Home > Ubat & Anda > Penggunaan Ubat > Ubat dan Asma

Ubat dan Asma

Bagaimanakah penyakit asma dirawat?

Secara umumnya, matlamat rawatan asma adalah untuk mengawal penyakit tersebut atau mengurangkan kekerapan serangan asma.

Kawalan penyakit asma yang baik akan membantu untuk:

  • Mengelakkan simptom asma yang menggangu kehidupan secara berterusan, seperti batuk dan sesak nafas.
  • Mengurangkan keperluan untuk mengambil ubat.
  • Mengekalkan fungsi paru-paru.
  • Menjalankan aktiviti harian serta mendapat tidur yang mencukupi.
  • Mengurangkan kemasukan ke jabatan kecemasan atau hospital yang disebabkan oleh serangan asma yang kerap berlaku.

Anda disarankan untuk berbincang dengan doktor berkenaan cara terbaik bagi mengawal asma yang dialami oleh anda atau anak anda. Kanak-kanak juga boleh terlibat secara aktif dalam mengawal asma yang dialami. Cara terbaik untuk mengawal asma yang baik adalah dengan menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan penyakit asma dan cara-cara untuk menambah baik keadaan ini.

Penglibatan aktif dalam rawatan asma bermaksud :

  • Memberi kerjasama kepada doktor anda dalam merawat sebarang penyakit lain yang boleh mengganggu rawatan asma.
  • Mengelakkan sebarang pendedahan kepada faktor yang boleh menyebabkan cetusan serangan asma.
  • Faktor ini tidak seharusnya mengganggu aktiviti fizikal kerana ini adalah penting dalam membentuk cara hidup yang sihat.
  • Patuhi pelan tindakan rawatan asma seperti yang telah dipersetujui oleh anda dan doktor anda.

Pelan rawatan asma menerangkan arahan yang jelas berkenaan cara pengambilan ubat yang betul, cara memantau pengawalan penyakit asma serta tindakan yang perlu diambil apabila rawatan kecemasan diperlukan.

Rawatan asma memberi fokus kepada :

  • Pengenduran tisu otot pada saluran pernafasan
  • Keradangan pada saluran pernafasan dengan merawat serta mengelakkan serangan asma pada masa akan datang.

Terdapat dua jenis ubat-ubatan asma, iaitu yang bertujuan untuk melegakan dan mengawal/mengelakkan serangan asma.

Ubat yang melegakan asma perlu diambil dalam kes serangan asma secara akut. Ia dapat membantu dalam mengatasi simptom asma yang berlaku secara tiba-tiba. Sebaliknya, ubat untuk mengawal asma boleh mengelakkan serangan asma daripada berlaku pada masa akan datang.

Rawatan akan ditentukan oleh tahap keseriusan keadaan asma yang dialami.

Tahap keseriusan asma mungkin berbeza dari semasa ke semasa. Ia juga bergantung kepada faktor persekitaran. Sebagai contoh, berada di sekolah, pejabat atau rumah boleh mengubah cara kawalan asma. Ini adalah kerana terdapat kebarangkalian berlakunya pendedahan kepada pencetus asma seperti debunga atau habuk. Perubahan pada ubat asma akan dilakukan oleh doktor, contohnya dengan menambahkan dos atau bilangan ubat bergantung kepada kawalan penyakit. Sebaliknya, sekiranya penyakit asma boleh dikawal untuk jangka masa tertentu, dos atau bilangan ubat mungkin dikurangkan bergantung kepada keperluan.

Rawatan asma juga boleh disesuaikan untuk kumpulan pesakit tertentu seperti wanita hamil, kanak-kanak dan warga emas.

Kepatuhan kepada Pelan Rawatan Asma

Doktor lazimnya akan mencadangkan pelan rawatan asma. Pelan tersebut akan membantu anda untuk merancang aktivti harian dan rawatan. Ia memberi arahan untuk kekerapan mengambil ubat. Pelan tersebut juga turut menerangkan bagaimana untuk menangani serangan asma secara tiba-tiba yang mungkin memerlukan rawatan kecemasan.

