A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tips Penjagaan Alat Bantu Pendengaran Si Kecil

Alat Bantu Pendengaran merupakan alat yang sensitif dan memerlukan penjagaan yang rapi untuk memastikan ia berfungsi dengan baik dan tidak mudah rosak. Kebiasaannya semasa sesi pertama pemasangan alat bantu pendengaran Audiologis akan memberi maklumat berhubung cara untuk menjaga alat dengan baik. Ibu bapa akan dibekalkan dengan kit penjagaan alat bantu pendengaran yang terdiri daripada;

  1. Stetoklip
    Pemeriksaan kualiti bunyi alat bantu pendengaran boleh dilakukan dengan menggunakan stetoklip. Ibu bapa dinasihatkan untuk memeriksa kualiti alat bantu pendengaran pada setiap hari sebelum alat tersebut dipasang pada anak anda. Ini bertujuan untuk memastikan alat bantu pendengaran berfungsi dan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

  1. Penguji Bateri
    Penguji bateri digunakan untuk memeriksa dan mengukur kekuatan bateri alat bantu pendengaran. Tujuannya adalah untuk memastikan bateri tidak lemah dan berada dalam keadaan yang baik. Kebiasaannya sebiji bateri mampu untuk bertahan dalam tempoh 1 hingga 2 minggu bergantung kepada tempoh penggunaan dan cara penyimpanan bateri. Pastikan bateri disimpan di tempat yang kering dan jauh dari kelembapan. Jika bateri sudah lemah, buang bateri ditempat yang selamat supaya tidak dijumpai oleh kanak- kanak.

  1. Kit Pengering
    Kit ini mengandungi kapsul penyerap kelembapan (silica gel) yang berfungsi untuk mengeringkan alat bantu pendengaran dari sebarang kelembapan; misalnya akibat dari perpeluhan. Alat bantu pendengaran perlu disimpan dalam kit pengering ini setiap kali ia tidak digunakan dan pastikan bateri telah dikeluarkan dan diasingkan terlebih dahulu.

  1. Pam Angin/ Blower
    Pam angin (blower) digunakan untuk mengeluarkan partikel- partikel atau bendasing yang tersumbat pada tiub mahupun acuan telinga. Kebiasaannya tiub atau acuan telinga boleh tersumbat disebabkan oleh tahi telinga mahupun wap air yang terkumpul dari kelembapan.

Nota Penting

  • Pastikan tangan anda bersih dan kering sebelum mengendalikan alat bantu pendengaran. Bersihkan alat bantu pendengaran sekerap mungkin menggunakan tisu atau kain kering.
  • Elakkan alat bantu pendengaran daripada terjatuh atau terdedah kepada ketukan serta impak yang kuat. Semasa mengendalikan alat bantu pendengaran, dicadangkan ia berda di atas permukaan yang lembut untuk mengelakkan sebarang kerosakan jika ia terjatuh.
  • Pastikan alat bantu pendengaran ditanggalkan jika ingin mandi atau berenang. Kebanyakan alat bantu pendengaran tidak kalis air dan mudah rosak jika terkena air atau terdedah kepada kelembapan yang tinggi.
  • Pastikan alat bantu pendengaran tidak terdedah kepada bahan- bahan kimia misalnya minyak rambut atau alat solekan. Dicadangkan alat bantu pendengaran ditanggalkan terlebih dahulu sebelum menggunkan bahan- bahan yang dinyatakan di atas.
  • Jangan sesekali alat bantu pendengaran dibiarkan terdedah kepada haba atau kepanasan yang melampau misalnya cahaya matahari di rumah ataupun di dalam kereta.

Troubleshooting Alat Bantu Pendengaran

 

 

MASALAH ALAT BANTU PENDENGARAN

 

KEMUNGKINAN PUNCA MASALAH

 

PENYELESAIANNYA

1.

Tiada bunyi
  • Bateri sudah habis
  • Gantikan bateri baru
  • Kesilapan meletakkan bateri
  • Cuba masukkan semula bateri mengikut tanda positif/ negatif atau permukaan yang betul
  • Tiub atau acuan telinga tersumbat dengan tahi telinga/ wap air/ peluh
  • Bersihkan acuan telinga dan gunakan pam angin (blower) untuk mengeluarkan wap atau bendasing yang tersumbat
  • Alat bantu pendengaran tidak “on”
  • Jika alat bantu pendengaran mempunyai butang on/off, pastikan ia berada pada posisi yang betul

2.

Lemah/ Intermittent (sekejap ada, sekejap tiada bunyi)
  • Bateri lemah
  • Uji bateri menggunakan penguji bateri. Pastikan tahap bateri mencukupi
  • Tiub atau acuan telinga tersumbat dengan tahi telinga/ wap air/ peluh
  • Bersihkan acuan telinga dan gunakan pam angin (blower) untuk mengeluarkan wap atau bendasing yang tersumbat

3.

 

Suap balik (feedback)/ Berbunyi Bising (whistling)

 

  • Acuan telinga tidak dipasang dengan betul dan kemas
  • Pasang semula acuan telinga anak anda dan pastikan acuan telinga dipasang dengan betul
  • Acuan telinga longgar
  • Acuan telinga kecil dan tidak sesuai lagi dengan saiz telinga anak anda. Jumpa audiologist untuk membuat acuan telinga yang baru

 

  • Acuan telinga pecah
  • Menyebabkan penghantaran bunyi terjejas. Sila rujuk dengan audiologist untuk membuat acuan telinga yang baru

 

 

Strategi Menggalakkan Penggunaan Alat Bantu Pendengaran di kalangan kanak-kanak

Kebiasaannya kanak- kanak sukar untuk menerima “objek baru” yang diletakkan pada diri mereka. Begitu juga dengan pemakaian alat bantu pendengaran pada anak anda. Setiap kanak- kanak ini berbeza dan mereka ini juga memberi reaksi yang berbeza terhadap pemakaian alat bantu pendengaran. Sesetengah kanak- kanak mudah untuk menerima alat bantu pendengaran, tetapi tidak untuk sesetengah kanak- kanak yang lain. Bagi kanak- kanak yang tidak dapat menerima alat bantu pendengaran, biasanya mereka akan tantrum dengan marah, menjerit, menangis dan membuang alat tersebut. Ibu bapa perlu mencari cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Ibu bapa harus memberi galakkan kepada kanak- kanak untuk memakai alat bantu pendengaran dengan menganggap bahawa alat ini tidak berbahaya dan memberi keseronokan apabila mereka memakainya.

Di sini dinyatakan beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan anak anda memakai alat bantu pendengaran;

  1. Jika kanak- kanak tidak menolak dan mudah menerima alat bantu pendengaran
    • Ibu bapa perlu sentiasa memaksimakan pemakaian alat bantu pendengaran pada siang hari. Tiada alasan untuk menanggalkan alat tersebut kecuali untuk mandi atau tidur.
    • Lakukan pelbagai aktiviti yang melatih anak anda untuk mendengar misalnya bermain dengan permainan yang berbunyi atau muzik.
    • Libatkan anak anda jika dia ingin menanggalkan alat tersebut dengan menunjukkan cara untuk menanggalkannya dan cara penyimpanan alat di dalam kit pengering.
  2. Jika kanak- kanak menolak pemakaian alat bantu pendengaran
    • Ibu bapa perlu bertenang dan cuba pujuk anak anda untuk memakai alat tersebut.
    • Cuba pasangkan alat bantu pendengaran dalam pelbagai situasi. Jika anda menolak untuk dipakaikan alat pada satu masa dan ketika, ibu bapa perlu cuba lagi di masa dan situasi yang lain di mana kemungkinan anak anda boleh menerimanya.
    • Cuba libatkan ahli keluarga yang lain jika ibu bapa gagal untuk memujuk kanak- kanak memakai alat bantu pendengaran.
    • Cuba untuk bermain dengan anak anda dengan memasang alat bantu pendengaran pada patung/ binatang permainan.
    • Beri peluang kepada anak anda untuk menyentuh dan memegang alat bantu pendengaran. Mungkin ibu bapa juga boleh benarkan kanak- kanak untuk meletakkan alat bantu pendengaran pada telinganya sendiri.
    • Cuba pasangkan alat bantu pendengaran pada ketika anak anda sedang khayal melakukan sesuatu aktiviti misalnya menonton televisyen, bermain ataupun waktu makan.
    • Wujudkan tempoh untuk memakai alat bantu pendengaran. Misalnya ibu bapa boleh menggunakan jam loceng sebagai tanda tamat tempoh memakai alat. Setiap hari/ minggu cuba tingkatkan tempoh masa pemakaian alat bantu pendengaran. Jangan lupa beri pujian setiap kali anak anda berjaya menamatkan tempoh pemakaian alat bantu pendengaran sebagai galakkan kepadanya.

Selain itu, ibu bapa juga boleh memasang beberapa aksesori seperti “huggies” atau otoklip pada alat bantu pendengaran anak anda untuk memastikan alat terletak dengan baik di telinga disamping tidak mudah jatuh dan hilang.

Huggies” adalah plastik berbentuk bulat yang diletakkan pada cuping telinga yang di pasangkan bersama alat bantu pendengaran.

Otoklip pula adalah klip plastik bertali yang dipasangkan bersama-sama alat bantu pendengaran yang kebiasanya diklipkan ke atas baju pesakit.

 

Dengan adanya aksesori ini, alat bantu pendengaran anak anda tidak mudah jatuh dan hilang.

Selain itu, jika anak anda mudah berpeluh pemakaian “ear gear” juga banyak membantu untuk menyerap kelembapan supaya peluh tidak terkena pada alat bantu pendengaran.

Disamping itu juga, ibu bapa juga boleh memakaikan topi untuk mengelakkan anak anda menanggalkan alat bantu pendengaran.

Keperluan Pemakaian Assistive Listening Device (ALD)

Apa itu Assistive Listening Devices (ALD)?

  • ALD adalah alat yang digunakan untuk meningkatkan kebolehan mendengar dalam pelbagai situasi misalnya di dalam kelas. Kebiasannya ALD digunakan di kalangan kanak- kanak untuk mendengar bunyi- bunyi pertuturan lebih jelas dalam persekitaran yang bising. Ini akan menyebabkan bunyi- bunyi pertuturan yang jauh lebih jelas kedengaran berbanding dengan memakai alat bantu pendengaran sahaja.
  • Antara contoh ALD yang biasa digunakan adalah FM system.
  • Antara kelebihan pemakaian ALD di sekolah adalah;
    • Kanak- kanak dapat mendengar suara cikgu dengan lebih jelas tanpa mengira sedekat atau sejauh mana jarak antara cikgu dan kanak- kanak tersebut.
    • Suara cikgu kedengaran lebih jelas tanpa mengira berapa kuat tahap bunyi bising di dalam kelas.
    • Membolehkan kanak- kanak menumpukan sepenuh perhatian kepada suara guru tanpa gangguan dari suara rakan- rakan yang lain atau persekitaran.
Semakan akhir : 07 Mac 2014
Penulis : Nahazatul Islia bt Jamari
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

Artikel Berkaitan

Ujian Saringan Pendengaran

Pendengaran merupakan salah satu deria penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Deria pendengaran membolehkan seorang individu mendengar, mengesan, membezakan bunyi, menterjemah dan memahami bunyi-bunyi di persekitaran dan bunyi pertuturan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,111,128

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia