Home > Umum > Terapi Bahasa & Pertuturan > Tips-tips Berkomunikasi dengan Individu Gagap

Tips-tips Berkomunikasi dengan Individu Gagap

SITUASI 1

A: ‘B…b…..b….b…bila engkau n…n….n…..nak jalan k….k…k…ke k…k…k…kedai?
B: Sekejap lagi. Kau nak ikut tak?
A: ‘A..a…a….aku macam n…n….n…n…nak ikut, t…t…t..tapi …..a…a..aku rasa………
B: Engkau malas nak pergi?
A: B…b…b…..b..bukan…..
B: (Bercakap dalam hati) lambatnya aku nak tunggu dia ni habis cakap…..
A: a..a….a…aku
B: Aku…aku…hm… aku pergi dulu la ye.
A: OK (sedih)

Masalah gagap adalah sesuatu yang diketahui umum dan kadangkala menjadi bahan ketawa bagi sesetengah orang. Situasi di atas adalah sekadar contoh perbualan individu yang mengalami masalah gagap dan contoh reaksi rakan perbualannya.

4 Tips Untuk Anda

Ibu bapa, saudara-mara, rakan-rakan pasti berusaha untuk membantu anak, ahli keluarga atau rakan mereka yang gagap untuk berkomunikasi dengan lebih baik.

Persoalannya, bagaimanakah anda boleh membantu individu gagap? Bolehkah anda membantu mereka? Jawapannya,

YA. Anda boleh membantu mereka dengan cara yang mudah.

Anda hanya perlu melakukan 4 langkah mudah iaitu faham, dengar, sabar dan sokong agar proses komunikasi anda dengan mereka menjadi lebih berkesan.

Tips 1: Faham

Anda perlu memahami fakta sebenar tentang kegagapan. Ketahuilah bahawa:

  • Punca sebenar gagap masih tidak diketahui

  • Gagap  tidak ada kaitan dengan tahap mental atau keyakinan diri seseorang

  • Individu gagap TIDAK mempunyai gangguan mental

  • Gagap terjadi di luar kawalan mereka

Tips 2: Dengar

Jadilah pendengar yang baik dengan:

  • Dengar apa yang ingin disampaikan tanpa mencelah

  • Elakkan menyuruh mereka diam atau meninggalkan mereka kerana lambat bercakap

  • Gunakan ayat ringkas dan bertutur dengan kelajuan sederhana jika ingin bertanya kepada mereka

  • Beri respon setelah mereka habis berbicara

    Pendengaran yang baik
    Sumber: thee2coach.com

Tips 3: Sabar

Anda perlu bersabar semasa berbual dengan individu gagap. Lakukan perkara-perkara ini:

  • Tunggu mereka menghabiskan ayat yang cuba disampaikan

  • Jangan sergah mereka apabila mereka gagap

  • Elakkan menyambung percakapan mereka

  • Elakkan menyuruh mereka bertenang atau bercakap dengan perlahan kerana ini boleh menyebabkan gagap menjadi lebih teruk

  • Sentiasa bersikap tenang semasa berbual bersama mereka

    Sumber: Cartoonstock.com

Tips 4: Sokong

Sokongan anda amat penting bagi individu yang gagap. Tunjukkan sokongan anda dengan:

  • Menjadi teman berbual yang mendengar dan sabar

  • Memberi pujian dan galakan yang berterusan

  • Sentiasa memberi mereka peluang untuk memperbaiki kelancaran pertuturan

  • Bersikap terbuka dan menerima keadaan mereka

  • Membantu dan membawa mereka mendapatkan pemeriksaan dan rawatan seawal mungkin

  • Menghormati pendapat mereka dan nyatakan sokongan anda kepada mereka

SITUASI 2

A: ‘B…b…..b….b…bila engkau n…n….n…..nak jalan k….k…k…ke k…k…k…kedai?
B: Sekejap lagi. Kau nak ikut tak?
A: ‘A..a…a….aku macam n…n….n…n…nak ikut, t…t…t..tapi …..a…a..aku rasa………
B: (tunggu…)
A: P…p….p…penat sikit lah. B…b…boleh tunggu s…s….s…sekejap.
B: (tunggu….)
A: Aku rehat sekejap. L…l…l..lagi lima minit kita pergi
B: OK lah. Sekejap lagi kita pergi k
A: OK (gembira)

Situasi 2 menunjukkan bagaimana seorang rakan menunggu rakannya yang gagap habis bercakap sebelum dia memberikan respon yang sewajarnya.

Jadi, ingatlah:

  • Fahami masalah mereka

  • Jadilah pendengar yang baik

  • Sentiasa sabar semasa berbual bersama mereka

  • Beri sokongan anda sepenuhnya

Rujukan

  1. Do’s and Don’ts when Speaking with Someone Who Stutters (n.d.) in The UMD Stuttering Home Page. Retrieved Spetember 3, 2012 from http://www.d.umn.edu/~cspiller/stutteringpage/do’s.htm

  2. Five Myths about stuttering (n.d.) in The stuttering foundation website. Retrieved September 4, 2012 from http://www.stutteringhelp.org/five-myths-about-stuttering

  3. How to talk to a person who stutter (n.d) In WikiHow. Retrieved September 5, 2012 from http://www.wikihow.com/Talk-With-a-Person-Who-Stutters

  4. Ratner, N. B. & Healey, E. C. (1999) Stuttering Research and Practice: Bridging the Gap.  Retrieved September 4, 2012 from http://www.books.google.com.my/books?isbn=0805824588

Rujukan gambar

  1. ygoy.com (n.d.). Retrieved September 3, 2012 from  http://speechtherapy.ygoy.com/2011/01/23/signs-and-symptoms-of-stammering/

  2. Cartoonstock.com (n.d.) Retrieved September 3, 2012 from http://www.cartoonstock.com/directory/w/waiting_to_be_seen.asp

  3. Cartoon Motivators Blog (n.d.) Retrieved September 20, 2012 from http://www.cartoonmotivators.com/blog/listen-to-many-speak-to-a-few-william-shakespeare-quote/

Semakan Akhir : 10 Februari 2014
Penulis : Rahimah bt Yunus