Mengelakkan Cetusan Asma

Terdapat pelbagai perkara yang boleh mencetus asma. Perkara ini dikenali sebagai pencetus asma. Pencetus asma boleh menyebabkan simptom asma menjadi semakin teruk dan membawa kepada serangan asma. Anda boleh memahami berkenaan perkara ini melalui perbincangan lanjut bersama-sama doktor anda.

Sebagai contoh, pendedahan kepada habuk atau haiwan berbulu boleh menyebabkan asma menjadi semakin teruk. Sekiranya keadaan ini berlaku, elakkan daripada menggunakan hamparan yang boleh mengumpul habuk di rumah atau letakkan haiwan berbulu di luar rumah atau bilik.

Salah satu pencetus asma yang tidak seharusnya dielakkan adalah aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal adalah penting untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat. Berbincanglah dengan doktor berkenaan ubat-ubatan yang boleh membantu anda kekal aktif.

Beberapa keadaan kesihatan boleh membuat asma sukar untuk dikawal. Keadaan ini termasuklah hidung berair, jangkitan sinus, penyakit refluks dan stress fisiologi. Doktor anda akan merawat keadaan ini seiring dengan asma yang dihadapi.

Ubat-Ubatan Untuk Asma

Preskripsi untuk ubat-ubatan asma akan dipertimbangkan oleh doktor selepas penilaian secara menyeluruh dijalankan. Perkara ini turut mengambil kira ubat-ubatan yang terbaik bagi mengawal asma tersebut. Oleh yang demikian, ubat-ubatan tersebut akan disesuaikan dengan keperluan pesakit. Terdapat pelbagai bentuk ubat asma yang boleh diambil sama ada secara oral atau menggunakan alat sedut. Ubat yang paling lazim digunakan adalah ubat sedut (inhaler) yang terdapat dalam pelbagai jenis. Inhaler membantu untuk menyampaikan ubat terus kepada paru-paru.

Rujuk kepada video teknik penggunaan inhaleruntuk maklumat lanjut berkaitan cara penggunaan inhaler.

Ubat Untuk Melegakan Serangan Asma

Semua individu yang mengalami serangan asma memerlukan ubat yang melegakan simptom asma yang mungkin boleh menjadi semakin serius. Ubat sedut beta2-agonist yang bertindak pantas merupakan pilihan pertama untuk kelegaan yang cepat.

Ubat-ubatan ini bertindak pantas untuk mengendurkan otot di sekeliling saluran pernafasan apabila anda mengalami serangan asma. Keadaan ini membenarkan laluan pernafasan dibuka supaya pengaliran udara lebih lancar.

Sentiasa bawa ubat untuk kelegaan apabila mengesan simptom asma yang mungkin berlaku. Ubat pelega perlu sentiasa ada bersama-sama anda sekiranya anda memerlukannya pada bila-bila masa.

Kanak-kanak atau penjaga perlu mengambil tahu berkenaan masa dan cara penggunaan ubat-ubatan ini dan bila untuk mendapatkan rawatan doktor untuk anak anda. Ubat untuk melegakan serangan asma adalah tidak sama dengan ubat untuk mengelakkan serangan asma. Ubat pelega hanya diambil semasa serangan asma berlaku. Walau bagaimanapun, ubat untuk mengelakkan serangan asma juga perlu diambil semasa serangan asma.

Beta2-agonist yang bertindak pantas lazimnya digunakan sebagai penyelamat. Ubat sedut ini bertindak dengan cepat untuk melegakan saluran pernafasan. Kesan ini boleh bertahan selama beberapa jam. Salbutamol adalah ubat beta2-agonist yang paling kerap digunakan dalam melegakan serangan asma.

Antikolinergik juga boleh memberi faedah sebagai ubat pelega semasa serangan asma. Ubat sedut antikolinergik mempunyai tindakan yang hampir sama seperti beta2-agonist. Walau bagaimanapun, ubat ini memberi kesan yang lebih lama. Ubat antikolinergik selalunya digunakan bersama-sama ubat beta2-agonist untuk menghasilkan kesan berganda yang tidak mampu dicapai dengan penggunaan salah satu ubat sahaja. Ipratropium bromide adalah contoh ubat sedut antikolinergik yang digunakan untuk melegakan serangan asma.

