Home > Dewasa > Tanda & Gejala > Ulser Peptik

Ulser Peptik

PENGENALAN

Ulser peptik berlaku apabila terdapat luka di bahagian dinding perut dan bahagian permulaan usus kecil dikenali sebagai duodenum. Ulser peptik merupakan masalah yang kerap berlaku dalam masyarakat Malaysia dan juga diseluruh dunia. Kadang kala mereka yang mengalami masalah ini boleh mempunyai gejala-gejala yang serius dan jika tidak dirawat pada peringkat awal boleh menyebabkan masalah kesihatan yang kronik dan mendatangkan mudarat kepada kesihatan serta kualiti hidup pesakit turut menurun. Adalah sangat penting bagi mereka yang mengalami gejala-gejala ulser peptik mendapatkan rawatan awal dan betul daripada pakar-pakar dan pengamal perubatan yang diiktiraf.

Perut manusia mengeluarkan sejenis asid dikenali sebagai asid hidroklorik yang mampu menyebabkan hakisan pada dinding perut. Tetapi dinding perut mempunyai lapisan mukosa yang mampu menghalang daripada hakisan ini berlaku dalam keadaan biasa. Apabila berlaku gangguan terhadap lapisan mukosa ini akibat daripada dinding mukosa ini menjadi tipis ataupun berlaku perembesan asid secara berlebihan, ulser peptik boleh terbentuk.

GEJALA

Pesakit yang mengalami ulser peptik, kebiasaannya akan mengadu pedih atau sakit di kawasan hulu hati. Kadangkala ia akan menjadi lebih teruk jika perut kosong, tetapi boleh juga menjadi lebih teruk selepas mengambil makanan. Terdapat juga pesakit yang mengalami kesakitan di sebelah malam dan menyebabkan pesakit terpaksa bangun daripada tidur. Antara gejala lain ulser peptik adalah merasa kembung perut, loya dan juga muntah. Apabila berlaku pendarahan disebabkan ulser peptik pesakit boleh mengalami gejala yang lebih serius seperti muntah darah dan najis berwarna hitam. Apabila keadaan ini berlaku pesakit perlu mendapatkan rawatan segera  dan datang terus ke Jabatan Kecemasan kerana ia boleh mengancam nyawa pesakit.

PENYEBAB

Makanan berempah dan tekanan perasaan  sebenarnya tidak menyebabkan berlakunya ulser peptik. Ia cuma memburukkan gejala ulser peptik dan melambatkan proses penyembuhan. Salah satu penyebab ulser peptik sebenarnya adalah jangkitan kuman Helicobacter pylori yang menghakis dinding perut dan menyebabkan luka. Selain itu ulser peptik boleh disebabkan oleh ubat seperti ubat penahan kesakitan dan ubat mencairkan darah bagi pesakit jantung seperti aspirin. Tetapi bukan semua ubat penahan sakit akan menyebabkan ulser peptik. Ulser peptik juga boleh disebabkan oleh sindrom Zollinger-Ellison di mana berlaku perembesan asid di dalam perut secara berlebihan dan menyebabkan dinding usus mudah terhakis.

KOMPLIKASI

Komplikasi yang sangat dibimbangi bagi pesakit yang mengalami ulser peptik adalah pendarahan dalaman. Pendarahan dalaman ini boleh menjadi sangat serius dan memerlukan pemeriksaan endoskopik untuk merawatnya. Jika pendarahan tidak dapat dikawal secara endoskopik pesakit perlu menjalani rawatan seperti pembedahan untuk menghentikan pendarahan.

Pesakit yang mengalami ulser peptik yang kronik boleh mendedahkan mereka kepada risiko kanser perut di mana jangkitan Helicobacter pylori kerap menjadi penyebabnya.

Ulser peptik yang berlaku secara berulang-ulang boleh menyebabkan pesakit mengalami penyempitan pada saluran pemakanan dan menyebakan masalah penghadaman dan pesakit sering mengalami masalah muntah-muntah. Pada ketika sekarang masalah ini jarang berlaku kerana rawatan yang efektif  dapat diberikan kepada pesakit.

Selain itu ulser peptik boleh menyebabkan lubang pada dinding perut dan duodenum dan boleh menyebabkan  pesakit mengalami kesakitan diseluruh bahagian abdomen dan mengakibatkan jangkitan kuman yang serius yang turut memerlukan rawatan kecemasan.

RAWATAN

Rawatan bagi pesakit yang mengalami masalah ulser peptik tidak hanya tertumpu  kepada pengambilan ubat semata-mata, tetapi pendekatan secara menyeluruh adalah penting dalam memastikan kejayaan rawatan.

