A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Ubat-ubatan dalam rawatan arthritis

Ubat-ubatan dalam rawatan arthritis

Pengenalan

Arthritis merupakan sejenis keradangan pada sendi yang menyebabkan pesakit berasa sakit pada bahagian sendi, kurang fleksibel atau sukar untuk bergerak. Terdapat pelbagai jenis arthritis, antaranya adalah rheumatoid arthritis, osteoarthritis, septic arthritis, juvenile idiopathic arthritis, psoriatic arthritis, ankylosing spondylitis dan sebagainya.

Rawatan bagi penyakit arthritis mungkin berbeza bagi setiap pesakit bergantung kepada jenis serta tahap keseriusan arthritis yang dialami. Antara rawatan yang mungkin dicadangkan oleh doktor termasuklah perubahan gaya hidup seperti senaman yang bersesuaian atau pengawalan berat badan, pengambilan ubat-ubatan, fisioterapi, atau pembedahan bagi kes-kes yang serius.

Kegunaan Ubat Arthritis

Pelbagai jenis ubat boleh digunakan dalam rawatan arthritis dan ianya bergantung kepada jenis arthritis yang dialami. Secara umumnya, ubat-ubatan ini digunakan bertujuan untuk mengurangkan keradangan pada sendi dan seterusnya mengurangkan rasa sakit yang dialami oleh pesakit.

Jenis-Jenis Ubat Arthritis

Antara ubat-ubatan yang dicadangkan bagi rawatan arthritis adalah disenaraikan seperti berikut:

Kumpulan Ubat
Mekanisma Tindakan
Contoh Ubat
Analgesik (ubat tahan sakit) Melegakan kesakitan yang dialami oleh pesakit
  • Paracetamol
  • Tramadol
Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAID) Mengurangkan keradangan serta kesakitan pada sendi yang terlibat
  • Ibuprofen
  • Naproxen
Disease-modifying anti-rheumatic drug (DMARD) Mengurangkan tindakan autoimun oleh sistem imunisasi ke atas sendi dan mengelakkan kerosakan berterusan ke atas sendi (lazimnya digunakan dalam kes rheumatoid arthritis)
  • Methotrexate
  • Hydroxychloroquine
Kortikosteroid Mengurangkan keradangan pada sendi serta mengelakkan tindakan autoimun oleh sistem imunisasi badan
  • Prednisolone
  • Hydrocortisone

Kesan Sampingan Ubat Arthritis

Pengambilan ubat-ubatan bagi rawatan arthritis mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan sekiranya diambil secara berterusan dalam dos yang tinggi. Pesakit adalah dinasihatkan agar sebaiknya mengambil ubat-ubatan pada dos yang rendah serta dalam tempoh yang paling pendek untuk mengelakkan kesan sampingan ubat.

Contoh kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan pengambilan ubat NSAID adalah iritasi pada saluran gastrointestin dan seterusnya menyebabkan simptom seperti loya, muntah, cirit-birit, sakit perut, atau ketidakhadaman. Pengambilan ubat seperti kortikosteroid pula mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pertambahan berat badan atau mudah mendapat jangkitan bagi pesakit.

Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi dan maklumkan sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan agar rawatan yang paling sesuai boleh diberikan bagi mengawal penyakit yang dialami.

Arahan Khas Pengambilan Ubat

  • Ambil ubat NSAID bersama-sama makanan untuk mengelakkan iritasi pada perut atau saluran gastrointestin.
  • Jangan berhenti mengambil ubat kortikosteroid tanpa memaklumkan kepada doktor.
  • Baca label sebelum mengambil ubat dan hanya ambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor.

Tips Mengawal Kesakitan Akibat Arthritis

  • Lakukan senaman ringan yang melibatkan pergerakan sendi seperti berjalan, menari atau berenang.
  • Elakkan posisi atau postur badan yang boleh memberi tekanan kepada sendi yang sakit.
  • Amalkan gaya hidup sihat melalui diet yang seimbang serta senaman yang bersesuaian untuk mengelakkan berat badan berlebihan.
  • Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sekiranya sakit pada sendi tidak berkurangan walaupun selepas pengambilan ubat-ubatan agar alternatif ubat lain yang lebih sesuai dapat dicadangkan.

Rujukan

  1. Mayoclinic : Arthritis(http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/arthritis/basics/treatment)
  2. Micromedex
  3. MIMS Gateway Service Portal
  4. Veteran’s Medicines Advice and Therapeutics Education Services (MATES) oleh Department of Veterans’ Affairs, Australian Governement (Sept 2005)
  5. WebMD : Arthritis (http://www.webmd.com/arthritis/understanding-arthritis-treatment)
Semakan Akhir : 06 November 2014
Penulis : Hazlin bt. Othman
Akreditor : Munira bt. Muhammad

 

Artikel Berkaitan

Rosell

Pengenalan Sejak dari dulu lagi, tumbuh-tumbuhan telah digunakan secara meluas

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,231,355

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia