A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Reproduktif
  6. /
  7. Varikosele Dan Infertiliti Lelaki

Varikosele Dan Infertiliti Lelaki

Pengenalan

Varikosele adalah pembengkakkan salur darah vena pada kulit kantung skrotum.Varikosele adalah sama seperti vena varikos (varicose vein) yang terjadi dibahagian kaki. Terdapat kira kira 15 peratus dari keseluruhan lelaki dan 40 peratus daripada lelaki yang mempunyai masalah ketidaksuburan menghidap varikosele.

Varikosele merupakan salah satu penyebab kurangnya jumlah pengeluaran sperma dan kualiti sperma berkurangan. Walau bagaimanapun tidak semua varikosele mempunyai kesan terhadap pengeluaran sperma. Varikosele boleh menyebabkan perkembangan testis tidak normal atau mengecut (atrofi).

1

Penyebab

Tiada faktor-faktor risiko yang diketahui boleh menyebabkan varikosele. Walau bagaimanapun seseorang yang berlebihan berat badan mungkin mempunyai risiko yang tinggi. Korda sperma membawa darah ke arah dan keluar dari testis. Penyebab sebenar kepada varikosele tidak diketahui. Walau bagaimanapun ramai pakar percaya ia disebabkan injap dalam salur darah vena tidak berfungsi dengan baik, boleh menyebabkan pengaliran darah kearah bertentangan. Ini menyebabkan salur darah vena membengkak. Varikosele boleh menyebabkan suhu di sekeliling atau dalam testis lebih tinggi, memberi kesan kepada pembentukan sperma, pergerakan atau motiliti dan fungsi sperma. Seterusnya boleh menyebabkan kecederaan kepada testis, akibatnya penurunan kepada kesuburan.

Varikosele sering terjadi semasa akil baligh. Varikosele biasanya terjadi di bahagian kiri, kemungkinan besar disebabkan kedudukan salur darah vena kiri testis (left testicular vein). Walau bagaimana pun, jika varikosele terjadi di satu testis, ia  memberi kesan kepada pengeluaran sperma kedua dua testis.

2

Gejala dan implikasi kepada fertiliti

Kebanyakan Varikosele tiada menunjukan gejala gejala. Jarang sekali ianya menyebabkan kesakitan. Kesakitan akibat varikosele mungkin:

  • Antara rasa sakit tajam dan rasa senak
  • Bertambah apabila berdiri atau melakukan pergerakan, terutamanya dalam jangkamasa yang lama
  • Lebih teruk pada lewat petang
  • Berkurangan apabila baring terlentang

Pada satu masa, varikosele mungkin membesar dan rasa gumpulan daripada satu testis atau bengkak di bahagian skrotum. Varikosele kerap dilihat seumpama “ kantung cacing” (bag of worm).

Varikosele boleh menyebabkan :

  • Pengecutan testis (atrofi) :

Keseluruhan testis mengandungi tubul yang mengeluarkan sperma. Apabila tercedera akibat varikosele, testis akan mengecut dan menjadi lembut. Bagaimana testis boleh menjadi kecut, masih tidak jelas, tetapi akibat daripada injap yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan darah berkumpul dalam salur vena. Ini menyebabkan peningkatan suhu dalam vena, seterusnya berlaku peningkatan tekanan dalam vena dan terdedah kepada bahan toksin dalam darah, ini menyebabkan kecederaan pada testis.

  • Infertiliti :

Varikosele boleh meningkatkan suhu dalam dan sekeliling testis menjadi sangat tinggi, ini memberi kesan kepada pembentukan sperma, pergerakan (motiliti) dan fungsi.

Diagnosis

Diagnosis biasanya dibuat selepas pemeriksaan fizikal oleh doktor. Pemeriksaan dilakukan pada ketika baring atau berdiri. Hal ini demikian kerana verikosele mungkin tidak boleh dilihat atau dirasa ketika baring. Jika varikosele agak kecil, doktor mungkin memeriksa secara berdiri dan menyuruh menarik nafas dan menahan nafas sementara, semasa nafas dilepaskan (Valsalva maneuver). Jika pemeriksaan fizikal masih tidak pasti, pemeriksaan ultrabunyi mungkin boleh dilakukan. Untuk kes tertentu, pemeriksaan radiologi (imaging) seterusnya mungkin diperlukan bagi memastikan penyebab lain varikosele , seperti tumor yang menekan vena spermatik.

Pembedahan dan Rawatan Varikosele

Varikosele mungkin tidak perlu dirawat. Walau bagaimanapun, jika varikosele menyebabkan kesakitan, testis menjadi atrofi , masalah ketidaksuburan atau untuk rawatan teknik reproduktif bantuan, pembedahan keatas varikosele mungkin perlu dilakukan.

Tujuan dilakukan pembedahan adalah untuk menutup terus vena yang terjejas bagi mengubah aliran darah ke vena yang normal. Bagi kes lelaki, rawatan pembedahan varikosele mungkin satu cara untuk rawatan infertiliti, dengan memperbaik kualiti sperma, jika sekiranya kaedah bayi tabung uji “in vitro fertilization (IVF)” perlu dilakukan.

Varikosele yang terjadi pada peringkat remaja biasanya menyebabkan pengeluaran sperma terjejas. Walaupun pada keseluruhannya kualiti sperma menurun, ramai lelaki yang mengalami varikosele mempunyai sperma yang mencukupi daripada segi kualiti bagi tujuan mendapat zuriat dikemudian hari.

Adalah jelas di mana keperluan pembedahan varikosele pada peringkat remaja, bila  testis menjadi atrofi secara mendadak, sakit atau keputusan analisis semen adalah abnormal. Pada keseluruhannya rawatan diberi untuk varikosele dapat meningkatkan kualiti sperma.  Walau bagaimanapun daripada kajian masih tidak jelas mengatakan varikosele yang tidak dirawat menyebabkan penurunan kualiti sperma secara mendadak seiring dengan perubahan masa.

Pembedahan varikosele mempunyai beberapa risiko, ini termasuk :

  • Pengumpulan air disekeliling testis (hydrosele)
  • Varikosele berulangan
  • Atrofi testis
  • Infeksi
  • Kecederaan pada arteri

Teknik pembedahan varikosele :

  1. Pembedahan terbuka
  2. Pembedahan ini dilakukan sebagai pesakit luar, dengan menggunakan pembiusan am atau lokal. Biasanya, pakar bedah akan mendapatkan vena di kawasan celah peha (inguinal atau subinguinal). Juga pembedahan boleh dilakukan dengan membuat turisan di bahagian abdomen atau di bawah kawasan inguinal. Vena yang menyebabkan varikosele dipastikan dan dipotong bagi mempastikan darah tidak mengalir ke varikosele.

    Teknik pembedahan varikosele terkini, dapat mengurangkan komplikasi selepas pembedahan. Satu daripada teknik terkini dengan menggunakan mikroskop surgikal, yang membolehkan pakar bedah  melihat dengan jelas kawasan pembedahan. Teknik yang lain adalah mengguna Ultrasound Doppler, dapat membantu melakukan prosedur ini.

    Pesakit boleh kembali kepada aktiviti biasa , yang tidak membebankan selepas dua hari pembedahan. Aktiviti yang lebih berat, contohnya aktivit senaman boleh dilakukan selepas dua minggu.
    Kesakitan daripada pembedahan, keseluruhannya adalah ringan, tetapi mungkin berterusan beberapa hari atau minggu. Doktor mungkin memberi ubat tahan sakit selepas pembedahan

    Doktor mungkin menasihatkan tidak melakukan hubungan seks untuk tempoh tertentu. Kualiti sperma kebiasaannya mengambil masa beberapa bulan untuk meningkat, ini boleh dilihat melalui analisis semen. Ini disebabkan sperma yang baru akan terbentuk selepas tiga bulan.

    Pembedahan cara terbuka mengguna mikroskop dan menerusi turisan subinguinal mempunyai peratus kejayaan lebih tinggi berbanding teknik yang lain.

  3. Pembedahan laparoskopi
  4. Pakar bedah akan membuat turisan kecil di bahagian abdomen dan memasukkan peralatan pembedahan laparoskopi yang kecil menerusi turisan yang dibuat untuk melihat dan melakukan pembedahan ke atas varikosele. Prosedur ini dilakukan dengan bius am.

  5. Percutaneous embolization”
  6. Prosedur ini dilakukan menggunakan bius setempat, sebagai pesakit luar. Pakar radiologi akan memasukan tiub ke dalam vena di celah peha melalui peralatan tertentu. Dengan melihat vena yang bengkak melalui monitor, doktor akan memasukkan cairan melalui tiub atau kateter, yang boleh menyebabkan parut dan seterusnya berlaku penyumbatan pada vena bahagian testis, pengaliran darah terhenti dan akhirnya varikosele dapat diperbaik. Prosedur ini tidak dilakukan dengan meluas berbanding dengan teknik pembedahan biasa.

    3

Rujukan

  1. ACOG Technical Bulletin. Male Infertility. 1990, 142 : 67-74.
  2. Tournaye, H. (2006). Evidence-based management of male subfertility. Current opinion in obstetrics and Gynaecology, 18: 253-259.
  3. Thomas, K., Wood, S., Lewis Jones, D.I., & Kingsland, C.F. (2003). Surgical options in the treatment of male infertility. Progress in Obstetrics and Gynaecology, 15: 345-360.
  4. Jarow, J.P. (2001). Effects of varicoles on male infertility. Human Reproduction Update, 7(1): 59-64.
  5. Kantartzi, P.D., Goulis, D., & Ipapadimas. (2007). Male Infertility and Varicole, Myths and Reality. HIPPOKRATIA, 11(3): 99-104.

 

Semakan Akhir : 15 Jun 2016
Penulis : Dr. Mohd Nasir Tak Abdullah
Akreditor : Dr. Wan Abu Bakar b. Yusof

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,343,936

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia