Home > Ubat & Anda > Fakta Ubat > Ubat-Ubatan untuk Merawat Jangkitan Kutu Rambut

Ubat-Ubatan untuk Merawat Jangkitan Kutu Rambut

Pengenalan

  • Kutu adalah serangga parasit yang kecil, tanpa kepak yang menghisap darah.
  • Jangkitan kutu rambut adalah biasa. Kanak-kanak berusia 3-10 tahun di prasekolah atau pusat jagaan harian lebih terdedah kepada jangkitan ini. Ia mudah merebak, terutama di kalangan kanak-kanak sekolah, melalui sentuhan terus dan perkongsian barangan peribadi.
  • Kutu rambut akan mati jika terpisah dari kepala manusia selama lebih dari 2 hari.

Gejala & Tanda

  • Rasa gatal yang keterlaluan.
  • Kutu pada kulit kepala dan telur kutu pada pangkal rambut mudah dilihat pada bahagian tengkuk dan pada belakang telinga.
  • Ia dilihat sebagai benjolan kecil berwarna merah pada kulit kepala, leher dan bahu.

Langkah-langkah pengurusan kendiri

  • Jika kanak-kanak yang dijangkiti berusia kurang dari dua tahun, gunakan sikat untuk mengalihkan kutu dan telur kutu tetapi jangan gunakan ubat kutu.
  • Periksa semua ahli keluarga dan rawat mereka jika didapati terdapat kutu atau telur kutu.
  • Perapi rambut mungkin menutup atau melindungi kutu rambut, jadi perapi rambut tidak harus digunakan sebelum menyapu ubat pembasmi kutu.
  • Gunakan air panas untuk membasuh cadar dan pakaian yang telah digunakan oleh mereka yang dijangkiti kutu rambut sejak dua hari lepas.
  • Semua perkara yang tidak boleh dibasuh seperti permainan yang dibuat dari kain harus diisi dalam beg plastik selama dua minggu. Beg tersebut hanya boleh dibuka di luar rumah. Pilihan lain yang boleh dibuat ialah dengan melakukan cucian kering.
  • Sikat dan berus perlu dinyahkuman dalam air panas atau alkohol. Rendam selama lima minit atau lebih di dalam air yang betul-betul panas.
  • Lantai dan perabot, terutama sekali sofa dan kawasan yang kerap digunakan oleh kanak-kanak harus dibersihkan dengan pencuci hampagas. Beg hampagas harus dibuang serta-merta selepas itu.
  • Jika kutu didapati pada kanak-kanak yang bersekolah, maklumkan pada jururawat sekolah atau guru supaya kutu dapat dihalang daripada merebak. Kanak-kanak dinasihatkan supaya jangan berkongsi topi, sikat dan lain-lain barangan peribadi di sekolah.

Ubat merawat jangkitan kutu rambut adalah seperti :

  1. Gamma Benzene Hexachloride (Dalam larutan berminyak – Syampu Lindane)

Bagaimana menggunakannya?

    • Basuh rambut anda dengan syampu biasa sekurang-kurangnya satu jam sebelum menggunakan syampu lindane dan biarkan rambut kering.
    • Gunakan syampu lindane yang mencukupi untuk membasahi rambut dan seluruh kulit kepala.
    • Biarkan syampu lindane pada rambut selama 4 minit.
    • Selepas 4 minit, gunakan sedikit air suam untuk mengeluarkan buih syampu. Jangan gunakan air panas.
    • Kemudian basuh rambut dan kulit kepala dengan air suam untuk menghilangkan syampu lindane.
    • Keringkan rambut dengan tuala yang bersih.

Kontraindikasi

    • Wanita mengandung dan bayi pramatang
    • Wanita yang menyusukan anak
    • Pesakit yang mempunyai kurang berat badan
    • Pesakit hiperaktif pada ubat ini

Langkah berjaga-jaga

    • Penggunaan serentak Lindane dan krim pembasmi kutu yang lain
    • Elakkan sentuhan langsung dengan mata dan lapisan mukosa
    • Jangan sapu pada kulit yang terlelas
    • Jangan sapu losyen selepas mandi air panas yang bersabun

 

  1. Malathion

Bagaimana menggunakannya?

    • Basahkan rambut dan sapukan losyen ke atas rambut yang lembap..
    • Gosok dengan lembut sehingga kulit kepala berasa lembap.
    • Beri perhatian terhadap belakang kepala dan leher.
    • Biarkan selama 15 minit
    • Bilas dan gunakan sikat berjejari halus untuk membuang kutu dan telur kutu yang mati.
    • Jika perlu, ulang penggunaan ubat kali kedua selepas 7-9 hari. Penggunaan semula losyen dalam tempoh kurang 1 minggu atau penggunaan melebihi 3 minggu berturut-turut harus dielakkan.

Risiko kesan sistemik berkaitan dengan penggunaan malathion dijangka sangat rendah

Malathion mudah terbakar. Jauhkan dari sumber panas seperti pengering rambut, alat elektrik pengerinting rambut dan rokok.

Langkah berjaga-jaga

    • Penggunaan serentak Malathion dan krim pembasmi kutu yang lain
    • Elakkan sentuhan langsung dengan mata
    • Jangan sapu pada kulit yang terluka atau telah dijangkiti kuman
    • Rawatan perubatan diperlukan untuk kanak-kanak di bawah 6 bulan

Kontraindikasi

    • Pesakit hiperaktif pada ubat ini

Langkah-langkah Pencegahan

  • Ahli keluarga digalakkan supaya selalu memeriksa kanak-kanak secara berkala kerana jangkitan semula boleh berlaku.
  • Basuh pakaian, cadar, sikat dan berus untuk mengelakkan jangkitan semula.
  • Rawatan pencegahan menggunakan ubat pembasmi kutu adalah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan penyakit lain dan kegatalan yang berterusan.
  • Pendidikan kesihatan tentang kitaran hidup kutu, kebersihan diri dan perkara-perkara lain amat berguna
Semakan akhir : 20 April 2015
Penulis : Yam Chiew Fong
Penyemak : Nur Azibahwati bt. Aziz
Nor Aida bt . Sanusi