Home > Umum > Forensik > Toksikologi Forensik Dan Sains Forensik

Toksikologi Forensik Dan Sains Forensik

Pengenalan

Seringkali kita mendengar dalam media tempatan atau luar negara tentang isu jenayah yang semakin berleluasa di era yang serba moden dan canggih ini baik di televisyen mahupun pada media sosial yang lain seperti internet atau radio. Kejadian tembak-menembak, bunuh-membunuh, pukul-memukul dan apa jua bentuk jenayah yang berlaku telah memberi kesedaran kepada pihak yang berkuasa untuk lebih berhati-hati dalam menjalankan siasatan terhadap kes-kes tersebut. Walaubagaimanapun, kecederaan secara fizikal tidak menggambarkan keadaan sebenar bagaimana situasi itu berlaku. Oleh itu, konsep toksikologi forensik diaplikasikan dalam membantu pihak yang berkuasa membuat siasatan dengan lebih terperinci dan sekaligus menyelesaikan kes tersebut.

Toksikologi forensik merupakan salah satu cabang dalam sains forensik. Ia merupakan satu aplikasi bidang saintifik dalam undang-undang yang mana mengkaji tentang penggunaan bahan kimia yang menyebabkan gangguan terhadap mekanisma biologi pada manusia. Dalam erti kata lain, kajian tentang paras kepekatan bahan kimia yang tidak terkawal dimasukkan secara sengaja atau tidak sengaja dalam badan manusia untuk dijadikan sebagai bahan bukti terhadap kesalahan si pelaku. Sebagai contoh, seorang pemandu kereta telah mengalami kemalangan dalam keadaan yang mabuk. Paras kepekatan minuman alkohol dalam badan si pemandu diukur bagi menentukan sama ada si pemandu ini telah melakukan kesalahan semasa memandu. Sampel darah atau air kencing akan di ambil daripada si pemandu untuk mengukur paras kepekatan alkohol semasa memandu. Jika amaun kepekatan alkohol melebihi had yang dibenarkan untuk meminum minuman beralkohol, pemandu tersebut akan dikenakan denda atau saman daripada pegawai penyiasat yang bertugas.

Kepentingannya

Setiap kes yang melibatkan kematian yang dilaporkan memerlukan siasatan bagi menentukan penyebab kematian si mati. Bagi membantu dalam siasatan, pihak polis yang menerima kes-kes seperti ini akan memberi arahan kepada pihak hospital untuk menjalankan bedah siasat bagi mendapatkan sebab kematian untuk kes tersebut. Pegawai perubatan yang menjalankan bedah siasat akan mengambil sampel tertentu seperti darah, air kencing atau apa jua jenis spesimen si mati bagi membantu dalam penyiasatan kes tersebut. Sampel yang di ambil ini akan di uji secara kualitatif atau kuantitatif untuk menyokong penemuan yang telah ditemui semasa menjalankan bedah siasat.

Kerja utama dalam toksikologi forensik adalah melakukan analisa secara kualitatif atau kuantitatif terhadap sampel yang diterima. Menurut Society of Forensic Toxicologist, Inc., bidang kerja toksikologi forensik meliputi; menganalisa dan menentukan racun yang dikesan merupakan penyebab kematian, menganalisa kehadiran alkohol atau bahan kimia terlarang yang mengakibatkan perubahan tingkah laku yang tidak terkawal pada si pesalah dan menganalisa bahan kimia terlarang dalam air kencing atau darah bagi kes penyalahgunaan dadah berbahaya seperti yang tertakluk dalam Akta Dadah Berbahaya 1952. Selain itu, bidang toksikologi forensik juga membantu dalam menentukan sejauh mana tahap penggunaan bahan kimia tersebut boleh mengganggu sistem biologi si pesalah sehingga menyebabkan kemalangan atau kejadian yang tidak diingini berlaku.

Aplikasi Toksikologi Forensik Di Malaysia

Di Malaysia, aplikasi toksikologi forensik bergantung kepada jenis kes yang diterima pihak polis. Jenis-jenis kes yang memerlukan pemeriksaan toksikologi forensik terbahagi kepada tiga kategori iaitu;

  1. Kes kematian akibat keracunan yang merangkumi kematian mengejut, kematian di penjara, kematian akibat kebakaran, dan kematian yang disebabkan kesan sampingan ubat yang dimakan atau kecuaian semasa menerima rawatan.
  2. Kemalangan yang menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri atau orang lain akibat daripada pengambilan alkohol, penyalahgunaan ubat-ubatan atau dadah.
  3. Penyalahgunaan dadah atau kes-kes keracunan akibat daripada penggunaan ubat, makanan, bahan kosmetik, peralatan kesihatan atau bahan berbahaya lain yang tidak mematuhi standard piawaian kesihatan.

Kategori kes seperti ini, pihak polis akan menghantar si mati ke hospital bagi membantu mereka untuk mendapatkan sebab kematian si mati. Di hospital, sampel akan di ambil dari badan si mati untuk tujuan pemeriksaan lanjutan bagi menyokong sebab kematian yang telah ditemui. Toksikologi forensik memainkan peranan penting dalam mengkaji bahan kimia yang terkandung pada sampel yang diterima. Analisa yang dijalankan melibatkan tiga peringkat iaitu;

  1. Peringkat penyediaan sampel
  2. Peringkat ujian saringan dan ujian pengesahan
  3. Peringkat interpretasi dan laporan hasil analisa

Secara umumnya, analisa toksikologi forensik tidak menetapkan pada satu bahan kimia tertentu untuk di analisa. Ujian yang dijalankan terlalu luas yang meliputi ke semua jenis bahan kimia yang mempunyai kebolehan untuk menjadi penyebab kematian. Walaubagaimanapun, skop ujian boleh dikecilkan berdasarkan laporan pemeriksaan di tempat kejadian dan laporan yang diterima daripada pihak polis atau pegawai perubatan yang telah menjalankan bedah siasat pada si mati. Sebagai contoh, kes kematian yang melibatkan penyalahgunaan dadah.  Sampel darah yang di ambil daripada si mati akan di analisa untuk tujuan mendapatkan jenis dadah yang diambil dan dos yang di makan sebelum ditemui mati. Setiap sampel yang diterima harus memastikan rantaian bukti tidak terjejas dan sentiasa dalam keadaan yang teratur.

Interpretasi Keputusan

Setiap analisa toksikologi forensik yang dijalankan perlu dilaporkan secara kualitatif atau kuantitatif. Bagi ujian kualitatif, laporan yang disediakan akan menyatakan sama ada mengandungi atau tidak mengandungi bahan kimia yang dianalisa pada sampel yang diterima. Manakala, penyediaan laporan toksikologi forensik untuk ujian kuantitatif akan menyatakan amaun kepekatan bahan kimia yang dianalisa pada sampel yang diterima. Ujian saringan yang dijalankan pada awal analisa dapat digunakan sebagai panduan untuk memastikan bahan kimia yang perlu dikesan. Pengesanan bahan kimia tersebut akan melalui analisa ujian pengesahan supaya dapat membantu dalam memberi kesimpulan sama ada si mati telah mengambil bahan kimia yang diuji.Teknik ujian pengesahan yang digunakan ialah teknik kromatografi yang berfungsi untuk mengesan bahan kimia yang dikehendaki. Hasil laporan analisa toksikologi forensik dapat membantu Pegawai Perubatan memberi sebab kematian berdasarkan penemuan yang telah di siasat.

Rujukan

  1. www.soft-tox.org/?
  2. http://www.kimia.gov.my/
  3. http://www.drugabuse.gov/drugs-abuse/commonly-abused-drugs/commonly-abused-drugs-chart
  4. Akta Dadah Merbahaya 1952
Semakan Akhir : 2 Julai 2014
Penulis : Lelyan Minsun
Akreditor : Nurizan bt. Ismawi