Home > Umum > Forensik > Tren, Cabaran Dan Strategi Dalam Bidang Forensik

Tren, Cabaran Dan Strategi Dalam Bidang Forensik

Perkhidmatan sains forensik mula mendapat tempat dalam sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia. Kepercayaan bahawa analisis saintifik yang dilaksanakan oleh makmal forensik boleh memberikan maklumat berharga yang dapat membantu siasatan jenayah mula meningkat. Tambahan pula, analisis forensik dijalankan mengikut piawaian tertinggi bagi mencapai objektif saintifik, integriti dan kualiti. Dengan kekuatan ketiga-tiga objektif ini, bahan bukti dapat ‘bercakap dengan sendiri di hadapan undang-undang.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia menghadapi keadaan yang sukar di mana sistem penyampaian bagi perkhidmatan forensik masih belum berkembang dengan optimum. Kekangan sumber terutamanya kewangan membataskan penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh terhadap permintaan analisis forensik yang terus meningkat. Walaupun begitu, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan tetap dapat dinilai berdasarkan ketepatan dan kualiti analisis yang dijamin tinggi.

Tren Semasa Perkhidmatan Forensik

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan pelbagai disiplin forensik dalam membantu pegawai mereka menyelesaikan siasatan jenayah. Antaranya ialah analisis cap jari, pemeriksaan senjata api, analisis DNA, pemeriksaan dokumen, patologi forensik dan toksikologi. Ada antara disiplin forensik ini dimiliki oleh PDRM dan selebihnya disediakan oleh jabatan atau agensi kerajaan yang lain.

Pihak penyiasat memerlukan khidmat forensik dalam menguatkuasakan undang-undang. Oleh sebab itu, makmal forensik perlu meningkatkan kecekapan, produktiviti dan keboleh percayaan dalam menyampaikan kepakaran mereka. Tambahan pula, faktor operasi dan analisis membuka ruang kepada kemasukan pelbagai teknologi baru ke dalam makmal dan perkhidmatan forensik .

Aspek operasi melihat kepada keperluan untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti walau dibebani dek beban kerja yang bertimbun yang perlu dikendalikan oleh kakitangan makmal dan peralatan yang terhad.

Aspek analisis pula menekankan perubahan teknologi dalam penghasilan peralatan analisis moden. Kemunculan teknik analisis yang tidak memusnahkan sampel bukti menjadi pilihan namun isu utama yang perlu diberi penekanan adalah sensitiviti teknik tersebut dalam menghasilkan keputusan yang tepat.

Kini, pelbagai teknik dalam analisis seperti persampelan, penggunaan robot dalam makmal, peralatan berteknologi tinggi telah dibangunkan dan diperkenalkan untuk memenuhi kehendak semasa. Kaedah-kaedah baharu telah dibangunkan dan perlu diambil kira sebagai keperluan dalam analisis forensik yang menetapkan tahap piawaian yang tinggi. Walau dibatasi oleh sempadan negara dan faktor-faktor lain, ia masih boleh dicapai oleh semua saintis dan teknologis yang terlibat.

 

Sumber: www.thehindu.com

Suasana di dalam makmal sains forensik kini tidak lagi sama dengan keadaan pada suatu waktu dahulu. Jika dahulu, bikar dan pipet adalah antara peralatan yang penting dan utama. Kini, makmal forensik moden dipenuhi dengan saintis dan teknologi terkini seperti tablet pc, i-pad, dan modem wifi, serta sistem pengurusan maklumat makmal (LIMS).

Persekitaran di makmal juga berorientasikan saintifik dan dinamik. Pengurusan makmal perlu mengenal pasti kepincangan dalam struktur organisasi untuk menghadapi cabaran masa depan dan teknologi baru yang akan muncul. Aspek yang paling penting adalah menentukan keperluan terhadap kemudahan dan aktiviti forensik.

Saintis forensik dan teknologi makmal yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti penyiasatan perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan maklumat terkini. Mereka perlu bersedia untuk menerokai kaedah penyiasatan seiring dengan kemajuan teknologi analisis. Penggunaan peralatan automatik yang sepenuhnya berkomputer memang sangat membantu tetapi mereka memerlukan pendedahan dan latihan yang betul. Tanpa kemahiran, ia akan memberi kesan kepada prosedur rutin dan analisis disebabkan oleh ketidakcekapan dalam mengendalikan peralatan analisis.

Anggota masyarakat yang sudah mula terdedah dengan aplikasi forensik dalam siasatan jenayah mula mengharapkan keajaiban dan kehebatannya. Masing-masing punyai akses terhadap ribuan artikel dan buku dalam atas talian dan mengenai protokol sains forensik dan teknik penyiasatannya.  Sekurang-kurangnya, mereka memiliki pemahaman asas mengenai siasatan forensik dan kemampuannya. Secara tidak langsung, keadaan ini juga turut menyumbang kepada perubahan atmosfera dalam bidang forensik di Malaysia.

Oleh sebab itu, makmal forensik perlu mempunyai kredibiliti dalam menghasilkan keputusan analisis yang boleh dipercayai dan mampu berdiri sendiri di hadapan mahkamah. Sehubungan itu, protokol keselamatan dan cara kerja mengendalikan kes perlu dipertingkatkan bagi memastikan rantaian analisis dan integriti sampel tidak tercemar dan dirosakkan. Para saintis perlu meningkatkan kemahiran analisis dan pengetahuan mereka untuk menjadi pakar dalam pelbagai bidang forensik seperti analisis DNA, toksikologi forensik, rekonstruksi wajah dan patologi forensik.

Cabaran yang Perlu Dihadapi

Dalam setiap kes yang dibicarakan, hakim mahukan bukti yang lebih kukuh dibentangkan di hadapan mereka oleh barisan peguam dan pendakwa raya. Pendakwa raya dan peguam pula menuntut agar dibekalkan oleh pegawai polis dengan interpretasi keputusan analisis dan hasil bedah siasat yang boleh dipercayai dengan bantuan teknologi moden. Pegawai polis pula memerlukan kredibiliti saintis dalam mengendalikan bahan bukti semasa dianalisis. Mereka mengharapkan agar kehebatan saintis forensik dan peralatan canggih makmal akan membantu mereka membuat keputusan mengenai hala tuju siasatan kes yang perlu diambil. Orang ramai pula mahukan kehebatan forensik ditonjolkan seperti yang mereka tonton di kaca televisyen melalui drama yang berasaskan penyiasatan forensik seperti CSI.

Keadaan ini menyebabkan budaya analisis sains forensik di Malaysia semakin berubah. Dalam setiap kes, mereka mengharapkan adanya keputusan analisis DNA.

Berikut adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh komuniti sains forensik:

  • Sumber pembiayaan makmal

    Lebih banyak wang perlu dibelanjakan untuk melengkapkan makmal dengan peralatan analisis yang terbaharu dan lebih berkuasa. Ia tidak berhenti di sana. Sejumlah wang juga perlu diperuntukkan untuk kos penyelenggaraan rutin, penentu-ukuran dan program jaminan kualiti. Kos juga perlu dipertimbang untuk pengambilan kakitangan baharu seiring dengan peningkatan beban.

  • Peningkatan beban kerja dan jumlah analisis harian

    Pengurusan makmal perlu memastikan keupayaan minimum dan maksimum yang boleh dikendalikan oleh kakitangan makmal dalam menangani beban kerja dan jumlah ujian yang meningkat. Makmal forensik perlu mematuhi piawaian yang telah ditetapkan serta memenuhi keperluan undang-undang. Saintis pula perlu melaporkan keputusan analisis yang berkualiti sama ada ia melibatkan keputusan kuantitatif atau kualitatif kepada pelanggan.

  • Perubahan cara kerja dalam pengendalian bahan bukti

    Perubahan ini akan memberi kesan yang besar ke atas pengoperasian makmal forensik. Ia seharusnya direka untuk menampung evolusi berterusan dalam teknologi maklumat seperti LIMS. Secara langsungnya,  LIMS berkait rapat dengan pembangunan peralatan dan kaedah analisis, pangkalan data, pengendalian bahan bukti dan penyimpanan rekod.

