A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Ubat Kemoterapi

Ubat Kemoterapi

Kegunaan

Ubat kemoterapi atau agen antikanser adalah rawatan utama untuk penyakit kanser seperti leukemia, limfoma dan payu dara.

Ubat ini digunakan untuk merawat penyakit kanser, mengelak kanser daripada merebak, memperlahankan perkembangan kanser dan untuk membunuh sel kanser yang merebak ke bahagian badan yang lain. Kemoterapi boleh digunakan secara bersendirian bagi sesetengah jenis kanser atau secara kombinasi dengan rawatan lain seperti radioterapi dan pembedahan.

Cara ubat kemoterapi bertindak

Ubat kemoterapi adalah toksik kepada sel kanser. Ubat ini bertindak dengan cara menghalang sel kanser membahagi dan membiak.

Jenis ubat kemoterapi

Ubat kemoterapi boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan bergantung kepada faktor seperti cara ubat tersebut bertindak, struktur kimia ubat dan hubungkait dengan ubat lain. Ada ubat kemoterapi yang bertindak dalam pelbagai cara, maka ia termasuk dalam lebih daripada satu kumpulan.

1. Agen Pengalkilatan

Agen pengalkilatan bertindak dengan cara merosakan DNA sel kanser daripada terus merebak. Agen ini banyak digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser seperti leukemia, limfoma, penyakit Hodgkin’s, multiple myeloma, sarkoma, paru-paru, payu dara dan ovari.

Agen pengalkilatan boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu:

  • Nitrogen mustards: seperti mechlorethamine (nitrogen mustard), chlorambucil, cyclophosphamide, ifosfamide dan melphalan
  • Nitrosourea: streptozocin, carmustine dan lomustine
  • Alkyl sulfonates: busulfan
  • Triazines: dacarbazine dan temozolomide
  • Ethylenimines:thiotepa dan altretamine (hexamethylmelamine)

Kumpulan platinum (cisplatin, carboplatin dan oxaliplatin) juga kadang-kadang digolongkan dalam kumpulan agen pengalkilatan kerana mereka membunuh sel dengan cara yang sama.

2. Antimetabolit

Antimetabolit adalah tergolong dalam kumpulan ubat yang mengganggu perkembangan DNA dan RNA dengan cara menggantikan blok asal RNA dan DNA.

Ubat ini banyak digunakan untuk merawat penyakit leukemia, kanser payu dara, ovary, sistem usus dan juga kanser yang lain.

Contoh ubat kumpulan antimetabolit termasuk:

  • 5-fluorouracil
  • 6-mercaptopurine
  • Capecitabine
  • Cladribine
  • Clofarabine
  • Cytarabine
  • Fludarabine
  • Gemcitabine
  • Hydroxyurea
  • Methotrexate
  • Pemetrexed
  • Thioguanine

3. Anti-tumor kumpulan antibiotik

Antrasiklin

Antrasiklin adalah anti-tumor kumpulan antibiotik yang bertindak mengganggu enzim yang terlibat dalam replikasi DNA. Kumpulan ubat ini banyak digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser. Contoh kumpulan antrasiklin termasuk:

  • Daunorubicin
  • Doxorubicin
  • Epirubicin
  • Idarubicin

Anti-tumor kumpulan antibiotik yang lain

Anti-tumor antibiotik yang tidak termasuk dalam kumpulan antrasiklin ialah:

  • Actinomycin-D
  • Bleomycin
  • Mitomycin-C
  • Mitoxantrone

4. Perencat Topoisomerase

Ubat ini mengganggu enzim yang dipanggil topoisomerase, yang berfungsi untuk memisahkan rangkaian DNA yang menyebabkan ia boleh disalin. Ubat ini digunakan untuk merawat setengah jenis leukemia, paru-paru, ovari, sistem penghadaman dan kanser lain.

Contoh ubat perencat topoisomerase I termasuk Topotecan & Irinotecan.

Contoh ubat perencat topoisomerase II termasuk etoposide dan teniposide. Mitoxantrone juga bertindak merencat topoisomerase II.

5. Perencat Mitotik

Perencat mitotik adalah dihasilkan daripada tumbuhan alkaloid dan juga daripada terbitan bahan semulajadi yang lain. Ubat ini bertindak dengan menghalang pembahagian sel atau merencat enzim daripada menghasilkan protein untuk penghasilan semula sel.

