkan benda tersebut melindung struktur dan organ pada radiograf (gambar X-ray).
  • Pesakit  perlu menanggalkan baju dan menukar kepada pakaian hospital yang disediakan.
  • Pemeriksaan X-ray akan dilakukan oleh Juru X-ray.
  • Jika anda seorang pesakit perempuan, tolong maklumkan kepada doktor dan Juru X-ray yang menjalankan pemeriksaan sekiranya anda mengandung.
  • Biasanya pemeriksaan X-ray ini akan ditangguhkan sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.

 

Semakan Akhir : 28 Februari 2014
Penulis : Barnabas Jampi Agan
Akreditor : Mohd Zin bin Yusof