Pengambilan ubatan yang tepat mengikut nasihat doktor  adalah sangat penting dalam strategi   merawat masalah ulser peptik.  Ubatan yang digunakan untuk merawat  masalah ini boleh di bahagikan kepada beberapa kategori;

  1. Ubatan untuk meneutralkan asid di dalam perut
  2. Ubatan untuk mengurangkan perembesan asid di dalam perut.
  3. Ubatan untuk melindungi permukaan mukosa dinding perut
  4. Ubatan untuk menghalang perembesan asid di dalam perut dan mengalakkan proses penyembuhan ulser
  5. Ubatan antibiotik untuk menghapuskan kuman Helicobacter pylori yang merupakan punca utama ulser peptik

PENCEGAHAN

Pengambilan makanan yang betul dan juga  amalan gaya hidup yang sihat memainkan peranan yang penting  dalam mencegah masalah ulser peptik. Pesakit yang berisiko untuk mendapat ulser peptik perlu menghindari daripada menghisap rokok dan mengambil alkohol.

Memandangkan ulser peptik disebabkan oleh jangkitan Helicobacter pylori, ujian saringan bagi mengesan jangkitan ini boleh dilakukan melalui beberapa cara seperti ujian darah, ujian nafas, dan ujian najis. Bagi pesakit yang didapati  positif selepas melakukan ujian,  boleh mendapatkan rawatan eradikasi kuman ini.

Bagi pesakit yang perlu mengambil ubat penahan kesakitan bagi tempoh masa yang lama mereka boleh berbincang dengan doktor agar diberikan ubat penahan kesakitan yang tidak menyebabkan ulser peptik dan mengambil ubat penahan kesakitan apabila perlu  sahaja dan  tidak mengambilnya semasa perut kosong.

ISU PUASA

Adalah tidak menjadi halangan bagi seseorang yang telah didapati menghidapi masalah ulser peptik  untuk berpuasa kerana tidak semua gejala yang dialami pesakit berpunca daripada perut kosong dan tidak mengambil makanan dalam jangka masa yang lama. Semasa berpuasa rembesan  asid yang dikeluarkan oleh perut adalah menurun berbanding keadaan biasa kerana semasa seseorang itu berpuasa, perut adalah dalam keaadaan berehat.

Gejala–gejala yang dihadapi semasa berpuasa adalah lebih disebabkan oleh tabiat mengambil makanan yang tidak sihat terutamanya semasa berbuka puasa. Beberapa tips pemakanan yang baik jika diamalkan boleh mengurangkan gejala-gejala yang dialami semasa berpuasa.

Antara tips-tips yang boleh diamalkan adalah seperti:

  1. Melewatkan sahur dan berbuka puasa awal apabila masuk waktu berbuka  puasa. Selepas bersahur elakkan daripada tidur kerana ini mungkin akan menyebabkan refluks asid daripada bahagian perut ke esophagus dan menyebabkan seseorang itu mengalami kepedihan di hulu hati.
  2. Mengambil makanan dalam jumlah yang sederhana semasa berbuka. Adalah menjadi suatu amalan yang sangat baik apabila berbuka puasa dengan makanan yang mudah hadam dan dapat memberikan tenaga segera seperti kurma. Ia juga  dapat merangsang rembesan jus gaster dan menjadikan perut  lebih bersedia  untuk pengambilan makanan yang seterusnya.
  3. Mengelakkan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan teh.  Minuman seperti ini dapat meningkatkan sekresi asid di dalam perut dan menyebabkan  berlakunya gejala  ulser peptik.
  4. Mendapatkan rawatan awal untuk masalah ulser peptik sebelum tibanya bulan puasa dan mengambil rawatan eradikasi Helicobacter pylori sekiranya perlu.
  5. Mengelakkan mengambil makanan yang berempah, pedas dan berasid untuk mengurangkan iritasi pada dinding perut.
  6. Menghadkan pengambilan makanan yang kompleks  dan  mempunyai  kandungan lemak yang tinggi.

RUJUKAN

  1. Joo, T.H.(2010, Oktober 2010). Mengenali Ulser Peptik. Utusan Malaysia.
  2. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/007501.htm
  3. www.mayoclinic.org/diseases-conditions/peptic-ulcer/…/con-20028643
  4. www.nhs.uk/conditions/Peptic-ulcer/Pages/Introduction.aspx

 

Semakan Akhir : 10 Julai 2015
Penulis : Dr. Shamsul Anuar b. Asmee
Akreditor : Dr. Khairul Nizam b. Hassan