Ubat Untuk Mengawal Atau Mengelakkan Serangan Asma

Kebanyakan orang yang mempunyai penyakit asma akan dipreskripsikan dengan ubat yang mengelakkan simptom. Ubat-ubatan yang terbaik untuk jangka masa yang lama akan mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan. Perkara ini boleh mengelakkan daripada simptom menjadi semakin buruk. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini hanya boleh mengelakkan serangan asma tetapi tidak akan memberi kelegaan daripada simptom-simptom asma.

Ubat sedut kortikosteroid

Ubat sedut kortikosteroid adalah ubat yang digemari untuk pengawalan asma dalam jangka masa yang lama. Ia berkesan dalam memberikan kelegaan jangka masa lama bagi simptom-simptom asma. Ia dapat membantu dalam mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan. Contoh ubat sedut kortikosteroid adalah budesonide,beclomethasone,fluticasone propionate dan sebagainya.

Kekerapan serangan asma juga boleh diminimakan dengan mengurangkan keradangan. Ubat sedut kortikosteroid secara amnya adalah selamat apabila diambil mengikut arahan doktor dan ahli farmasi. Ubat sedut kortikosteroid mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan. Walau bagaimanapun, faedah menggunakan ubat sedut kortikosteroid dalam mengurangkan kekerapan serangan asma adalah lebih hebat berbanding dengan risiko kesan sampingannya.

Salah satu kesan sampingan yang lazim dialami oleh pesakit adalah jangkitan kulat pada bahagian dalam mulut yang dikenali sebagai keputihan dalam mulut (oral thrush). Keputihan dalam mulut boleh dielakkan dengan berkumur atau membilas mulut selepas menggunakan ubat sedut kortikosteroid. Spacer atau aerochamber juga boleh digunakan bersama-sama inhaler dalam mengelakkan keputihan dalam mulut. Penggunaan kortikosteroid dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan osteoporosis. Osteoporosis adalah keadaan yang mana tulang menjadi rapuh dan mudah retak. Namun begitu, lazimnya doktor akan menasihatkan pesakit untuk mengambil vitamin D dan pil kalsium untuk mengelakkan keadaan tersebut daripada berlaku.

Ubat-ubatan lain untuk mengawal asma dalam jangka masa yang lama

Ubat untuk mengawal asma dalam jangka masa yang lama termasuklah:

Leukotriene modifiers: boleh diperoleh dalam bentuk ubat oral (tablet dan serbuk). Ia mengurangkan keradangan dengan menghalang reaksi berantai yang boleh menyebabkannya berlaku. Ubat ini menghalang serangan asma. Dengan menghalang reaksi kimia, ubat ini membantu dalam mengurangkan keradangan saluran pernafasan. Leukotriene modifiers lazimnya digunakan sebagai rawatan kedua dalam mengawal asma. Ia selalunya dipreskripsikan untuk kes-kes asma yang tidak terlalu serius sehingga memerlukan kortikosteroid secara oral. Contoh ubat ini adalah seperti montelukast dan zafirlukast.

Cromolyn sodium :. Ubat ini diambil menggunakan alat yang dinamakan inhaler,spinhaler dan nebulizer. Cromolyn mengelakkan keradangan pada saluran pernafasan. Ia memberi manfaat kepada pesakit yang mengalami serangan asma akibat pendedahan kepada alergen. Oleh yang demikian, ia diambil sebelum berlakunya serangan asma dan tidak berguna lagi untuk diambil apabila serangan asma telah berlaku.

Omalizumab (anti-IgE):Ubat ini diberikan dalam bentuk suntikan sekali atau dua kali dalam sebulan. Ia menghentikan tindak balas tubuh badan terhadap pencetus asma, seperti debunga atau habuk. Agen ini menghalang IgE daripada bergabung dengan sel yang membebaskan bahan kimia yang menyebabkan simptom asma semakin teruk.

Ubat sedut beta2-agonists: Ubat – ubatan ini membuka laluan pernafasan. Ia mungkin ditambah kepada ubat sedut kortikosteroid berdos rendah bagi meningkatkan pengawalan asma. Ubat-ubatan ini tidak seharusnya digunakan untuk jangka masa panjang kecuali digunakan bersama-sama ubat sedut kortikosteroid.

