A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ulser Kornea

Kornea adalah lapisan jernih terluar bahagian hadapan mata yang berbentuk kubah dan membantu memfokus cahaya ke retina. Ulser kornea (keratitis) adalah radang kornea yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Penyakit ulser kornea ini adalah serius dan boleh menyebabkan hilang penglihatan. Jangkitan kuman boleh berlaku apabila kuman memasuki kornea melalui  luka atau kecederaan pada permukaan kornea. Jangkitan akan merebak ke dalam mata sehingga boleh menyebabkan hilang penglihatan yang kekal dan seterusnya kehilangan mata. Pada tahun 1996, kajiselidik mata kebangsaan mendapati ulser kornea adalah keempat penyebab kebutaan di Malaysia.1

Jenis

Jangkitan ulser kornea boleh dibahagikan mengikut punca kuman yang terlibat iaitu bakteria, kulat, virus dan protozoa. Jangkitan bakteria kebanyakannya disebabkan oleh Pseudomonas Aeruginosa, Staphylococcus, Streptococcus dan lain-lain. Jangkitan kulat pula kebanyakannya adalah dari kumpulan Fusarium, Aspergillous, Candida dan lain-lain. Jangkitan virus pada kornea majoritinya adalah disebabkan oleh virus Herpes Simplex. Jenis kuman protozoa yang seringkali menjangkiti kornea adalah spesis Acanthamoeba.

Faktor risiko

Penggunaan kanta sentuh memberi risiko yang tinggi untuk mendapat ulser kornea. Keadaan ini terjadi apabila luka kecil terbentuk di permukaan kornea jika arahan pemakaian dan penjagaan tidak dipatuhi dengan betul. Jangkitan bakteria Pseudomonas Aeruginosa, protozoa Acanthamoeba dan kulat adalah berkaitan dengan penggunaan kanta lekap ini.2

Selain daripada itu, faktor risiko yang boleh menyebabkan ulser kornea adalah kecederaan kornea akibat trauma atau kemasukan bendasing,seperti habuk daripada kelapa sawit atau dari ladang pertanian yang seringkali berkait dengan jangkitan kulat. Faktor risiko yang lain termasuklah penyakit kornea yang kronik seperti sindrom mata kering yang serius,  penyakit saraf kelopak mata dan penggunaan ubat mata steroid luar kawalan.

Tanda dan Gejala

Pesakit yang mendapat ulser kornea merasai sakit mata yang teruk, rasa berpasir, mata menjadi merah, berair, sensitif pada cahaya dan penglihatan menjadi kabur.

Tanda-tanda pada kornea bergantung kepada peringkat jangkitan ketika pesakit datang untuk mendapatkan rawatan. Secara keseluruhan, tanda ulser kornea ialah terdapatnya ulser berwarna putih di lapisan kornea. Setiap ulser kornea sama ada bakteria, kulat, virus dan protozoa mempunyai tanda klinikal yang berlainan. Walaubagaimanapun, ulser yang teruk akan menyebabkan pengumpulan nanah di ruang depan mata dan sekiranya lewat, jangkitan ini boleh menyebabkan lapisan kornea menjadi bocor.

Jangkitan ulser kornea Acanthamoeba Jangkitan ulser kornea bakteria

 

Jangkitan ulser kornea virus Jangkitan ulser kornea kulat

Siasatan

Apabila pesakit di diagnosakan menghidapi ulser kornea, doktor akan mengambil beberapa sampel untuk dihantar ke makmal. Sampel yang diambil termasuk swab konjuntiva, sedikit tisu kornea yang telah dijangkiti, kanta lekap, cecair dan bekasnya. Sampel ini akan di hantar ke makmal untuk mengenal pasti jenis kuman dan sensitiviti kuman terhadap rawatan ubat yang diberikan.

Rawatan

Pesakit ulser kornea akan dirawat bergantung kepada peringkat jangkitan dan jenis kuman yang terlibat mengikut tanda-tanda klinikal. Rawatan adalah terdiri daripada ubat titis mata, ubat sistemik (pil atau intravena) dan suntikan di konjuntiva atau kornea. Ubat-ubat ini  samada antibiotik, antikulat, antivirus atau anti protozoa. Rawatan akan dimulakan dengan segera dan intensif. Kebanyakan pesakit perlu dimasukkan ke wad untuk rawatan. Ulser kornea yang telah sembuh dengan rawatan perubatan akan meninggalkan kesan parut di kornea yang berwarna putih. Kesan parut ini adalah kekal dan penglihatan boleh terus keluar sekiranya lokasi ulser kornea berada di hadapan anak mata  iaitu di laluan penglihatan.

Selain daripada rawatan perubatan, rawatan pembedahan juga di lakukan bagi kes-kes ulser kornea yang teruk seperti kornea yang bocor dan jangkitan keseluruhan bola mata dan orbit. (Endophthalmitis, Panophthalmitis). Kornea yang bocor memerlukan pembedahan pemindahan kornea. Kebocoran yang kecil boleh dirawat dengan menampal kornea (Cornea Gluing).  Keadaan jangkitan yang sangat teruk melibatkan keseluruhan bola mata  dan orbit memerlukan pembedahan membuang keseluruhan isi mata. (Evisceration).

Ulser kornea sebelum dan selepas rawatan perubatan yang meninggalkan kesan parut kekal di kornea.

 

Ulser kornea yang teruk sebelum dan selepas pembedahan pemindahan kornea

Kesimpulan

Ulser kornea adalah penyakit kornea yang serius dan boleh menyebabkan kebutaan kekal. Penjagaan kornea adalah sangat penting untuk mengelakkan daripada jangkitan kuman. Rawatan awal adalah sangat mustahak dan pesakit perlu berjumpa pakar mata sekiranya mempunyai tanda-tanda awal ulser kornea.

Rujukan

  1. Zainal M, Ismail SM, Ropilah AR. et al. Prevalence of blindness and low vision in Malaysia population: results from National Eye Survey. Br J Ophthalmol, 1996; 86: 951-956.
  2. Goh PP, Shamala R, Chandamalar S, Tai XY;National Eye Database Study Group. Contact lens-related corneal ulcer: a two-year review. Med J Malaysia 2010;65:120-123.
  3. Krachmer, Jay H. Mannis, Mark J. Holland, Edward J.Book Title: Cornea Fundamentals, Diagnosis and Management. 3rd Edition 2011

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Rohanah bt. Alias
Akreditor : Dr. Shamala a/p Retnasabapathy
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,209,895

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia