Home > Dewasa > Cirit-birit Semasa Melancong

Cirit-birit Semasa Melancong

Pengenalan

Cirit-birit semasa melancong (atau semasa dalam perjalanan) adalah sindrom klinikal yang disebabkan oleh mikroorganisma seperti bakteria, virus atau parasit yang mencemari makanan dan minuman.

Agen penyebab: Empat mikroorganisma bakteria yang lazim ditemui adalah Escherichia coli Enterotoxigenic (eTec), spesies Shigella, Salmonella species dan Campylobacter. Kadar isolasipatogen adalahantara 30% ke 60%.

Penyakit ini kerap berlaku dalam kalangan individu yang melancong ke destinasi yang mempunyai tahap kebersihan dan sanitasi yang rendah. Risiko mendapat penyakit ini adalah antara 35 hingga 60%  jika berada selama sebulan di negara kurang maju.

Risiko penyakit ini berkait rapat dengan destinasi, standard penginapan serta tabiat individu. Antara destinasi yang berisiko tinggi termasuklah Asia, Afrika, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Kanak-kanak didapati lebih cenderung mengalami cirit-birit yang lebih teruk dan dalam tempoh yang lebih panjang berbanding pelancong lain.

Tanda dan gejala

Najis berair 4 hingga 5 kali sehari selama 2 hingga  4 hari. Kejang perut, loya, muntah, perut kembung demam, dan kelesuan juga boleh berlaku.

Berlaku semasa atau sejurus selepas perjalanan. Boleh berterusan sehingga sepuluh (10) hari selepas kembali. Cirit-birit belaku secara akut, cirit-birit berair (60% daripada jumlah pengembara), disentri atau cirit-birit kronik (3% hingga 5% daripada jumlah pengembara).

Komplikasi

Kebanyakan kes akan sembuh sendiri.

Rawatan

Rawatan sendiri

Berehat dan minum banyak air termasuk garam rehidrasi oral (ORS). ORS seperti sachet gastrolyte (dilarutkan dalam 200ml air) atau tablet adalah lebih baik dan sebenarnya digunakan untuk merawat kanak-kanak. Penghasilan ORS perlu tepat seperti yang diarahkan. Sekiranya  terlalu pekat keadaan boleh menjadi lebih teruk. Selain ORS, jus atau air limau (bancuhan 1 bahagian jus atau air limau kepada 4 bahagian air panas) atau air kosong sebanyak 2 cawan setiap jam boleh mengelakkan dehidrasi bagi cirit-birit yang ringan. Satu lagi cara ialah air gula (bancuhan 1 sude teh gula kepada 1 cawan air panas bersama) dengan secubit garam.

Tanda-tanda bahaya adalah:

  • suhu lebih 38.8°C
  • menggigil
  • cirit-birit berdarah atau berlendir
  • sakit perut (selain daripada kejang sederhana), atau
  • cirit-birit yang berterusan selama lebih daripada 2 atau 3 hari)

Jika terdapat tanda bahaya atau cirit-birit menjadi teruk selepas 24 hingga 48 jam, segera dapatkan rawatan doktor.

Gunakan ubat anti-cirit-birit contohnya Loperamide, jika anda perlu menghadiri mesyuarat penting atau menaiki pesawat. Ubat-ubatan yang biasa digunakan sebagai persediaan termasuklah Imodium (loperamide), Lomotil (diphenoxylate) dan Arret (loperamide).

Antibiotik

Jika keadaan masih tidak pulih, demam yang tinggi (> 38,5 ° C), dan najis berdarah atau bernanah, dapatkan ubatan seperti Norfloxacin 400 mg atau ciprofloxacin 500 mg, 1 tablet dua kali sehari selama 3 hari, seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

Jika keadaan tidak pulih dalam tempoh 12 jam, pengambilan dos selanjutnya tidak memberi kesan.

SEGERA BERJUMPA DOKTOR JIKA ANDA MENGALAMI:

  • SUHU YANG TINGGI,
  • CIRIT-BIRIT BERDARAH ATAU BERLENDIR,
  • PESAKIT MENJADI KELIRU
  • CIRIT-BIRIT TIDAK REDA SELEPAS 72 JAM
    (BAGI KANAK-KANAK DAN WARGA EMAS: SELEPAS 24 JAM)

Pencegahan

    1. Nasihat umum pencegahan jangkitan melalui laluan najis ke mulut (faeco-oral) :
      • Basuh tangan dengan sabun sebelum makan, mengendali makanan dan selepas menggunakan tandas.
      • Didihkan air minum atau minum air yang dibotolkan/air berkarbonat.
      • Makanan yang kurang memerlukan pengendalian adalah lebih selamat. Kupas semua buah. Elakkan memakan salad atau ulam-ulaman.
      • Pastikan bahawa makanan laut, ikan dan daging dimasak dan seboleh-bolehnya makan semasa makanan masih panas.
      • Makan awal jika memakan hidangan bufet.
      • Elakkandari memakan makanan yang dijual ditepi jalan.

 

    1. Penggunaan antibiotik profilaktik contohnya Fluoroquinolones, boleh dipertimbangkan untuk jangka pendek jika individu berisiko tinggi (contohnya immunosuppressed) atau dalam perjalanan penting (contohnya ahli perniagaan, diplomat, pemuzik atau atlet). Tidak disyorkan untuk pelancong biasa kerana is boleh memberikan perasaan berada dalam keadaan selamat (Sense of security).

 

  1. Gunakan ejen selain daripada ubat-ubatan antimikrob untuk profilaksis contohnya Bismut Subsalicylate (BSS). Bismut Subsalicylate (Pepto-Bismol)- cara pengambilan: 1 oz air atau dua tablet di kunyah setiap 30 minit untuk lapan dos, berkesan untuk mengurangkan kekerapan membuang air besar dan tempoh cirit-birit. Ejen ini mempunyai unsur antisekresi dan antimikrob. BSS harus digunakan dengan berhati-hati bagi individu yang turut mengambil aspirin atau anticoagulants atau individu yang mengalami masalah buah pinggang. Di samping itu, elakkan BSS  untuk kanak-kanak yang sedang mengalami jangkitan virus, seperti varicella atau influenza, bagi mengelakkan risiko sindrom Reye.

Sumber:

  1. International Travel & Health, WHO 2006
  2. Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition by David L.Heymann, MD, Editor, 2004
  3. http://travelhealth.co.uk/
Semakan Akhir : 19 Jun 2013
Penulis : Dr. Norhayati Rusli