Theophylline adalah ubat asma yang diambil melalui mulut. Theophylline membantu dalam memudahkan pernafasan. Theophylline dikelaskan dalam kumpulan methylxanthine yang mana bertindak dengan cara yang sama seperti long-acting bronchodilators. Ubat ini dahulunya merupakan ubat yang selalu digunakan dalam rawatan asma. Walau bagaimanapun, oleh sebab kesan sampingan yang ketara seperti pengambilan kafein, ia kurang digunakan dalam rawatan asma. Theophylline dan aminophylline adalah contoh ubat methylxanthine.

Sesetengah ubat, seperti theophylline, mungkin memerlukan doktor anda untuk menyemak kandungan ubat dalam darah, atau dikenali sebagai Therapeutic Drug Monitoring (TDM). Ini adalah untuk memastikan bahawa bukan sahaja ubat yang mencukupi telah diberi untuk membantu dalam mengawal simptom asma, tetapi juga cukup selamat untuk tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan.

Awasi Asma Anda

  • Rekod Simptom Yang Dialami
    • Simptom asma boleh didokumentasikan dalam diari untuk melihat sejauh mana tindak balas anda terhadap rawatan yang diterima.

      Asma adalah terkawal sekiranya:

    • Tiada simptom melebihi dua hari dalam seminggu dan simptom tidak mengganggu tidur malam yang berkualiti dengan kekerapan sekali atau dua kali dalam sebulan.
    • Boleh menjalankan aktiviti harian.
    • Ubat pelega digunakan tidak melebihi 2 kali dalam seminggu.
    • Mengalami tidak lebih daripada 1 kali serangan asma dalam setahun yang memerlukan ubat kortikosteroid secara oral (prednisolone).
    • Peak flow (kelajuan pernafasan maksima) tidak menurun ke bawah 80 peratus daripada bacaan terbaik anda.

    Sentiasa hubungi doktor anda sekiranya anda mengalami serangan asma yang kerap walaupun selepas mematuhi pelan rawatan yang disyorkan oleh doktor.

  • Dapatkan Pemeriksaan Doktor
    • Pemeriksaan doktor yang kerap adalah penting bagi memastikan asma adalah dalam keadaan terkawal.
    • Semasa pemeriksaan ini, bincangkan dengan doktor dan ahli farmasi berkenaan maklumat yang perlu diketahui seperti cara yang betul menggunakan alat sedut serta cara mengelakkan cetusan dan serangan asma.
    • Maklumkan pada doktor dan ahli farmasi berkenaan aktiviti harian dan kekerapan serangan asma untuk membolehkan mereka menyesuaikan pelan rawatan mengikut keperluan anda.
    • Maklumkan pada doktor sekiranya anda menghadapi kesukaran untuk mematuhi pelan rawatan. Pertukaran pada jenis ubat dan alat sedut boleh dilakukan untuk memenuhi keperluan individu. Ubat-ubatan yang sedikit mungkin boleh diambil sekiranya asma terkawal. Oleh yang demikian, tujuan rawatan adalah untuk mengambil ubat yang paling sedikit bagi mengawal simptom yang dialami.

Rawatan Kecemasan

Dalam keadaan kecemasan, rawatan segera perlu diberikan keutamaan.

Segera dapatkan rawatan doktor dalam keadaan yang mana :

  • Ubat yang diambil tidak melegakan serangan asma.
  • Peak flow adalah kurang daripada separuh bacaan rekod terbaik anda.

Hubungi talian kecemasan dengan serta-merta sekiranya :

  • Anda mengalami masalah untuk bergerak atau bercakap kerana sukar untuk bernafas.
  • Bibir atau kuku anda menjadi warna kebiruan.

Di hospital, rawatan seperti oksigen dan ubat pada dos yang tinggi akan diberikan untuk menyelamatkan nyawa.

Semakan Akhir : 04 Disember 2014
Penulis : Siti Nurul Fathihah bt. Baharuddin
Penterjemah : Hazlin bt. Othman
Akreditor : Munira bt. Muhammad