Home > Ubat & Anda > Lain-Lain > Ubat-Ubatan Tanpa Preskripsi

Ubat-Ubatan Tanpa Preskripsi

Apakah ubat-ubatan tanpa preskripsi (ubat am)?

Ubat-ubatan tanpa preskripsi (ubat am) adalah ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi bagi merawat gejala ringan seperti demam, hidung tersumbat dan batuk. Sesetengah ubat ini mengandungi bahan aktif yang tertakluk di bawah kawalan Akta Racun 1952 dan boleh diperoleh selepas konsultasi dengan ahli farmasi.

Apakah yang perlu saya lakukan sebelum membeli ubat tanpa preskripsi (ubat am)?

  1. Berbincang dengan ahli farmasi jika anda merancang untuk mengambil ubat tanpa preskripsi.
    • Dapatkan maklumat mengenai ubat sebanyak mungkin.
    • Tanya soalan berikut:
      • Nama ubat
      • Kegunaan ubat
      • Status pendaftaran ubat
      • Cara pengambilan ubat yang betul
      • Dosej yang perlu diambil
      • Kekerapan pengambilan atau menggunakan ubat dalam masa sehari
      • Tempoh ubat perlu diambil
      • Kesan sampingan ubat tersebut.
      • Tindakbalas ubat tersebut dengan ubat lain, makanan atau penyakit
      • Cara penyimpanan ubat yang betul
  2. Sentiasa baca dan patuhi arahan pada label ubat.
    Label ubat tanpa preskripsi akan memberikan maklumat yang anda perlukan bagi pengambilan ubat anda dengan cara yang betul dan memaklumkan kepada anda tentang:-

    • Bahan aktif dan tidak aktif (eksipien)
    • Kegunaan ubat tersebut
    • Interaksi atau kesan sampingan yang mungkin berlaku
    • Bagaimana dan bila (atau tidak) untuk mengambil ubat tersebut?
    • Amaran lain
  3. Pilih ubat OTC yang mempunyai bahan aktif yang diperlukan sahaja.
    Gunakan ubat yang merawat masalah atau gejala yang anda alami sahaja. Minta bantuan ahli farmasi anda. Jika anda mengambil lebih daripada satu jenis ubat, beri perhatian kepada bahan aktifnya, untuk mengelakkan pengambilan bahan aktif yang sama secara berlebihan.
  4. Periksa bungkusan dan tarikh luput untuk memastikan ubat tidak terjejas.
    Jangan beli ubat jika bungkusan telah rosak atau telah melepasi tarikh luputnya. Tarikh luput memaklumkan anda bahawa produk itu tidak berkesan lagi jika tarikh itu dilepasi.
  5. Beritahu doktor anda sekiranya anda mengambil ubat tanpa preskripsi dengan kerap.
    Kebanyakan ubat ubat tanpa preskripsi digunakan untuk jangka masa yang singkat sahaja.
  6. Hentikan penggunaan ubat tersebut sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang melampau.
    Jika anda mengesan sebarang kesan sampingan atau tindak balas yang luar biasa, laporkan pada ahli farmasi.

Contoh-contoh ubat tanpa preskripsi yang biasa digunakan.

Jenis persediaan Tindakan Kesan sampingan
Dekongestan
Cth: ephedrine, , Pseudoephedrin, Phenylephrine, xylometazoline
Melegakan hidung yang tersumbat; Terutama bagi kanak-kanak yang tidak dapat tidur, makan atau minum kerana hidung tersumbat. Ia bertindak menyempitkan salur darah, oleh itu meluaskan rongga hidung dan mengurangkan penghasilan ucus. Ubat titisan hidung atau jenis semburan mungkin akan mengakibatkan kesan yang berbalik semula;contohnya : kekerapan berlakunya hidung tersumbat jika ubat digunakan berterusan. Kegunaan maksimum ubat jenis ini ialah selama 7 hari.
Antihistamin
Cth:Dexchlorphenirame, Diphenhydramine, Prometazine, Triprolidine
Digunakan untuk alahan. Ianya bertindak mengeringkan cecair hidung dan melegakan kegatalan. Boleh mengakibatkan kanak-kanak mengantuk atau dalam sesetengah kes hiperaktif.
Ekspektoran
Cth:Ammonium klorida, Guaifenesin, Ipekakuana
Bahan ini terdapat di dalam ubat batuk sirap untuk mencairkan ucus yang pekat di dalam paru-paru dan ini memudahkan pengeluaran ucus semasa batuk. Kesan sampingan yang biasa berlaku ialah loya & muntah.
Supresan
Cth:Dextromethorphan
Bahan ini juga terdapat di dalam kandungan ubat batuk untuk melegakan batuk yang tidak berkahak & berulang-ulang. Ia mengurangkan batuk dengan cara menghalang saraf batuk di otak.
Antipiretik / Analgesia
Cth:Paracetamol, ibuprofen
Digunakan untuk mengurangkan demam
Untuk melegakan sakit-sakit dan lenguh otot.
Antasid
Cth:Magnesium trisilicate, sodium bicarbonate dan aluminuim hydroxide
Digunakan untuk melegakan sakit perut. Boleh menyebabkan sembelit atau cirit-birit.
Keberkesanan ubat berkurang jika diambil bersama susu.

 

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Dr. Nour Hanah Othman
Che Pun bt. Bujang
Kamariah Shamsinar bt. Kamarul Baharin
Nor Eizlin bt. Mohd Helmi
Hajidah bt. Mohd Taib
Nyaros bt. Abdullah
Rosidah bt. Din
Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin
Hazlin bt. Othman
Akreditor : Che Pun bt. Bujang
Penyemak : Norhayati bt. Musa

 

(Visited 558 times, 2 visits today)