Home > Laman Utama > Warga Emas dan Ubat

Warga Emas dan Ubat

Fungsi Hati dan Buah Pinggang

Semakin usia kita meningkat, kecekapan hati kita memecahkan ubat semakin berkurangan, begitu juga dengan kecekapan buah pinggang kita untuk mengkumuhkannya.

Ini bermakna bahawa bagi sesetengah jenis ubat, kemungkinan bagi seseorang mengalami kesan sampingan daripadanya walaupun pada dos yang biasa bagi orang dewasa mungkin lebih tinggi.

Untuk mengelakkan ini, doktor anda mungkin akan mempreskip ubat berkenaan bagi anda pada dos yang lebih rendah.

Otak dan Sistem Saraf

Dengan meningkatnya usia kita, otak dan sistem saraf menjadi lebih sensitif terhadap ubat-ubat tertentu.

Sebagai contoh, golongan tua lebih terdedah kepada kemungkinan mendapat kesan sampingan daripada ubat-ubat penahan sakit jenis opioid seperti morfin dan juga ubat tidur seperti diazepam.

Doktor anda mungkin mempreskrip ubat-ubat ini pada dos yang lebih rendah dan untuk jangkamasa yang singkat sahaja.

Semakin usia kita meningkat, kita mungkin menjadi lebih pelupa dan mempunyai masalah untuk mengingati kegunaan sesuatu jenis ubat, juga samada kita telah mengambilnya pada hari tersebut.

Terdapat berbagai cara yang boleh membantu. Ini termasuklah carta-carta peringatan pengambilan ubat dan kotak-kotak pil yang boleh diisi dengan kesemua jenis ubat untuk keperluan harian atau mingguan. Ahli farmasi atau pelawat kesihatan boleh membantu anda menguruskan ini.

Penglihatan

Kelemahan penglihatan boleh menimbulkan masalah sewaktu membaca tulisan kecil pada label dan lembaran maklumat yang dibekalkan bersama dengan ubat. Jika ini berlaku, mintalah daripada ahli farmasi anda lembaran maklumat serta label yang dicetak dengan tulisan yang lebih besar.

Tulang dan Sendi

Artritis merupakan masalah yang biasa di kalangan golongan berumur, dan ia boleh menimbulkan masalah terutamanya sewaktu mengambil ubat yang disimpan di dalam bekas yang sukar dibuka oleh kanak-kanak atau bekas ubat yang khas, contohnya botol ubat titis mata dan bekas ubat sedut.

Memandangkan tiada faedahnya ubat sekiranya ia tidak boleh diambil, ahli farmasi anda boleh membekalkannya di dalam bekas lain di atas permintaan anda. Beliau juga boleh memberikan peralatan yang tertentu untuk memudahkan penggunaan ubat-ubatan tersebut.

Walau bagaimanapun, anda haruslah ingat untuk menyimpan ubat-ubatan tersebut di dalam bekas-bekas biasa yang disimpan jauh dari kanak-kanak.

Pergerakan

Jika anda sukar untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan preskripsi atau ke farmasi untuk mendapatkan ubat, beritahu doktor atau ahli farmasi anda. Ahli keluarga atau rakan anda boleh mengambilnya bagi pihak anda.

They can also provide devices that allow easy administration of eye drop & inhaler.

Menelan

Ramai di kalangan warga tua yang menghadapi kesukaran untuk menelan ubat biji atau kapsul. Anda perlu mengambil ubat anda dengan air yang banyak.

Beritahu doktor atau ahli farmasi jika anda menghadapi kesukaran untuk menelan ubat, kerana terdapat banyak ubat dalam bentuk cecair atau mudah-terlarut yang lebih mudah ditelan.

Semakan Akhir : 14 Julai 2008
Penulis : Dr. Nour Hanah Othman
  : Hadijah bt. Mohd Taib
  : Rosidah bt. Din
  : Nor Eizlin bt. Mohd Helmi
  : Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin