Home > Dewasa > Ujian Makmal Biokimia > Ujian Kreatinin Klearans

Ujian Kreatinin Klearans

Definisi

Kreatinin adalah produk metabolik yang dihasilkan oleh kreatin dan phosphokreatin di otot dan penghasilannya setiap hari adalah konstan. Sedikit kreatinin dihasilkan dari makanan berasaskan daging yang diperolehi dari diet harian. Kreatinin akan dibawa melalui darah ke buah pinggang. Buah pinggang akan menuras kreatinin dan dibuang melalui air kencing.

Ujian kreatinin klearans mengukur jumlah kreatinin yang telah dikeluarkan dari darah ke dalam air kencing bagi tempoh 24 jam.

Kegunaan

Ujian kreatinin klearans digunakan untuk menganggarkan kadar penurasan glomerulus. Kadar penurasan glomerulus adalah ukuran untuk mengetahui kebolehan buah pinggang berfungsi, terutamanya unit penuras. Unit penuras ini dinamakan glomeruli.
Kreatinin dikeluarkan dari tubuh melalui buah pinggang. Sekiranya buang pinggang tidak berfungsi secara normal, kadar kreatinin dalam darah akan meningkat kerana kreatinin kurang dikeluarkan melalui air kencing.

Ujian yang dijalankan di makmal

Makmal akan mengukur isipadu air kencing 24 jam yang dikumpulkan, juga aras kreatinin dari sampel darah dan aras kreatinin dari sampel air kencing tersebut. Pengiraan akan dilakukan hasil dari keputusan yang diperolehi.

Kreatinin klearans dinyatakan dalam unit ml/min.

Pengiraan Kreatinin klearans
= Aras kreatinin dari air kencing x Isipadu air kencing 24 jam (ml)
Aras kreatinin dari darah x (24 jam x 60 minit)

Sampel diperlukan

Ujian ini memerlukan pengumpulan air kencing bagi tempoh 24 jam dan satu sampel darah yang diambil dalam tempoh pengumpulan air kencing.

Persediaan pesakit

1) Elakkan mengambil ubat-ubatan yang boleh mengganggu keputusan ujian. Ubatan yang boleh meningkatkan aras kreatinin dalam darah dan seterusnya menurunkan kadar kreatinin klearans termasuklah Cephalosporin, Aminoglycoside, Flucytosine, Cisplatin, Cimetidine dan Trimethoprim.
2) Jika boleh, ubatan perlu dihentikan pengambilannya terlebih dahulu.
3) Pastikan pesakit meminum air secukupnya sebelum pengumpulan air kencing dimulakan.
4) Disyorkan pengambilan diet bukan berasaskan daging.

Julat rujukan & interpretasi

Julat rujukan:
Kreatinin klearans dinyatakan dalam unit ml/min.

Julat rujukan: 72-156ml/min.
Julat rujukan mungkin berbeza sedikit antara lain-lain makmal yang menjalankan ujian.

Interpretasi:
Penyakit atau keadaan yang merosakkan glomeruli boleh menurunkan kemampuan buah pinggang untuk mengeluarkan kreatinin dan lain-lain bahan kumuhan dari dalam darah. Apabila ini berlaku, aras kreatinin dalam darah akan meningkat dan kadar kreatinin klearans akan menurun kerana kurangnya kreatinin yang boleh dikeluarkan dalam air kencing.

Kadar kreatinin klearans juga akan menurun apabila aliran darah ke buah pinggang semakin berkurang kerana penyakit kegagalan jantung, obstruction antara buah pinggang dan kegagalan buah pinggang akut atau kronik.

Kadar kreatinin klearans juga boleh meningkat semasa hamil, keadaan selepas bersukan dan pengambilan diet berasaskan daging, walaupun ujian ini tidak digunakan untuk memantau keadaan tersebut secara langsung.

Batasan/Had ujian

Semasa pengumpulan air kencing 24 jam boleh berlaku kesilapan, terutamanya terlupa masa mula dan akhir dan terlupa untuk memasukkan air kencing ke dalam bekas, yang menyebabkan terlebih isipadu atau terkurang isipadu.

Kegunaan Klinikal
Ujian kreatinin klearans digunakan untuk membantu mengesan dan mendiagnos ketidakfungsian buah pinggang dan atau kewujudan situasi penurunan aliran darah ke buah pinggang.
Bagi pesakit yang menghidapi penyakit buah pinggang kronik atau penyakit kegagalan jantung (yang menurunkan kadar pengaliran darah), ujian kreatinin klearans boleh membantu memantau perkembangan penyakit yang dihidapi dan menilai tahap keterukannya.
Ujian ini juga boleh membantu menentukan jika dan bila dialisis buah pinggang perlu dijalankan.

Rujukan

1) Chemical Pathology Discipline, National Pathology Services, MOH, Laboratory Investigation Guidelines For Chronic Kidney Disease And Utilisation of eGFR in Adults, October 2012, Percetakan Nasional Malaysia Berhad
2) http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/003611.htm
3) https://labtestsonline.org/analytes/creatinine-clearance/tab/test
4) Jacobs & Demott, Laboratory Test Handbook with Key Word Index, 5th Edition, 159-162
5) Pathology Service Handbook Hospital Kuala Lumpur, 2009, Percetakan Nasional Malaysia Berhad
6) William J Marshall, Clinical Chemistry Fifth Edition, 2005, Mosby, 63-66

Semakan Akhir : 31 Januari 2016
Penulis/Penterjemah : Norinsiah bt. Sami
Akreditor : Sabab bin Hashim
(Visited 319 times, 1 visits today)