  • Pengambilan dan latihan kakitangan

    Latihan dan pembangunan insan adalah satu aspek penting dan merupakan asas dalam setiap perkhidmatan makmal. Latihan tersebut mestilah merangkumi aplikasi kaedah analisis dan peralatan baharu yang telah dipasang untuk memastikan pembangunan profesional. Latihan juga perlu diambil kira apabila merancang perubahan kepada beban kerja dan jumlah ujian. Objektifnya adalah untuk mengekalkan kompetensi dalam kalangan saintis forensik yang berkelayakan dan kompeten serta juruteknologi makmal.

  • Inovasi dan evolusi teknologi baru

    Jika dahulu, kebanyakan peralatan analisis canggih hanyalah mainan dalam cerita sains-fiksyen. Namun kini, bidang sains forensik dipenuhi dengan pelbagai peralatan canggih daripada cerita sains-fiksyen yang menjadi realiti saban hari.

    Saintis forensik berjaya menemui kaedah baru dalam mengesan bau dan wap, menganalisis profil toksikologi dan sebatian kimia, dan juga dalam menentukan asal-usul dadah moden. Lebih banyak teknik analisis yang tidak memusnahkan sampel mula dikenalkan. Para saintis kini boleh menganalisis rambut seseorang untuk menentukan aktiviti sosial mereka serta masalah ketagihan dadah. Teknik laser mula digunakan untuk menganalisis komposisi cecair dan gas. Gentian optik digunakan untuk menganalisis penjerapan dan penyerapan cecair dalam beberapa saat sahaja.

Kaedah baharu analisis dan peralatan moden terus berkembang saban waktu. Makmal forensik moden dijangka akan lebih menggunakan peralatan analisis berbanding prosedur analisis menggunakan reagen kimia. Peralatan moden ini akan memenuhi bahagian analisis kimia dadah, toksikologi dan DNA.

Pergantungan terhadap penggunaan peralatan automasi dan robotik yang semakin meningkat mengenai akan berterusan. Namun, kemahiran dan kepakaran saintis yang kompeten masih diperlukan dalam melaksanakan analisis.

Persiapan

Kemunculan teknologi baru muncul berkait secara langsung dengan keperluan terhadap pembangunan peralatan moden, simpanan data demografi dan pangkalan data, pemeriksaan bedah siasat, pengendalian bukti, rekod dan arkib. Seiring dengan perubahan ini, kakitangan makmal forensik juga perlu bersedia untuk penyusunan semula dan perubahan cara kerja.

Mereka perlu :

  • Belajar menyesuaikan diri dengan cepat.
  • Melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran baharu.
  • Memantau perkembangan teknik dan kaedah analisis di serata dunia.
  • Membangunkan dan mengukuhkan kaedah analisis baharu untuk disesuaikan dengan keperluan analisis yang sentiasa berubah.
  • Menyediakan ruang untuk menampung pembelian peralatan baru.
  • Memperuntukkan sumber khusus untuk pengurusan makmal, operasi dan bajet.

Rujukan

  1. http://www.whitehouse.gov/sites/default/files/microsites/ostp/forensicscience_progressreport_feb-2014.pdf
  2. Mount, M. and Hackman, S. (2012). “Forensic Laboratory 2030: Scientific Environment.” (Online posting). Accessed: 11 February 2015. Forensic Magazine: http://www.forensicmag.com/articles/2012/12/forensic-laboratory-2030-scientific-environment.
  3. Tjin-a-Tsoi, T.B.P.M. (2013). “Trends, Challenges and Strategy in the Forensic Science Sector.” The Netherlands Forensic Institute.
  4. White House. (2014). “Strengthening Forensic Science: A Progress Report.” (Online posting). Accessed: 11 February 2015.
Semakan Akhir : 19 Mei 2015
Penulis / Penterjemah : Khairul Adli bin Nikman
Akreditor : Khoo Lay See