Ubat ini digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser termasuk payu dara, paru-paru, myeloma, limfoma dan leukemia. Ubat ini berpotensi untuk menyebabkan kerosakan saraf periferi yang menghadkan penggunaan ubat ini.

Contoh perencat mitotik termasuk:

  • Taxanes: paclitaxel dan docetaxel
  • Vinka alkaloid: vinblastine, vincristine dan vinorelbine

6. Ubat kemoterapi yang lain

Terdapat juga ubat kemoterapi yang cara bertindak berbeza dan tidak tergolong dalam mana-mana kumpulan.

Contoh ubat adalah seperti L-asparaginase yang merupakan sejenis enzim.

7. Terapi hormon

Ubat dalam kategori ini adalah tergolong dalam hormon seks atau ubat seperti-hormon, yang mengubah tindakan atau penghasilan hormon perempuan dan lelaki. Rawatan hormon kanser tidak bertindak dengan cara yang sama dengan ubat kemoterapi, tetapi lebih kepada mengelakkan sel kanser menggunakan hormon untuk pertumbuhan atau mengelak hormon dihasilkan oleh badan.

Contoh termasuk:

  • Ubat hormon anti-estrogen: fulvestrant, tamoxifen, dan toremifene
  • Perencat Aromatase: anastrozole, exemestane dan letrozole
  • Progestin:megestrol acetate
  • Estrogen
  • Ubat hormon Anti-androgen: bicalutamide, flutamide dan nilutamde
  • Gonadotropin-releasing hormone (GnRH), juga dikenali luteinizing hormone-releasing hormone (LHRH) agonist atau analog: leuprolide dan goserelin

Cara Pemberian Ubat

Ubat kemoterapi perlu dimasukkan ke dalam darah supaya ia dapat sampai ke semua bahagian badan yang terdapat sel kanser.

Kemoterapi melalui intravena

Untuk memastikan ubat kemoterapi terus masuk ke dalam aliran darah, kebanyakan ubat kemoterapi diberikan secara suntikan terus ke dalam saluran darah.

Ubat kemoterapi diberikan secara makan

Sesetengah ubat kemoterapi makan boleh diambil dalam bentuk tablet atau cecair dan akan diserap oleh usus ke dalam darah.

Cara pemberian ubat kemoterapi yang lain

Ubat kemoterapi yang berada dalam darah kebiasaanya tidak sampai ke otak dan saraf tunjang.

Oleh itu, untuk rawatan bagi sesetengah kanser otak atau saraf tunjang, kemoterapi perlu disuntik terus ke bahagian yang hampir dengan otak dan saraf tunjang. Proses ini boleh dilakukan dengan menebuk tulang lumbar iaitu jarum akan dicucuk pada ruang bersebelahan pada bahagian bawah saraf tunjang.

Dalam keadaan tertentu, ubat kemoterapi juga boleh diberikan melalui suntikan intra-otot, ruang dalam paru-paru, dan juga terus ke bahagian kanser yang terlibat.

Kesan sampingan ubat kemoterapi

Ubat kemoterapi adalah sangat kuat dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. Ubat kemoterapi bertindak dengan cara membunuh sel kanser yang cepat membahagi termasuk sel normal. Walaupun ubat kemoterapi yang sama digunakan, setiap pesakit akan menerima kesan samping yang berbeza. Sesetengah pesakit akan mengalami kesan sampingan lebih teruk berbanding dengan pesakit lain yang menerima ubat kemoterapi yang sama.

Keletihan

Keletihan (penat) adalah kesan samping yang biasa. Pesakit akan merasakan keletihan yang berlebihan semasa menerima rawatan kemoterapi. Pesakit perlu mengurangkan aktiviti harian dan merancang rehat dan jika perlu melakukan senaman aktiviti yang ringan. Sesetengan pesakit akan mengalami keletihan yang melampau dan kadang-kadang perlu bergantung kepada orang lain untuk melakukan aktiviti harian.

Loya dan muntah

Adalah biasa untuk merasa loya dan muntah semasa dan selepas kitaran rawatan kemoterapi. Anda dinasihatkan minum air yang secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi. Menghisap kiub ais adalah petua untuk meningkatkan pengambilan air.

