A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Ujian denggi adalah ujian yang dilakukan bagi mengesahkan seseorang pesakit telah dijangkiti virus denggi yang menyebabkan demam denggi. Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam di Malaysia mahupun diseluruh dunia terutamanya dinegara-negara rantau tropika.

Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa virus denggi boleh dijangkiti denggi. Demam denggi terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

  1. Demam Denggi biasa
  2. Demam Denggi Berdarah atau Sindrom Renjatan Denggi

Bagaimana terjadinya demam denggi?

Vektor (pembawa) demam denggi adalah nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 – 12 hari selepas menghisap darah manusia yang dijangkiti (perumah). Virus ini akan berkembang biak didalam kelenjar air liur nyamuk dan kemudiannya dipindahkan kedalam tubuh manusia yang sihat semasa proses gigitan nyamuk. Nyamuk betina yang telah dijangkiti virus denggi juga boleh memindahkan virus tersebut ke dalam telur  seterusnya menjangkitkan anak nyamuk yang baru menetas.. Apabila berada didalam tubuh manusia, virus mengambil masa 3-7 hari untuk berkembang sebelum menunjukkan gejala demam denggi.

Apakah punca demam denggi?           

Penyakit demam denggi berpunca dari virus denggi. Virus denggi adalah dari famili Flaviviridae. Ia terdiri dari 4 serotype iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Kesemua serotype ini boleh menyebabkan Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah atau Sindrom Renjatan Denggi

Ujian Pengesanan di Makmal

Ujian-ujian makmal sangat membantu dalam diagnosis penyakit demam denggi. Pemeriksaan darah digunakan bagi tujuan ini. Ia juga dapat memantau perkembangan pesakit yang dirawat terutamanya penentuan Demam Denggi Berdarah dan Sindrom Renjatan Denggi.

Di kebanyakkan hospital kerajaan, ujian denggi dijalankan di beberapa makmal di Jabatan Patologi. Antara makmal yang terlibat iaitu Makmal Hematologi (Kajidarah), Makmal Biokimia dan Makmal Mikrobiologi.

Makmal Hematologi

Di Makmal Hematologi, spesimen darah diambil  bagi analisa ujian pembekuan darah (Coagulation test) dan kiraan darah penuh (Full Blood Count). Bagi pesakit Demam Denggi Berdarah, masa pendarahan dan pembekuan darah adalah tidak normal dan tahap fibrinogen dalam darah juga menurun. Bagi ujian Full Blood Count kiraan sel platlet yang rendah (trombositopenia) dan kepekatan hematokrit yang tinggi (hematoconcentration) menjadi petunjuk kepada Demam Denggi Berdarah dan Sindrom Renjatan Denggi.

Makmal Biokimia

Bagi pesakit Demam Denggi Berdarah, bacaan serum-aminotransferase dan urea darah akan meningkat manakala bacaan serum sodium dan albumin pula menurun. Pengukuran elektrolit di dalam darah membantu dalam pemantauan perawatan penyakit denggi.

Makmal Mikrobiologi

Ujian pengesanan antigen dan antibodi terhadap penyakit denggi dilakukan di Makmal Serologi. Terdapat 2 kaedah iaitu Ujian Rapid dan Enzyme-linked immunoassay (ELISA).

Ujian Rapid denggi merupakan kaedah paling cepat dan ringkas untuk mengesahkan diagnosis klinikal demam denggi. Walau bagaimanapun ia perlu disahkan dengan dengan ujian lanjutan ELISA.

Ujian pengesanan antigen NS1 didapati amat penting didalam fasa awal jangkitan denggi iaitu dapat dikesan seawal hari kedua sehingga hari ketujuh selepas jangkitan.

Ujian mengesan kehadiran antibodi pula mengesan antibodi IgM dan IgG di dalam darah pesakit.  Ujian denggi antibodi IgM adalah merupakan kaedah terbaik (gold standard) untuk menentukan fasa jangkitan primer dan membezakan antara jangkitan virus denggi dan flavivirus yang lain. Ujian denggi IgG pula digunakan dalam menentukan fasa jangkitan denggi sekunder yang lebih bahaya dan mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi. Antibodi IgM selalunya hadir selepas hari ke 5 bermulanya demam dan mungkin kekal selama 3 bulan. Antibodi IgG pula dapat dikesan lebih lambat daripada IgM pada JangkitanDenggi tetapi ia mungkin dikesan lebih awal daripada IgM dalam jangkitan Secondary Dengue.

image: showing comparison between primary and secondary infections

Pengasingan virus merupakan kaedah diagnosis yang paling boleh dipercayai. Walaubagaimana pun ujian ini hanya ditawarkan oleh makmal rujukan seperti di Institut Penyelidikan Perubatan.

Maklumat lanjut          

Sila rujuk ke Klinik-klinik Kesihatan dan Hospital berhampiran anda bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan ujian denggi.

Kesimpulan

Oleh kerana penularan wabak demam denggi adalah berkaitan dengan isu alam sekitar, maka pengetahuan mengenai kaedah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes sebagai pembawa virus denggi amat penting bagi menghalang wabak ini dari terus berleluasa Bersama kita menjayakan kempen Kementerian Kesihatan Malaysia “Jom Ganyang Aedes”.

Rujukan

  1. Dengue and Dengue Haemorrhagic Fever Fact Sheet, Center for Disease Control and Prevention, Puerto Rico
  2. Cheesebrough.M.,  Medical Laboratory Manual for Tropical Countries, Vol. II: Microbiology.Second edition.  English Language Book Society 2006.
  3. Clinical Practice Guidelines, Management of Dengue Infection in Adults, Ministry of Health Malaysia and Academy of Medicine of Malaysia.

 

Semakan Akhir : 13 Januari 2014
Penulis : Nur Azza Wasylla binti Omar
Akreditor : Juraimi bin Raihan

 

Artikel Berkaitan

Kurap

Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

Asma

Pengenalan Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,372,037

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia