Home > Ubat & Anda > Ubat Batuk & Selesema tanpa Preskripsi

Ubat Batuk & Selesema tanpa Preskripsi

Pengenalan

Produk ubat batuk dan selsema yang boleh didispens tanpa preskripsi adalah merujuk kepada produk yang digunakan untuk tujuan mengawal simptom batuk dan selsema yang boleh dibeli di mana – mana kedai yang menjualnya atau farmasi tanpa memerlukan preskripsi yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan bertauliah. Produk ini biasanya dikategorikan sebagai ubat OTC atau over the counter dan ubat kategori C, iaitu kategori ubat yang boleh dijual dan didispens oleh ahli farmasi dengan syarat direkod penjualannya ke dalam buku preskripsi atau prescription book.

Bermula dari tahun 2008, pihak U.S Food and Drug Administration (USFDA) telah mengeluarkan amaran berkenaan penggunaan ubat untuk rawatan ‘cough and cold’ pada kanak-kanak. Dalam amaran tersebut, pihak USFDA telah mengesyorkan penggunaan produk ‘cough and cold’ yang boleh didispens tanpa preskripsi adalah tidak boleh digunakan untuk merawat kanak-kanak yang berusia di bawah 2 tahun. Ini adalah disebabkan oleh kemungkinan berlakunya kesan advers yang serius dan berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Laporan USFDA juga menyebut bahawa penggunaan produk ‘cough and cold’ adalah tidak berkesan untuk rawatan kanak-kanak yang berusia 6 tahun dan ke bawah. Walaubagaimanapun pihak USFDA masih lagi menjalankan pemantauan yang berterusan bagi memastikan tahap keselamatan pengunaan persediaan tersebut dikalangan kanak-kanak.

Ibu bapa perlu diberi maklumat tambahan berkenaan dengan fungsi produk ‘cough and cold’ yang boleh didispens tanpa preskripsi. Ini adalah kerana produk tersebut hanya bertujuan untuk mengawal simptom batuk dan selsema dan tidak menyembuhkan keadaan tersebut.

Tips Penggunaaan Persediaan Ubat Batuk dan Selsema Kanak-Kanak untuk Ibu Bapa

Terdapat beberapa tips yang boleh digunapakai oleh ibu bapa dan penjaga sebagai panduan untuk menguruskan kanak-kanak yang menghidap batuk dan selsema antaranya ialah:

  1. Jangan berikan produk orang dewasa kepada kanak-kanak. Persediaan untuk orang dewasa adalah tidak sesuai bagi kanak-kanak.
  2. Bertanya dengan ahli farmasi atau doktor anda sekiranya terdapat pertanyaan dan masalah mengenai penggunaan ubat batuk dan selsema yang ambil.
  3. Pilihlah produk ubat batuk yang dilengkapi penutup keselamatan untuk kanak-kanak jika perlu atau sentiasa pastikan penutup botol ubat ditutup dengan ketat.
  4. Jauhi produk ubat batuk dan selsema ini dari kanak-kanak.
  5. Periksa label dan pastikan anda mengetahui bahan aktif yang terdapat dalam produk tersebut. Baca maklumat ubat yang biasanya terdapat pada sisipan produk. Ini dapat membantu anda mengetahui simptom – simptom yang dapat dikawal oleh bahan aktif tersebut. Produk ubat batuk dan selsema biasanya mempunyai lebih dari satu bahan aktif contohnya decongestant, cough suppressant, expectorant, atau bahan penahan sakit.
  6. Berhati – hati apabila memberi anak anda/kanak-kanak lebih dari satu jenis produk ubat batuk dan selsema. Pastikan produk tersebut tidak mengandungi bahan aktif yang sama kerana ini mungkin menyebabkan anak anda/kanak-kanak menerima dos ubat yang berlebihan.
  7. Pastikan anda membaca dengan teliti arahan penggunaan ubat seperti yang terdapat pada maklumat ubat (drug facts) dalam sisipan produk. Maklumat ini akan memberitahu anda tentang dos dan kekerapan pengambilan produk tersebut. Penggunaan berlebihan atau penyalahgunaan produk ubat batuk dan selsema ini boleh menyebabkan kesan buruk seperti masalah pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat dan sawan.
  8. Gunakan alat penyukat yang disertakan bersama bungkusan produk dan elakkan penggunaan sudu kegunaan dapur memandangkan sudu ini biasanya memberikan sukatan yang berbeza – beza. Sekiranya alat penyukat tidak disertakan, anda boleh mendapatkan picagari dari kedai farmasi.
  9. Anda perlu faham bahawa penggunaan produk ubat batuk dan selsema yang boleh didispens tanpa preskripsi adalah hanya bertujuan untuk mengawal simptom seperti hidung tersumbat, demam dan kesakitan tetapi tidak menyembuhkan penyakit tersebut. Persediaan ini tidak merawat punca kepada simptom batuk dan selsema dan ia juga tidak mempercepatkan proses penyembuhan.
  10. Adalah normal bagi kanak – kanak untuk mengalami demam, batuk dan selsema sepanjang proses tumbesaran mereka. Walaubagaimanapun, kanak-kanak lazimnya akan pulih dengan sendiri. Demam, batuk dan selsema yang biasanya disebabkan oleh jangkitan virus boleh diuruskan dengan rehat yang sempurna, pengambilan air yang cukup dan memastikan kanak-kanak sentiasa selesa.
  11. Batuk dan selsema boleh menjadi simptom kepada penyakit – penyakit lain, oleh yang demikian segera dapatkan nasihat doktor sekiranya tiada perubahan berlaku kepada anak anda/kanak – kanak ataupun tahap kesihatan mereka menurun.
Semakan akhir : 20 April 2012
Penulis : Siti Nurul Fathihah Baharudin
Penyemak : Nur Azibahwati bt. Aziz