Kesan kepada sistem darah dan pertahanan badan

Ubat kemoterapi boleh memberikan kesan terhadap sumsum tulang. Sumsum tulang adalah tempat dimana sel darah merah, sel darah putih dan platelet dihasilkan. Masalah yang mungkin berlaku termasuk:

  • Anemia – Ini bermaksud aras sel darah merah yang rendah. Jika mengalami masalah anemia, pesakit akan berasa penat dan kelihatan pucat.
  • Jangkitan yang teruk – Pesakit akan terdedah kepada risiko mendapat jangkitan jika bilangan sel darah putih adalah rendah. Ini adalah kerana pesakit tersebut tidak dapat melawan jangkitan daripada bakteria, virus dan kuman.
  • Masalah pendarahan – Platelet membantu proses pembekuan darah jika terluka. Jika bilangan platelet rendah, pesakit akan mudah mengalami lebam dan pendarahan yang lama daripada biasa selepas luka.

Masalah mulut

Sel-sel yang melapisi bahagian mulut terdedah kepada kesan kemoterapi. Ini boleh menyebabkan sakit mulut, kering dan ulser (mukositis). Penjagaan mulut yang baik akan dapat mengelak masalah mulut menjadi lebih teruk.

Keguguran rambut

Sesetengah ubat kemoterapi merosakkan sel yang menghasilkan rambut. Kesemua atau sebahagian rambut akan gugur. Masalah ini boleh berlaku 2 hingga 3 minggu selepas rawatan kemoterapi bermula. Bulu pada badan dan mata juga mungkin akan mengalami keguguran. Setelah rawatan selesai, rambut akan tumbuh semula dalam jangkamasa 4 hingga 12 bulan.

Sembelit

Masalah sembelit boleh diatasi dengan mengambil makanan yang kaya serat dan meminum air yang secukupnya. Julap akan digunakan dalam kes sembelit yang teruk.

Cirit-birit

Ini adalah salah satu kesan sampingan ubat kemoterapi. Pesakit dinasihatkan supaya meminum air yang secukupnya jika mengalami masalah cirit-birit. Jika masalah berterusan atau semakin teruk, pesakit hendaklah memaklumkan kepada doktor.

Sekiranya pesakit mengalami masalah cirit-birit yang berterusan perlu dimasukkan ke hospital untuk pemberian cecair melalui intravena.

Nerve problems

Some chemotherapy can affect nerves. This may lead to a lack of sensation in parts of the body such as the fingers or toes, pins and needles or weakness of muscles. Tell a doctor if any of these symptoms occur.

Masalah saraf

Sesetengah kemoterapi boleh menjejaskan saraf. Ini boleh menyebabkan pengurangan deria rasa pada bahagian tertentu badan seperti jari tangan dan kaki atau kelemahan otot. Pesakit dinasihatkan supaya memaklumkan kepada doktor sekiranya masalah ini berlaku.

Kesuburan

Sebahagian ubat kemoterapi boleh mengganggu kesuburan lelaki dan wanita. Keadaan ini mungkin berlaku secara sementara atau kekal. Sesetengah wanita akan mengalami putus haid lebih awal sekiranya menerima rawatan kemoterapi.

Kehamilan dan pencegahan

Walaupun sesetengah ubat kemoterapi boleh mengurangkan kesuburan, kehamilan masih boleh berlaku sekiranya aktif secara seksual. Walaubagaimanapun, ubat kemoterapi boleh merosakkan sperma, ovum dan janin. Oleh itu, pesakit wanita adalah tidak dibenarkan hamil sekiranya menerima rawatan kemoterapi atau sekiranya pasangan lelaki yang menerima rawatan kemoterapi. Jika pesakit masih aktif secara seksual, adalah digalakkan mengambil langkah pencegah yang sesuai.

Sebelum memulakan rawatan kemoterapi

Bergantung kepada jenis ubat kemoterapi yang diterima, pesakit perlu membuat pemeriksaan darah awal untuk memastikan fungsi hati, buah pinggang, jantung dan paru-paru adalah normal. Ujian-ujian ini akan diulangi semasa rawatan sedang dijalankan untuk memastikan organ tersebut berfungsi dengan baik.

Rujukan

  1. Children with Cancer; A Parent’s Guide- National Cancer Society Malaysia
  2. Standford Cancer Center: Understanding Cancer & Treatment.
  3. Handbook of Cancer Chemotherapy. 5th Edition. Lippincott William & Wilkins.
Semakan Akhir : 17 Julai 2014
Penulis : Rizal Husaini bin Razali
Akreditor : Kamarun Neasa Begum bt. Mohd Kassim

 

Artikel Berkaitan

O

  Obesiti Meningkatkan Risiko Otak & Saraf Otot-otot dibahagian Kepala

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,330,497

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia